Exco PAS Selangor tidak akan teragak-agak meletakkan jawatan jika Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melantik exco baru daripada Umno.
Exco Agama Sallehen Mukhyi berkata, tidak timbul isu pelantikan Umno dalam kuasa eksekutif negeri, sebaliknya hanya mereka berempat akan membantu Khalid menjalankan pentadbiran seperti biasa.
"Umno tidak timbul. Kalau Umno ada dalam barisan exco PAS akan keluar. Dia (Umno) bukan kerajaan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) di Shah Alam, hari ini.
Semua empat exco PAS hadir ke SUK seperti biasa untuk menghadiri mesyuarat exco jam 10 pagi ini walaupun pemimpin DAP dan PKR malam tadi meminta mereka memboikot mesyuarat itu tanda solidariti terhadap pemecatan exco DAP dan PKR.
Exco Iskandar Abdul Samad dilihat tiba seawal jam 7 pagi bagi mengelakkan diserbu wartawan.
Kemudian, diikuti Dr Halimah Ali kira-kira jam 9.30 pagi, Dr Ahmad Yunus Hairi lima minit kemudiannya, dan Sallehen yang terakhir.
Sallehen berkata, PAS akan terus bekerjasama dengan Khalid sehingga ada pengumuman baru daripada PAS Pusat 17 Ogos nanti.
"Tugas membangun lebih baik penting daripada politik. Kita akan terus bekerja," katanya.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dilaporkan berkata, parti Islam itu tidak akan bekerjasama dengan Umno di Selangor.
Mohamad atau lebih dikenali dengan nama Mat Sabu berkata, tidak mungkin PAS bekerjasama dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) di Selangor, dan pada masa sama terus menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Rakyat (PR) di negeri lain.
“PAS akan kekal bersama Pakatan Rakyat,” katanya.
-TMI
Wednesday, August 13, 2014
PAS ugut letak jawatan jika Umno jadi exco
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.