Islam mula memancarkan cahayanya di negeri Selangor, jika diukur dari  prestasi PAS mencatat kejayaan memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri  (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) baru-baru ini.
Kerusi DUN yang dimenangi PAS ialah Sabak,  Taman Templer, Gombak Setia, Hulu Kelang, Lembah Jaya, Chempaka, Dusun  Tua, Bangi, Seri Serdang, Paya Jaras, Meru, Selat Klang, Sijangkang,  Morib dan Tanjung Sepat.
Keupayaan PAS memenangi tambahan tujuh kerusi lagi menjadikan lima  belas berbanding lapan kerusi DUN sahaja pada 2008, peningkatan hampir  100 peratus, merupakan satu lonjakan dan kemenangan yang besar bagi  PAS, satu-satunya parti yang menggabungkan perjuangan politik dan  aktiviti dakwah.
Pada PRU-13, rakyat Selangor yang terdiri dari golongan teknokrat,  kelas menengah dan miskin bandar serta celik internet dan kaya maklumat  dengan bebas dan berani menyatakan sokongan kuat kepada PAS.
Jika trend ini berterusan maka suatu hari nanti, kita tidak harus  terperanjat jika Selangor, negeri termaju dan terkaya di negara ini,  akan mengikut jejak langkah Kelantan, negeri yang terkenal dengan  gelaran “Serambi Mekah”.
Analisa keputusan PRU-13 di negeri Selangor khususnya, menunjukkan para  pengundi tidak takut dengan dakyah Umno mempermainkan isu pelaksanaan  hukum hudud jika PAS berkuasa, baik di peringkat negeri lebih-lebih lagi  di peringkat persekutuan.
Walaupun hampir 100 peratus ahli Umno terdiri daripada orang Melayu dan  beragama Islam, mereka bersembunyai sebalik tabir MCA, untuk cuba  menakut-nakutkan rakyat dengan menghina hudud, hukum yang jelas disebut  dalam Al Quran.
Kalaupun ada segolongan rakyat yang termakan dengan suntikan racun  Umno-Barisan Nasional (BN) ini, mereka ini adalah orang-orang Melayu  yang kurang berpendidikan yang kebanyakannya menetap di kampung-kampung.
Rakyat di bandar dan pinggir bandar, baik orang Melayu, Cina atau  India terutamanya di Selangor tidak mudah terpedaya dengan taktik jahat  Umno-BN ini dan ini terbukti dengan jumlah undi yang dipungut oleh calon-calon PAS berdasarkan demografi pengundi.
Masyarakat Cina di Selangor jelas mengundi calon PAS di  kawasan-kawasan di mana tidak terdapat calon DAP dan nampaknya orang  Melayu di kampung lebih takut kepada hudud berbanding masyarakat Cina  dan India di bandar.
Pelik tapi benar
Senario yang pelik tetapi benar. Ini adalah kesan daripada indoktrinasi  Umno dan Biro Tata Negara yang menanam fahaman perkauman yang sempit,  dasar ‘pecah dan perintah’ yang diwarisi daripada penjajah Inggeris  serta fahaman sekular yang memisahkan agama dan politik.
Masihkah kau ingat? Lebih 30 tahun yang lalu, ahli-ahli PAS yang  komited dengan perjuangan Islam susah hendak bergerak ke sana ke mari  kerana takut dicap sebagai anggota parti yang menyeleweng dari ajaran  Islam.
Masihkah kau ingat? Parti PAS pada suatu ketika dahulu hanya disertai  oleh orang kampung, pak-pak lebai, ustaz dan guru agama yang berketayap  dan berserban putih.
Masihkah kau ingat? Imej ahli-ahli PAS digambarkan sebagai mempunyai  watak yang jumud, kolot dan kurang berpelajaran serta mempunyai  pandangan yang melampau, fanatik dan sebagai pengganas.
Masihkah kau ingat? Ahli-ahli PAS membentuk kumpulan-kumpulan kecil yang  dinamakan Usrah dengan bergerak dari rumah ke rumah untuk menyebarkan  fahaman politik Islam (siyasah syar’iyyah) sambil berdakwah.
Masihkah kau ingat? Ahli-ahli PAS menganjurkan pelbagai program seperti  Tamrin, Halaqah, serta kuliah dan pengajian agama untuk memantapkan  kefahaman ahli-ahli lama dan untuk menarik ahli-ahli baru.
Masihkah kau ingat? Ahli-ahli PAS bergerak dalam kumpulan yang lebih  besar dengan menganjurkan mesyuarat agung tahunan di peringkat cawangan  dan kawasan di mana kehadirannya boleh dibilang dengan jari.
Masihkah kau ingat? Ahli-ahli PAS merekrut ahli-ahli baru dengan cara  menyebarkan borang keahlian PAS secara sembunyi-sembunyi dan  kadang-kadang dimarahi oleh golongan Umno tegar.
Tetapi kini tidak lagi kerana PAS di Selangor adalah anggota gabungan  Pakatan Rakyat (termasuk DAP dan PKR) yang kembali memerintah negeri  Selangor untuk penggal kedua.
Kini mesej dakwah Islam disampaikan kepada anggota masyarakat secara  terbuka dan meluas serta markas (tempat di adakan mesyuarat parti,  program kuliah dan latihan) semakin banyak ditubuhkan dan diimarahkan.
Hijrah Rasulullah
Mengimbau kembali sejarah kedatangan Islam lebih 1,400 tahun yang lalu,  maka kita dapati Islam mula berkembang di kota Madinah dan bukannya  dikampung atau di desa.
Hijrahnya Rasulullah saw ke Madinah atas perintah Allah yang diberitahu  melalui malaikat Jibril adalah kerana warga Madinah menyambut baik Islam  yang dibawa oleh baginda. Nama Madinah sendiri membawa makna kota atau  bandaraya yang bercahaya.
Sejarah juga memperlihatkan betapa para penduduk Madinah yang digelar  golongan Ansar lebih kuat keimanan mereka dan lebih dahulu menerima  Islam berbanding golongan Muhajirin, mereka yang ikut berhijrah ke  Madinah dari Mekah.
Oleh pancaran cahaya Ilahi, mereka menjadi sangat kasih dan sayang  kepada Rasulullah saw dan menyediakan segala keperluan baginda dan para  sahabat baginda yang ikut serta berhijrah.
Seruan untuk ‘Ubah’ dan hijrah adalah seruan Allah. Hijrah Rasulullah  adalah perintah Allah, pergi ke kota Madinah dengan meninggalkan bangsa  Arab jahiliyyah dan orang-orang musyrikin Mekah.
Dengan meninggalkan Umno-BN juga satu bentuk penghijrahan; berhijrah  dari parti ‘asobiyyah’ yang sempit, di mana para pemimpinnya sudah  tercemar dengan akhlak yang buruk, amalan rasuah dan kronisme serta  salah guna kuasa yang bermaharajalela.
Untuk menyekat pengaruh Umno dari terus meracuni pemikiran rakyat,  kerajaan negeri perlu menyediakan persiapan dengan lebih intensif  seperti menambah peruntukan untuk Hal Ehwal Islam.
Pembinaan sekolah agama rakyat perlu diperbanyakkan terutama di  kawasan kubu kuat Umno, bantuan kewangan kepada sekolah agama rakyat dan  swasta ditambah, gaji dan elaun guru-guru agama dinaikkan.
Kelas-kelas fardhu ain, termasuk kelas tafsir Al Quran, harfiah,  bahasa Arab, tajwid, program ceramah di masjid dan surau harus  dipertingkatkan di seluruh negeri supaya Selangor dapat melahirkan masyarakat madani dan celek Al Quran.
Para pegawai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama  Islam Selangor (JAIS) yang membantut dan menentang perkembangan Islam  harus ditukar dan digantikan dengan penjawat-penjawat awam negeri yang  beriltizam dan beristiqamah dengan perjuangan Islam.
Kerajaan Selangor harus memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap pengwujudan sekolah-sekolah agama ala pengajian pondok seperti di Kelantan, agar dapat melahirkan lebih ramai kader-kader Islam hingga memantapkan pentadbiran kerajaan negeri dengan roh Islam.
Memang ada program untuk menarik anak muda ke masjid tetapi aktiviti  serta program seumpama ini harus dipergiat dan ditingkatkan lagi agar  anak-anak muda tidak lagha dengan program hiburan yang sengaja dijaja  oleh Umno-BN.
Ini adalah sekadar beberapa cadangan yang harus dilakukan oleh kerajaan  negeri dengan segera, sambil mengharapkan pertolongan daripada Allah swt  dan agar segala usaha kita mendapat keberkatan daripadaNya. -Zainal  Abdidin Nor/FMT
Sunday, May 19, 2013
Cahaya Islam Bersinar Di Selangor
Subscribe to:
Post Comments (Atom)




Tak heran le kalau kita mnyusuri kekampung2 disetiap pelusuk negeri Selangor...banyak bendera dan tugu2 PAS yg dibina. Seolah2 sama spt di kelantan trutama Bangi dan terus ke Tg Sepat. Sabak bernam tu lagi ler. Tetapi harus diingat,jika SPR tidak mnjadi anjing UMNO yg bersekongkol dgn JPN mnjual kedaulatan negara kepada warga asing,bukan kata Selangor je malah seluruh Semenanjung akan brpindah tgn kepada PAS/PR. Itu jelas.
ReplyDelete