Akhirnya, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) milik PAS, DAP dan PKR di Selangor tumbang, dan yang kini menerajui kerajaan Selangor adalah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas yang pertama kali mencipta sejarah di Malaysia menjadi menteri besar serta empat exco daripada PAS.
Jadi, jika Selangor berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi mencari menteri Besar (MB) yang baru (suatu kemungkinan besar) pada akhir tahun ini, ia adalah peluang terbaik bagi BN serta Umno merampas semula negeri paling kaya di Malaysia ini.
Dan tiada “balas dendam” terbaik untuk Datuk Seri Najib Razak mendapat semula majoriti dua per tiga seperti yang diidamkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 13, kecuali mengadakan semula PRU14, serentak dengan Selangor.
Saya dimaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada sebarang klausa khusus dalam Perlembagaan negara berkaitan undang-undang pilihan raya Malaysia untuk menidakkan PRU diadakan hanya selepas lebih setahun PRU sebelum ini, diadakan.
Jika perdana menteri sudah menasihatkan Yang Dipertuan Agong untuk membubarkan Parlimen, maka berlakulah PRU tanpa perlu menunggu sebarang tempoh “edah”.
Namun saya difahamkan, Umno Selangor masih tidak bersedia untuk menghadapi PRU atau PRN dan atas sebab itu, mereka terpaksa menurut arahan Putrajaya memberikan sokongan kepada Tan Sri Khalid sebagai menteri besar.
Tetapi, jika Datuk Seri Najib terus mahu menimbangkan untuk mengadakan PRU14 dalam tempoh dua setengah tahun selepas PRU13 maka 2016 adalah tarikh paling sesuai kerana ini adalah peluang keemasan terbaik untuk Umno dan BN mendapat majoriti dua per tiga ketika persepsi pakatan pembangkang berada dalam keadaan paling lemah.
Tambahan pula, strategi ini juga yang sedang digunakan pemimpin BN untuk berkuasa semula sepenuhnya dengan cara paling, iaitu mengharapkan pakatan pembangkang berpecah sekaligus mempercayai rakyat akan kembali menyokong BN serta Umno sepenuh hati.
Selain itu, rata-rata pemimpin Umno sendiri percaya sokongan rakyat terhadap parti itu semakin meningkat selepas terus dilambung mimpi kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.
Pemimpin-pemimpin Umno ini, juga percaya kepimpinan Datuk Seri Najib yang hebat dalam menangani tragedi pesawat MH17 kerana mendapat sokongan yang begitu padu bukan sahaja daripada rakyat tetapi juga daripada pemimpin pembangkang.
Namun, persoalannya adakah krisis dalam pakatan pembangkang ini, akan membolehkan BN dan Umno merampas Selangor dan mendapat semula majoriti dua per tiga selepas kehilangannya pada 2008 dan 2013?
Buat ahli politik Malaysia soal menghabiskan wang rakyat bukan perkara paling utama dan ia sudah dibuktikan PR dengan mengadakan PRK Kajang Mac lalu dan berdasarkan kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof, PRN Selangor akan menelan belanja kira-kira RM50 juta.
Jadi, lebih baik diadakan PRU14 terus, “alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan” kerana buat rakyat sama ada mereka menyokong BN atau PR, ia tidak banyak beza kerana amanah dan tanggungjawab membela rakyat menjadi perkara kedua, paling utama mendapatkan kuasa memerintah.
Dalam pakatan pembangkang sendiri, sudah ada petunjuk dan petanda mereka akan berpecah dengan PAS sedang cuba membuktikan mereka adalah parti paling dominan dalam pakatan pembangkang dan ini, amat perlu bagi terus menyakinkan ahli-ahli parti serpihan Umno ini, perjuangan membentuk negara Islam terus berada di atas landasannya.
Berbekalkan 15 kerusi DUN Selangor, PAS percaya ini, adalah masa terbaik membuktikan kepada rakyat Selangor yang memberi undi kepada PR dalam PRU 2008 dan 2013, mereka mampu memerintah kawasan bandar.
Bagi mereka, Umno juga tidak dapat menandingi parti itu, dalam menarik sokongan pengundi kawasan bandar dan separa bandar di Selangor, suatu hakikat yang terbukti dalam PRU13 kerana keupayaan menampilkan calon muda dan profesional.
Ketika Umno dan BN Selangor terus dengan calon lama yang majoritinya ditolak rakyat, PAS ternyata lebih berani dalam pemilihan calon sehingga membuatkan BN Selangor terduduk dengan strategi itu.
Keangkuhan PAS dalam krisis MB Selangor ini, amat jelas sekali sehingga Nasruddin Hassan, ahli Parlimen Temerloh dan bekas Ketua Pemuda PAS disaman pula Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Pertelingkahan dan percakaran antara DAP dan PAS ini, seakan mengulangi semula episod sejarah Barisan Alternatif yang berpecah akibat kedegilan serta sikap parti yang kononnya memperjuangkan Islam ini.
Sikap inilah sebenarnya tidak akan memungkinkan kerjasama antara Umno dan PAS walaupun ia amat diidamkan kaum Melayu yang terus mahu memperjuangkan konsep retorik “ketuanan Melayu”.
PKR pula di suatu sudut yang lain, hanya bermain politik dan jalan tengah, bagi menarik sokongan orang Melayu dan bukan Melayu bahawa segala-galanya yang dilakukan BN selama ini, penuh kronisme, nepotisme dan rasuah.
Sedangkan pada hakikatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya, jelas mengamalkan nepotisme dalam parti itu, sesuatu yang mengingkari janji beliau sendiri ketika mengumumkan Deklarasi Permatang Pauh bagi menghapuskan sepenuhnya nepotisme di negara ini.
Bayangkan tiga beranak ini, termasuk anak sulung Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Wan Azizah, Nurul Izzah menguasai tujuh jawatan penting dalam PKR, sama ada jawatan dalam parti serta sebagai Adun dan ahli Parlimen.
DAP pula semakin pening kepala dengan karenah PAS ini, kerana setiap pemimpin parti itu mengeluarkan kenyataan dan nada yang amat berbeza sama ada di peringkat Dewan Ulama, Dewan Pemuda atau di kalangan Jawatankuasa PAS Pusat.
Pepatah “pisang tidak berbuah dua kali” langsung tidak boleh diguna pakai DAP yang terus ditipu sikap PAS, selepas perpecahan Barisan Alternatif dan kini, dalam krisis MB Selangor.
Dengan segala permasalahan dalam PR untuk merungkai kemelut MB Selangor ini, Umno dan BN Selangor pula dilihat tidak merangka sebarang strategi politik yang jelas untuk merampas semula negeri ini.
Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan semua Adun Umno Selangor menyokong kepimpinan Tan Sri Khalid secara tidak langsung adalah suatu pengiktirafan terhadap beliau.
Seharusnya, kemungkinan berlaku PRN Selangor sesuatu yang boleh dijangka, dan ketika inilah, pemimpin Umno perlu menyucuk “jarum” kepada minda dan hati rakyat Selangor untuk mengembalikan kuasa pemerintahan kepada BN.
Langkah untuk mengumumkan MB Selangor yang baharu perlu dilakukan dengan segera, bagi membolehkan rakyat yakin terhadap kepimpinan BN serta Umno dan tiada ruginya, dalam strategi politik ini.
Sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Tan Sri Khalid yang kini, Adun Bebas dan akan mengekalkan beliau sebagai MB Selangor jika menang dalam PRN Selangor mungkin suatu strategi politik tepat bagi meraih sokongan rakyat Selangor yang bersimpati kepadanya.
Semua maklum dalam politik Malaysia, angka bukan ukuran kerana sentimen serta persepsi yang diterima rakyat dan buat masa ini, majoriti rakyat Selangor melihat Tan Sri Khalid dianiaya akibat politik bukannya ada masalah dalam pentadbiran beliau.
Segala kemungkinan untuk menyaksikan PRN Selangor amat besar, memandangkan teori PAS dan Umno bergabung untuk menyokong Tan Sri Khalid tidak akan berjaya, disebabkan gabungan Umno-PAS-Tan Sri Khalid akan mendapat 28 kerusi dan DAP-PKR juga 28 kerusi, hingga menyebabkan DUN Selangor akan tergantung.
Walaupun, mungkin ada di kalangan Adun PKR dan DAP yang akan bertindak menyokong Khalid, bagi membolehkan gabungan PAS-Umno mendapat 29 kerusi sekaligus membolehkan Khalid kekal sebagai MB Selangor, namun apakah hala tuju kerajaan campuran ini pula?
Adun Umno dilantik sebagai exco kerajaan negeri, dan ketika itu, mereka ini, mahu mendengar kata siapa? Arahan Datuk Seri Najib selaku presiden Umno atau Tan Sri Khalid sebagai MB Selangor?
Lawak jenaka inilah, yang perlu dielakkan BN dan Umno bagi mengelakkan rakyat terus mentertawakan parti kerana sanggup mengorbankan prinsip serta perjuangan semata-mata demi kuasa.
Putrajaya harus segera sedar daripada mimpi indah mereka yang rakyat akan memberikan sokongan penuh kepada BN dan Umno jika pakatan pembangkang kerana dengan apa yang terjadi di Selangor, sudah pasti rakyat tidak lagi mempercayai pemimpin politik.
Bagi mereka, sama ada pemimpin BN atau PR, semuanya mempunyai perangai sama, tambahan pula dalam krisis MB Selangor ini, wujud persepsi yang ditimbulkan pembangkang bahawa Putrajaya yang menjadi dalang bersekongkol dengan Tan Sri Khalid dalam isu air dan pinjaman peribadi Bank Islam beliau.
Atas sebab itu, saya ingin member nasihat serta ingatan supaya pemimpin BN serta Umno supaya berjaga-jaga sama ada bergabung dengan PAS di Selangor untuk menyokong Tan Sri Khalid adalah perkara yang menguntungkan parti secara keseluruhan kerana ia boleh membawa kesan buruk terhadap imej parti yang sering dipandang negatif penduduk Selangor.
Perlu diingatkan jangan sampa peristiwa di Perak berulang semula dan sebarang keputusan untuk mengadakan PRU14 awal semata-mata hanya bersandarkan kepada kesan akibat krisis MB Selangor perlu difikirkan secara mendalam sama ada strategi ini, benar-benar “solid” untuk BN memandangkan terlalu banyak kelemahan sendiri yang terus dipertikaikan.
Ketika ini, pada pandangan saya, selaku ahli Parlimen dan ketua Umno Bahagian di kawasan bandar, pengundi di bandar serta separa bandar masih lagi menjauhi Umno akibat persepsi berkaitan salah guna kuasa, penyelewengan serta pemborosan.
Selain itu, sebarang usaha untuk menyatupadukan Umno dan PAS akan membawa kepada keburukan kepada parti ini sendiri yang amat bergantung kepada undi orang Melayu bagi memerintah secara mutlak, seperti kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa “PAS perlukan Pakatan, tidak boleh bersendirian.”
Oleh Nur Jazlan (DD)
Thursday, August 14, 2014
Krisis MB Selangor masa terbaik Putrajaya adakan PRU14?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.