Tuesday, June 15, 2010

PKR SABAH TOLAK CADANGAN PAKATAN MALAYSIA

PENGERUSI Majlis Pimpinan Negeri Pakatan Rakyat (PKR) Sabah, Ahmad Tamrin Jaini menegaskan bahawa tidak ada keperluan Pakatan Rakyat (PR) ditukar kepada Pakatan Malaysia (PM) hanya kerana PR yang merangkumi PAS, DAP dan PKR lahir dari Semenanjung; sedangkan modus operandi parti-parti pembangkang di Sabah mempunyai matlamat yang sama dengan PR sebagai pembangkang.

Tegasnya, apa yang lebih penting, kesepakatan yang kukuh antara parti-parti dalam Gagasan PR dengan parti-parti tempatan dalam wilayah Sabah dan Sarawak perlu ditingkatkan dalam menghadapi PRU13 kelak.

“Perbalahan pendapat sesama sendiri dalam pembangkang tidak akan menguntungkan malah merugikan,” kata beliau ketika menghubungi Sabahkini.net daripada Sandakan pada Isnin sebagai mengulas kenyataan Presiden Bersekutu, Berman Angkap baru- baru ini.

Berman ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Parti itu pada ahad, menggesa pembentukan Pakatan Malaysia yang akan melibatkan semua parti pembangkang di Sabah dan Sarawak kerana PR yang sedia ada dilihat sebagai perwakilan pembangkang dari Semenanjung Malaysia.

Tamrin seterusnya menegaskan bahawa, hala tuju perjuangan PR khususnya PKR tidak tertumpu di Semenanjung semata-mata, malah ia telah menyatakan dengan jelasnya bahawa perjuangannya adalah turut merangkumi wilayah Sabah dan Sarawak dalam misi dan visinya untuk mempertahan hak-hak asasi rakyat di wilayah itu.

Beliau menambah, kepimpinan PR masih tidak berganjak dengan pelbagai tuntutannya supaya hak hak rakyat Sabah dan Sarawak seperti otonomi politik, tuntutan penambahan royalti minyak dan pencabulan hak yang termaktub dalam 20 perkara dikaji semula.

“Kita menghormati perlembagaan parti masing-masing dalam memulihkan kepincangan pentadbiran kerajaan negeri dan seterusnya Persekutuan, tetapi kita kena memahami siatuasinya sebelum bertindak terutama dalam merancang menghadapi lawan pada PRU13 nanti,” tegas beliau.

Harus juga diambil perhatian tegas Tamrin, bahawa saiz perjuangan politik tidak memadai jika perjuangan itu sekadar di peringkat wilayah, tanpa gabungan di peringkat nasional dalam konteks keluasan kuasa politik masa kini yang sudah berada di arena nasional.

Oleh: MAIL MATHEW

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.