Thursday, December 1, 2011

Bersediakah Pakatan Untuk Memerintah

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh2JBFFETjnHefF-4cgu-LmFw86VfGd_ab33bBrippZcXa8xwvEYFs_QDZB9x0WE8Vn_SjMxQ99d4zVIC2xpoPmKGYt56n3JfNgZURfDZO69ws_A9L_GPgAzqdeBYURPe8iTfKsSRpFUm8/s1600/Pakatan.jpgApakah semua pihak bersedia untuk perubahan apabila Pakatan Rakyat(PR) memenangi tampuk pemerintahan negara nanti? Apakah pemimpin parti komponen PR telah bersedia untuk memerintah dan menangani isu-isu semasa dengan kaedah dan cara yang berbeda dari budaya yang diamalkan oleh UMNO-BN? Dan apakah penyokong yang memilih PR dan sekali gus menolak UMNO-BN sudah bersedia untuk menghadapi kaedah dan cara pemerintahan baru yang dibawa oleh PR.?

Begitu juga apakah seluruh rakyat dan seluruh sistem pentadbiran pusat termasuk kehakiman, keselamatan dan seluruh jentera pentadbiran negara telah bersedia menerima dan mengamalkan budaya baru yang cuba dibawa oleh PR yang jelas digariskan di dalam Buku Jingga?

Setelah 52 tahun dibelenggu oleh pemikiran, kaedah, cara dan budaya pemerintahan UMNO-BN sudah pasti semua pihak mengharapkan satu perubahan. Namun pada hakikatnya semua pihak telah mangli dan sebati dengan model demokrasi dan pendekatan pemerintahan UMNO-BN sehingga rata-rata menganggap itulah cara dan kaedah yang betul walaupun mereka bercakap tentang perubahan. Dan paling malang ramai yang menganggap itulah sistem dan cara yang terbaik bagi Negara majmuk seperti Malaysia.

Dalam apa sistem pemerintahanpun ada tiga pihak yang mempunyai kepentingan: Pemerintah atau pemimpin parti yang memerintah; penyokong dan aktivis parti pemerintah; rakyat biasa.

Kumpulan seminat ini (interest group) mempunyai matlamat yang hampir serupa tetapi tidak sama. Adalah satu kesilapan besar bagi mana-mana pihak pemerintah yang menganggap bahawa kemenangan mereka mendapat majoriti kerana mereka mempunyai matlamat yang sama. Dalam sistem pemilihan pemerintah berdasarkan peti-undi percaturan kemenangan sesuatu pihak yang menawarkan diri atau parti bergantung kepada pelbagai faktor. Bagi negara-negara maju sekurang-kurangnya isu ideologi sudah menjadi perkara silam. Namun bagi negara mundur atau membangun atau separa-maju seperti Malaysia landasan dan alur pemerintahan masih kabur. Isu idelogi masih lagi belum selesai. Pendekatan pemerintahan tentang kebajikan rakyat, pendidikan, jalur ekonomi, hubungan sosial, hubungan etnik, hubungan luar negara, dan pelbagai isu tentang kerakyatan dan kenegaraan masih belum jelas.

Bagi negara maju misalnya AS dan Britain mereka sudah pasti dan kekal dengan sistem dua partinya(walau kini ada parti ketiga di Britain yang mula memecah tradisi ini), ideologi demokrasi leberalisma sekularnya, ekonomi kapitalis dan pelbagai dasar seperti dasar hubungan luar, kerakyatan, keselamatan dan lain-lain telah diterima sebagai mekanisma dan pendekatan pemerintahan yang tetap dan konsisten. Semua ini telah difahami oleh rakyat/pengundi mereka. Yang tinggal untuk dikempen dan dijadikan isu dalam pilihanraya adalah isu-isu semasa seperti pendekatan baru dalam bidang pendidikan, keselamatan sosial, dasar percukaian dan keselamatan semasa tanpa menyentuh perkara asas dalam sistem demokrasi ala mereka. Misalnya Perdana Menteri Tony Blair, walau begitu popular sehingga menjadi Perdana Menteri Britain termuda dan paling lama memerintah kecundang dalam mempertahankan kerajaan Parti Buruhnya kerana dasar luar berkaitan Iraq.

Barrack Obama menang dalam pilihanraya bukan kerana dia berjanji untuk mengubah dasar AS berkaitan negara Palestin dan meminggir Israel (mana-mana bakal calon Presiden Amerika yang dilihat meminggir Negara Yahudi dalam dasarnya dari awal lagi pasti tidak terpilih oleh parti Demokrat atau Rebublican untuk bertanding oleh partinya). Sebab itu Obama dengan keras mahu memveto cita-cita Palestin untuk menjadi anggota penuh PBB kerana dasar Amerika berkaitan Israel sudah terlalu jelas.

Rakyat mereka faham bahawa dasar teras kenegaraan mereka masih sama. Yang menjadi percaturan sekadar isu-isu sekunder yang tidak membawa implikasi besar kepada sistem pemerintahan dan rakyat. Oleh itu walau parti mana yang memerintah ia tidak banyak memberi implikasi drastik kepada rakyat.

Sebaliknya bagi negara seperti kita dan lain-lain negara membangun risiko pertukaran kerajaan amat besar. Rata-rata rakyat/pengundi yang telah diasuh dan membesar dalam sistem demokrasi ala UMNO/BN kelihatan masih enggan mengambil risiko walau sudah wujud perubahan agak drastik pada PRU 12. Namun bukan satu perkara mustahil jika rakyat sekadar mahu berubah angin dan merisik-risik apa yang pihak lain boleh memberi jika diberi peluang. Dan inilah yang menjadi persoalan: apakah semua pihak bersedia setelah ada petanda jelas bagi pihak PR untuk memerintah.

Semua pihak menyadari hakikat bahawa kerajaan BN?UMNO telah memerintah lebih setengah abad dengan kuasa yang cukup kukuh dan bagi sesetengah pihak menganggap ianya merupakan kuasa yang hampir mutlak dan berlebihan sehingga menggugat falsafah dan prinsip demokrasi. Dengan kuasa majoriti lebih dari dua pertiga pemerintah boleh sahaja meminda dan menggubal segala macam undang-undang dan peraturan bagi mengukuhkan kedudukan mereka. Di samping itu mereka juga menguasai semua media perdana hingga khalayak hampir buta dan pekak terhadap suara yang mahu membawa perubahan atau melihat dari sudut yang laian.

Dalam demokrasi ala UMNO/BN pusat kuasa berpaksikan kuasa mutlak PM dalam semua hal. Bukan sahaja perkara besar seperti menentukan tarikh pilihanraya, menentukan siapa Ketua Hakim Negara, mengubah bahasa dari Melayu ke Inggeris dalam pendidikan, malah siapa patut mendapat projek apa pun ditentukannya. Sungguh hebat kuasa PM Malaysia sehingga nama pusat hentian bas Puduraya yang begitu sebati ditukar ke Pudu Sentral kerana sekadar mahu respon kepada permintaan seorang rakan fbnya(Tak hairanlah dahulu ada Menteri Besar yang tidak berapa cerdik dengan tidak sekonyong-konyong menukar nama Alor Setar kepada Alor Star tanpa merujuk kepada pakar dan rakyat terlebih dahulu)

Namun apabila dunia secara mendadak menghadapi ledakan maklumat dan keruntuhan sempadan serta rempuhan globalisasi dunia terbuka telah mengubah segala-galanya. Menyadari hakikat inilah maka pemerintah negara-negara dunia ketiga mulai gusar dan terpaksa melonggarkan cengkaman terhadap rakyat. Tiba-tiba kerajaan yang dahulunya begitu bebal dan kebal dengan kuasanya menjadi lunak terhadap permintaan rakyat. Status rakyat kononnya sebagai penentu yang memilih kerajaan mulai diiktiraf secara lebih serius berbanding dahulu di mana rakyat boleh sahaja dianggap sebagai peminta sedekah dan kerajaan sebagai pemberi dan penentu nasib masa hadapan rakyat.

Testimoni akibat perubahan ini terbukti dengan pertukaran kerajaan di negara dunia ketiga dan akhir-akhir ini hampir semua negara-negara kuku-besi di Asia Barat sudah runtuh atau hampir runtuh dan bahangnya terasa di mana-mana. Sebahagian besar negara-negara tersebut berselindung di sebalik sistem demokrasi dan kebanyakannya pula mendapat perlindungan(patronage) Uncle Sam@US.

Bagi Negara Malaysia yang tercinta ini rakyat masih berhati-hati dan sebahagian yang masih mangli dan tegar mulai menggunakan daya berfikir dan sedang memikir. Namun apakah mereka sudah bersedia.

Pihak pertama: Pemerintah/pemimpin parti. PR telah menerbitkan buku JIngganya sebagai janji yang komprehensif untuk mentransformasikan Negara dan sistem pentadbiran Negara. Walaupun ianya mungkin jika semua pemimpin PR benar-benar faham dan sanggup membuat pengorbanan besar dari segi ideologi parti masing-masing sehingga secara ijmak mereka menggunakan upaya politik (political will) bagi menginstitusikan perubahan berkaitan. Yang menjadi persoalan adakah mereka bersedia untuk memisahkan diri dari gaya dan cara UMNO/BN tanpa mengira risiko politik kendiri. Sebagai contohnya sanggupkah pemimpin PR meletak jawatan apabila berlaku sebarang musibah atau kemalangan akibat kecuaian kementerian yang dipimpinnya. Biasanya apabila perkara seperti ini berlaku maka pemimpin pembangkang selalu mendesak Menteri BN meletak jawatan.

Pihak Kedua: Penyokong dan aktivis parti PR. Penyokong dan aktivis parti pemerintah di bawah BN biasanya mendapat pelbagai `gula-gula` dan `madu` dalam bentuk projek, jawatan dalam GLC atau kenaikan pangkat atau macam-macam lagi ganjaran hanya kerana menjadi aktivis parti komponen BN. Apakah PR pun akan membuat demikian? Jika diamati di negeri-negeri yang diperintah PR unsur atau gejala ini memang sudah diikuti walaupun tidak sesembrono UMNO/BN. Namun inilah yang akan menimbulkan kekecewaan rakyat nanti dan menjadi senjata yang boleh menikam diri. Rakyat dan pembangkang akan berkata `apa bezanya dengan perangai BN/UMNO semasa mereka memerintah dahulu?`

Pihak Ketiga: Rakyat biasa. Selama 52 tahun mereka ini rata-rata tidak kisah selagi perut kenyang, ada wang secukup makan-pakai dan dapat hidup aman(tak semestinya makmur). Selama 52 tahun rakyat biasa menerima sahaja segala alasan yang disogok oleh kerajaan kerana itulah sahaja maklumat yang mereka ada yang disumbat ke telinga mereka oleh media cengkaman pemerintah. Tetapi rakyat di bawah pemerintahan baru nanti tidak semudah itu. Mereka sedikit sebanyak sudah belajar mendesak daripada pembangkang yang kini pula menjadi pemerintah. Namun persoalan besar adakah mereka sudah bersedia untuk menjadi rakyat yang bermaklumat dan mempunyai kebebasan yang akan diberi oleh kerajaan PR dan bersedia pula untuk menerima demokrasi model baru yang lebih terbuka.

Walau apapun tanggapan dan harapan semua pihak, yang pasti apabila PR memerintah di peringkat pusat nanti masanya sudah tiba bagi rakyat Malaysia `bermain` politik dalam gelanggang dan padang baru yang lebih luas, lebih rata dan tidak licin seperti sekarang. Pengalaman PR memerintah beberapa buah negeri dan kewibawaan kepimpinan PR tidak boleh diperlekehkan. Apa yang perlu hanyalah peluang dan kematangan.

5 comments:
Write comments
  1. UMNgOk sdh bersedia menjadi pensioner???

    ReplyDelete
  2. rakyat dah bersedia seperti mana rakyat menerima umno memerintah.

    ReplyDelete
  3. Adakah Malaysia memerlukan seorang pemimpin yang mempunyai masalah moral dengan kes liwat dan seks dengan isteri orang dan sebagainya??dan adakah kebajikan kaum bumiputera sabah sarawak terus dijamin kerana pembangkang begitu lantang ingin menghapuskan akta 152 dengan DAP hanya mengutamakan kepentingan kaum Cina serta PAS yang dilihat tidak lagi relevan pada orang Melayu dan Islam?dan ramaikah yang berkaliber dalam PR dalam mengisi kabinet?Tony Pua yang berstatus Singapura sbg Menteri Pertahanan negara kita?saya rasakan terlalu banyak persoalan

    ReplyDelete
  4. f you all support Islam, vote for PAS;.
    If you all support Malay, vote for PKR;.
    If you all support freedom, vote for DAP;.
    If you all support corruption, vote for BN!

    ReplyDelete
  5. dear pencinta negara:

    1. AI bukan faktor. kes liwat n seks meragukan. PR sdh ada momentum kuat with or without AI.
    2. sabah dilambakkan dgn PATI/rakyat palsu n dimiskinkan secara terhina n itu yg kau panggil KEBAJIKAN?
    3. DAP bertanding di 222 kaw?
    4. PAS itu x islam?
    5. klu PR x bagus [mcm UMNgOk], bulih buang dlm masa 5 thn n x perlu tunggu 54/48 thn.

    'mesin' dlm kepala itu namanya otak n itulah yg memisahkan antara homo sapiens dgn pongo pygmeus pygmeus!!!

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.