Barisan Nasional (BN) tidak pernah mencuri kemenangan daripada pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 baru-baru ini, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen seperti termaktub dalam perlembagaan negara dan BN memenangi pilihan raya berdasarkan kelebihan jumlah kerusi untuk membentuk kerajaan dan bukan berdasarkan undi popular seperti sistem presiden yang diamalkan di Amerika Syarikat.
“Dakwaan kita mencuri kemenangan parti pembangkang adalah satu kepalsuan sebab kita tidak melakukan penipuan dalam PRU13.
“Tunjukkan kepada saya di mana mat Bangla yang menjadi pengundi? Mereka (pembangkang) mendakwa 40,000 mat Bangla turun lapangan terbang, tunjukkan lapangan terbang mana? Jangan heret orang kerana rupa gelap sikit itu mat Bangla,” katanya pada majlis pelancaran Festival Belia 2013 di sini semalam.
Hadir sama ialah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Najib berkata keluhuran dan ketinggian perlembagaan adalah tiang seri negara namun begitu rakyat mempunyai ruang untuk menyuarakan pendapat masing-masing selaras dengan amalan demokrasi berparlimen.
“Apa sahaja yang kita nak suarakan mesti berpaksikan kepada perlembagaan dan tidak boleh pilih di tepi jalan dengan mendesak dan membuat huru-hara sehingga menimbulkan keadaan tidak tenteram yang tidak selaras dengan perlembagaan.
“Sebagai generasi muda, kita mesti faham tuntutan perubahan mesti berpandukan kepada perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang. Kalau tidak akan berlaku undang-undang rimba dalam negara kita,” katanya.
Najib menyarankan generasi muda agar berfikiran waras dan rasional serta tidak termakan hasutan dan penipuan khususnya dalam ruang siber.
Beliau berkata keutamaan dalam membina sebuah negara dan masa depan mesti berdasarkan kepada akal fikiran, yakni memilih yang kebenaran atas kepalsuan serta memilih hak daripada batil.
“Kalau ini dapat disemai, kalau ini dapat dipupuk di kalangan belia, Insya-Allah masa depan kita, masa depan belia dan negara yang tercinta akan terus bersinar dengan harapan untuk masa depan kita,” katanya.
Najib juga memberi jaminan kerajaan mampu melakukan segala perubahan bukan sahaja untuk golongan belia bahkan masa depan negara.
“Percayalah kalau nakkan perubahan kepada negara kita tidak semestinya terlibat dalam himpunan jalanan atau pun meruntuhkan apa yang ada hari ini.
“Yang penting kita mesti faham apa kehendak belia dan suara belia itu dan kita menyediakan kaedah pentadbiran negara yang sesuai kepada golongan belia,” katanya.
Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan tiga kategori Anugerah Perdana Belia Negara 2013, yang diperkenalkan pada 1988, bagi mengiktiraf belia dan pertubuhan belia yang banyak menyumbang kepada pembangunan belia negara.
Kategori Pertubuhan Belia dimenangi Kelab Belia Malaysia (MAYC) Simpang Bekoh, Melaka yang menerima wang tunai RM50,000, piala iringan dan sijil penghargaan.
Selain itu kategori Lelaki dimenangi Naib Presiden Majlis Belia Malaysia, Manndzri Nasib manakala kategori Wanita diraih Halimah Abd Rahman daripada Persatuan Puteri Islam Malaysia, Sabah dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000, piala iringan dan sijil penghargaan. – Bernama
Sunday, May 26, 2013
PRU-13 : BN tidak curi tapi tipu kemenangan?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.