Pencerobohan warga selatan Filipina di Lahad Datu awal Februari lepas tiada kaitan dengan prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendatang tanpa izin di Sabah, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.
Beliau berkata polis membuat pertemuan dengan penceroboh dan perkara itu tidak ada kaitan dengan RCI.
"Kita telah mengenal pasti mengapa mereka mendarat di Lahad Datu. RCI bukan punca kejadian ceroboh itu," katanya menjawab soalan anggota panel Suruhanjaya bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Professor Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon.
Hamza juga berkata pencerobohan itu merupakan contoh kebanjiran pendatang asing ke Sabah boleh mengancam keselamatan di negeri itu kerana mereka yang terlibat mendapat sokongan rakan senegara yang mempunyai ikatan kekeluargaan atau kenalan yang bermastautin Sabah.
Menjawab soalan bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, Hamza berkata ancaman keselamatan negara bukan sahaja berpunca daripada pendatang asing malah warga tempatan.
"Penceroboh ini juga dapat masuk ke negara ini kerana mendapat sokongan daripada rakyat tempatan, tetapi yang terlibat itu tidak ramai," katanya ketika menjawab soalan bekas Timbalan Ketua Menteri dan bekas Peguam Besar Sabah Tan Sri Herman J.Luping
Hamza, yang dilantik ke jawatan tertinggi polis di Sabah pada 2010, juga menafikan penceroboh dapat masuk ke negeri ini kerana mereka memiliki kad pengenalan.
"Saya terlibat dalam kes pencerobohan Lahad Datu ini sejak dari awal lagi. Saya yakin 100 peratus bahawa penceroboh orang Suluk itu adalah pendatang tanpa izin, mereka tidak mempunyai kad pengenalan," katanya sambil menambah penceroboh sudah ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) serta didakwa di mahkamah.
Menjawab soalan peguam pemerhati dari Persatuan Undang-Undang Sabah Datuk John Sikayun, Hamza berkata beliau tidak boleh memberi jawapan sama ada pencerobohan di Sabah akan berlaku lagi.
Bagaimanapun, pegawai polis itu yakin penubuhan ESSCOM mampu mencegah kemasukan pendatang tanpa izin sejajar matlamat penubuhannya bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Sabah.
Kepada soalan pegawai pengendali Manoj Kurup, Hamza berkata Indeks Jenayah melibatkan warga asing di Sabah kurang daripada 30 peratus sejak tahun 2000 hingga 2011.
Beliau berkata situasi itu pada pandangannya adalah tidak membimbangkan.
"Kalau kita lihat peratus indeks jenayah yang dilakukan pendatang tanpa izin ialah antara 20 hingga 25 peratus, ia tidak mencecah 30 peratus," katanya.
Hamza juga tidak bersetuju dengan cadangan Manoj bahawa peratusan jenayah yang dilakukan warga asing dan warga tempatan adalah sama, iaitu 50-50.
"Sebagai contoh, bagi Januari hingga Disember 2000, jumlah tangkapan ialah 1,258 dan yang melibatkan warga Filipina ialah 151 orang , Indonesia 153 orang manakala 934 warga tempatan," katanya.
Beliau berkata bagi menangani masalah pendatang tanpa izin, polis Sabah yang berkekuatan lebih 6,000 anggota menjalankan pelbagai operasi selain bekerjasama dengan pihak berkuasa lain seperti Jabatan Imigresen bagi kesalahan melibatkan dokumen perjalanan.
Ditanya pengerusi Suruhanjaya itu, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong yang bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak sama ada polis mempunyai logistik dan anggota yang mencukupi dalam menangani jenayah oleh pendatang tanpa izin, Hamzah mejawab 'setakat ini cukup'.
Pada peringkat ini, Manoj dengan nada bergurau berkata "jika anda ingin meminta jumlah anggota polis ditambah, inilah masanya".
Menjawab soalan John, saksi itu berkata jika polis mendapati pendatang tanpa izin yang ditahan memiliki kad pengenalan yang meragukan, mereka akan merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa lain seperti Jabatan Imigresen. (Bernama)
Saturday, May 25, 2013
Penceroboh Tiada Kaitan Dengan RCI?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.