Thursday, June 17, 2010

17 majikan dikompaun dalam Ops Kesan

LAHAD DATU : Seramai 17 majikan di sini telah dikenakan kompaun oleh Perkeso Cawangan Lahad Datu sepanjang ‘Ops Kesan’ dilancarkan di sekitar daerah ini sejak 7 Jun sehingga kelmarin.

Kesemua majikan terlibat masing-masing dikenakan kompaun berjumlah RM500 kerana telah gagal untuk mendaftarkan perusahaan mereka dengan Perkeso pada tempoh yang telah ditetapkan mengikut Seksyen 4 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Seksyen 5 Akta yang sama.

Pengurus Pejabat Perkeso Lahad Datu, Joharia Haji Acho berkata, keseluruhan jumlah kompaun yang dihasilkan setakat ini ialah sebanyak RM8,500.

Sementara itu katanya, sejak Ops Kesan dilancarkan di daerah ini pada awal Jun lepas, sehingga kini pihaknya juga telah memeriksa sebanyak 218 majikan.

“Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga tempoh berakhir pada 30 Jun ini dan operasi juga akan dilaksanakan di seluruh kawasan Lahad Datu termasuk Felda Sahabat,” katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.

Sehubungan itu, Joharia menasihatkan para majikan di daerah ini yang masih belum mendaftar perusahaan dan pekerja mereka dengan Perkeso agar segera berbuat demikian bagi menggelakkan daripada dikenakan kompaun. -NST

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.