Sunday, August 24, 2014

Utusan kata Dr M guna politik "provokasi"?

Akhbar Utusan Malaysia edisi hujung minggu hari ini tidak teruja untuk mengulas kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menarik balik sokongannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.



Dalam tulisan pojok Awang Selamat hari ini menyebut selain memberi pandangan, sememangnya gaya berpolitik bekas perdana menteri itu antaranya "melakukan provokasi".

"Seperti rakyat yang lain, Dr Mahathir berhak untuk menyuarakan pandangan sama ada yang manis atau mahupun pedas.

"Sejak mula berpolitik, itu sememangnya gaya beliau - mengkritik, memberikan idea dan melakukan provokasi," tulisan Awang Selamat dalam akhbar itu dipetik.

Dr Mahathir sebelum ini dilapor menarik balik sokongan kepada Najib selepas melihat prestasinya lebih buruk termasuk “dasar dan tindakannya juga tidak lebih berkesan” berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

Tulisan Awang dalam akhbar milik Umno itu juga menyebut, kritikan Dr Mahathir kepada Najib dianggap hal biasa, memandangkan bekas presiden Umno itu juga pernah ditegur antaranya daripada Tunku Abdul Rahman.

Bagaimanapun tulisan itu memuji sikap Najib yang sabar, tenang dan tidak melatah ketika berdepan dengan kritikan itu.

"Perdana menteri sudah terbukti mempunyai rekod baik dalam menangani kritikan pada pemimpin termasuk Dr Mahathir.

"Kini Najib menerajui negara dalam lanskap politik yang jauh lebih mencabar berbanding era-era sebelum ini. Maka beliau perlu disokong atas banyak faktor.

"Antaranya prestasi pentadbiran beliau setakat ini tidak mengecewakan termasuk mengurus krisis seperti MH17," tulisan itu dipetik.

Tulisan itu juga menyebut, menarik balik sokongan kepada Najib bukan jalan penyelesaian malah boleh mengundang pihak yang ghairah menangguk di air keruh. -MK

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.