Saturday, October 11, 2014

Belanja JPM dan Najib terus meningkat

Perbelanjaan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) terus meningkat di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan jumlah perbelanjaan yang lebih tinggi berbanding semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada 2003, perbelanjaan yang diperuntukkan untuk JPM hanya RM3.6 bilion. Jumlah itu meningkat lebih empat kali ganda dalam Bajet 2015.

Menurut anggaran daripada Kementerian Kewangan, JPM dijangka akan membelanjakan sejumlah RM19.1 bilion pada 2015 berbanding RM16.5 bilion pada tahun ini.

Jumlah ini merupakan kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan untuk tahun ini.

Peruntukan itu meliputi bidang yang luas, termasuk latihan badan kehakiman, sekolah tadika, keselamatan negara, tenaga nuklear, hak asasi manusia (Suhakam), perancangan ekonomi, serta stesen televisyen.

Selari dengan itu, sebanyak RM1.24 bilion diperuntukkan untuk membiaya gaji ribuan kakitangannya pada tahun ini.

Pecahan paling besar dari peruntukannya disalurkan untuk perkhidmatan dan perolehan, melibatkan kos RM2.85 bilion pada tahun ini.

Untuk 2015, perkara yang menjadi tumpuan utama ialah “projek khas” dengan peruntukan khusus RM1.6 bilion.

Jumlah itu berlipat kali ganda lebih besar berbanding hanya RM180 juta untuk tujuan sama pada 2014.

Antara program dan agensi bawah JPM adalah program PERMATA – program pendidikan awal dinaungi isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor – dan juga program indoktrinasi Biro Tatanegara.

Menjelang penghujung 2014, unit PERMATA dijangka akan membelanjakan RM42.8 juta, dengan seramai 40,000 kanak-kanak yang mengikuti programnya. Bagaimanapun, peruntukannya pada tahun depan akan dikurangkan kepada RM30.1 juta.

PERMATA tidak membiaya sekolah berkenaan secara langsung, namun menyediakan “pengurusan, operasi, pemantauan dan sokongan” untuk melaksana program berkenaan.

Sementara itu, unit propaganda kerajaan, BTN dijangka membelanjakan RM64.9 juta pada 2014, dan mendapat peruntukan RM58.6 juta untuk dibelanjakan pada tahun depan.

-mk

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.