Monday, June 21, 2010

Pemain Perancis enggan berlatih bantah penyingkiran Anelka

KNYSNA, Afrika Selatan: Pasukan Piala Dunia Perancis enggan berlatih hari ini sebagai membantah penyingkiran Nicolas Anelka.

Anelka disingkirkan daripada pasukan itu selepas mengeluarkan kata kesat kepada jurulatih Raymond Domenech yang taktik dan pengurusannya kini dipertikaikan.
“Mereka mengambil keputusan berdasarkan fakta yang dilaporkan media. Berikutan itu dan bagi membantah keputusan pegawai Persekutuan Bola Sepak Perancis, semua pemain tidak mengambil bahagian dalam latihan hari ini,” kata Domenech yang membaca kenyataan bagi pihak pemain.
Perkembangan terbaru itu menyebabkan pengarah pasukan Perancis, Jean-Louis Valentin, meletakkan jawatan.

"Mereka tidak mahu berlatih. Ia tidak boleh diterima. Bagi saya segalanya sudah berakhir," kata Valentin.

Pasukan Perancis tiba untuk latihan sepeti biasa dan turun daripada bas untuk menemui peminat tetapi Domenech dan kapten pasukan, Patrice Evra, berada lebih lama di atas bas untuk berbincang.

Apabila Domenech dan Evra turun, jurulatih kecergasan, Robert Duverne, meletakkan kon latihan di padang.
Evra kemudian bertengkar dengan Duverne dan apabila Domenech datang unuk campur tangan, Duverne meninggalkan padang sambil membaling lencana akreditasinya.

Evra kemudian memberikan sepucuk surat kepada pegawai media dan semua pemain menaiki semula bas dan menutup tirai. - AP

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.