Selain berpendapat polisi dan dasar Najib Razak banyak merosakkan hubungan kaum, ekonomi dan kewangan negara, teguran Mahathir Mohamad juga berkisar mengenai rasa rimasnya dengan terlalu banyak pengampu dan pembodek yang berada di sekeliling Perdana Menteri sekarang ini.
Dalam dua kisah dongeng zaman silam yang disebutkan Mahathir dalam tulisannya, jelas memperingatkan mengenai budaya ampu dan bodek yang disedari oleh banyak pihak berada di tahap melampau sekarang ini. Pembodek dan pengampu ini bukan saja dalam bentuk mengharapkan balasan seperti projek dan sebagainya tetapi ramai juga yang dibayar gaji semata-mata untuk berbuat demikian.
Apa yang disebutkan Mahathir itu bagaimanapun terbukti nyata akhirnya kerana bukan intipati teguran beliau yang mahu diambil-berat oleh pemimpin dan menteri UMNO, sebaliknya mereka berebut-rebut memuji dan menyanjung kehebatan Perdana Menteri dalam menguruskan negara sehingga diumpamakan lebih hebat daripada Barack Obama dan Vladimir Putin.
Meskipun budaya membodek pemimpin pada umumnya adalah amalan biasa, tetapi ramai yang merasakan budaya itu begitu berlebih-lebihan dan melampau ketika ini sehingga seolah-olah Najib tidak pernah melakukan kesalahan sama-sekali dalam menguruskan negara.
Lebih buruk lagi, isteri seorang Perdana Menteri yang tidak pernah begitu menonjol sebelum ini dan didapati melakukan beberapa pembaziran yang tidak sepatutnya, turut tiada yang berani memberikan teguran dan kritikan. Malah ramai yang memuji, menyanjung dan mencium tangannya apabila bersalam.
Dalam masa yang sama, Najib pula terus dengan sikap biasanya apabila menghadapi masalah. Beliau hanya diam, senyap dan tiada respon.
Sudah masuk hari kelima sejak Mahathir melontarkan taguran dan mengumumkan menarik balik sokongannya terhadap Perdana Menteri, sehingga ini Najib masih diam dan tiada respon. Tiada ulasan dan reaksi daripada seorang nakhoda apabila kapal yang dikemudinya sedang ditembak dan dalam keadaan terumbang-ambing.
Teguran Mahathir terhadap Najib sebenarnya bukanlah kali pertama. Ia sudah kerapkali dilakukan sebelum ini. Tetapi semua teguran dan kritikan itu berlalu begitu saja berikutan sikap Najib yang diam, senyap dan dan tiada respon serta mengharapkan ia dilupakan seiring dengan peredaran masa.
Apa yang pertama kali dilakukan Mahathir kepada Najib ialah menarik balik sokongannya. Sebelum ini, di sebalik kritikannya, beliau tetap menyokong Perdana Menteri dan hanya mahukan isu yang disebutkannya diberi perhatian atau tindakan saja.
Ketika era Pak Lah dahulu, Mahathir juga banyak memberi teguran atas beberapa kepincangan yang berlaku dan sehingga ke suatu peringkat, oleh kerana ia terus tidak diberi perhatian, beliau akhirnya mengumumkan keluar daripada UMNO untuk memberi lebih tekanan.
Kesannya, BN hilang majoriti dua pertiga dalam pilihanraya 2008 dan Pak Lah kemudiannya berundur daripada memimpin negara.
Walaupun Mahathir menyebut tegurannya bukan bertujuan memaksa Najib melepaskan jawatannya, sebaliknya hanya mahukan adanya perubahan tetapi kebarangkalian untuk Najib berubah juga sebenarnya sangat tipis. Kalau Najib mahu berubah, beliau sebenarnya sudah melakukannya sebaik keputusan PRU 13 dulu lagi. Dari segi ini, ramai yang mengatakan Najib memang lebih teruk daripada Pak Lah.
Najib bukan saja selesa dengan sokongan kukuh dari kalangan pimpinan UMNO bahagian-bahagian seluruh negara tetapi juga kerana tiada yang tampil menegur dasar serta polisi yang dilakukannya dalam mengurus negara. Setiap hari beliau hanya mendengar kata-kata pujian dan tiupan angin yang seolah-olah sedang membawanya ke syurga.
Oleh itu, teguran yang disertai penarikan balik sokongan Mahathir ini juga mungkin tidak mendatangkan kesan kepada perubahan yang diharap-harapkan oleh bekas Perdana Menteri itu. Najib tentunya lebih menghargai pujian berbanding teguran. Satu-satunya tindakan yang boleh terus diambil untuk menekan dan membuatkan Najib segera memberi reaksi terhadap teguran dan kritikan serta cenderung untuk berubah ialah dengan Mahathir mengumumkan keluar UMNO sekali lagi.
Hanya tindakan keluar UMNO ini yang boleh membuatkan arus bawah dalam UMNO akan bergerak lebih laju dan sama-sama bangun menuntut perubahan. Sebelum ini, arus bawah yang bergelodak ini sering dilindungi oleh pemimpin diatas atau oleh pengampu dan pembodek sehingga berjaya menutup hakikat yang sebenarnya sedang berlaku serta memberi gambaran yang baik-baik kepada Najib.
Namun, dengan kesediaan Mahathir membuat tindakan drastik sekali lagi keluar UMNO, arus bawah ini akan lebih mengalir deras bersama-samanya. Lebih berkesan lagi, jika beberapa bekas pemimpin lama yang sekarang ini banyak meluahkan rasa tidak puas hati atas kepimpinan Najib yang disifatkan lembut dan lembik, turut mengambil tindakan yang sama.
Tidak kurang berkesannya juga jika Mukhriz, anak Mahathir yang menjadi Menteri Besar Kedah turut bersama-sama dengan perjuangan bapanya itu.
Sebagaimana yang disebutkan Mahathir bahawa beliau lebih sayangkan bangsa dan negara ini, keberaniannya sekali lagi keluar UMNO adalah pengorbanan ke arah itu. Jika tidak, tegurannya mungkin bagai angin lalu saja kerana Najib tidak terasa panas pun lantaran lebih banyak disejukkan oleh tukang-tukang kipas yang berada di sekelilingnya.
Oleh Shahbudin Husin
Ini Oleh Shahbudin Husinadalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Detikdaily
Friday, August 22, 2014
Perlukah Mahathir keluar UMNO lagi?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.