Monday, August 18, 2014

Khalid hantar surat untuk menghadap Sultan Selangor

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid menulis surat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menghadap baginda selepas hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri Adun (Adun) Pakatan Rakyat (PR).

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, istana sudah menerima surat daripada Khalid (gambar) dan memaklumkan kepada Sultan Sharafuddin.

"‎Permohonan beliau sudah saya sembah maklum kepada Tuanku.

"Bagaimanapun baginda menitahkan supaya Khalid menunggu sehingga baginda berangkat balik ke tanah air dalam tempoh beberapa hari lagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khalid pada 11 Ogos lalu menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Alam Shah, Klang memaklumkan kedudukannya selepas dipecat PKR pada 9 Ogos lalu.

Baginda kemudian berpuas hati dengan penjelasan Khalid dan memperkenankan beliau terus memerintah Selangor selepas Adun Bebas itu memaklumkan masih mempunyai sokongan majoriti Adun.

Baginda turut memperkenankan pemecatan enam exco PKR dan DAP pada keesokannya selepas Khalid mengemukakan bukti mereka melanggar 10 Perkara taat setia kepada negeri semasa mengangkat sumpah jawatan exco tahun lalu.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 10 Ogos lalu dalam surat yang ditulis suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menghadap sultan untuk menjelaskan isu PKR, namun baginda menolak kerana enggan campur tangan isu dalaman politik parti.

Dr Wan Azizah kemudiannya menulis surat kali kedua kepada sultan pada Khamis lalu, kali ini menggunakan tandatangannya sendiri untuk mengemukakan bukti mempunyai sokongan majoriti 30 Adun yang mahu Khalid berundur.

Namun, surat tersebut belum mendapat jawapan balas memandangkan baginda bercuti ke luar negara sehingga 27 Ogos ini.

Khalid turut menjelaskan baginda menitahkannya supaya mengunci mulut dan tidak membuat apa-apa kenyataan mengenai krisis Selangor sehingga baginda pulang ke tanah air. –TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.