KEMATIAN atau maut adalah sesuatu yang tidak pernah diimpi-impikan oleh segenap manusia yang waras fikirannya. Mungkin sebab itu ia tidak ada dalam kamus kehidupan manusia, sama ada manusia itu Muslim atau bukan Muslim, ia tetap tidak menjadi satu perkara yang menjadi keutamaan dalam hidup mereka
Kebanyakan orang apabila ditanya, apakah mereka mahu mati atau bersedia untuk menghadapinya? Dengan spontan mereka menjawab; tidak, kerana masih belum puas mengecapi kehidupan, malah ada yang mahu terus hidup kerana mahu berseronok, hidup hanya sekali, maka perlu diisi dengan keseronokan.
Walau bagaimanapun jawapan mereka, kematian tetap akan menjemput mereka untuk menemui Allah, Tuhan segala manusia yang akan membuat perhitungan nanti di padang Mahsyar, bagi menentukan sama ada berhak untuk memasuki syurga–Nya atau sebaliknya akan disumbat dalam api neraka untuk menjadi umpan pembakarnya.
Mari kita sama-sama melihat pendekatan ayat-ayat al-Quran dalam isu yang berkaitan dengan kematian, sepertimana yang ditegaskan Allah menerusi ayat 78 surah an-Nisa’ yang bermaksud: “Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.”
Dalam ayat 8 surah al- Jumuah pula Allah menegaskan maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)”.
Jelas daripada kedua-dua ayat di atas, menunjukkan bahawa setiap diri manusia tidak akan terlepas daripada kematian yang tertulis di sisi Allah SWT apabila sampai ajal yang telah ditentukan. Bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah, ayat di atas cukup untuk jadi motivasi bagi dirinya untuk bersiap sedia dengan bekalan yang boleh memanfaatkannya ketika bertemu Allah pada hari akhirat.
Adapun bagi orang-orang yang lalai, kafir, tidak ada wawasan akhirat, tidak beriman dengan rukun-rukun iman yang enam, yang suka menyanggah hukum Allah dalam al-Quran, yang menderhaka kepada kedua ibu-bapa dan seumpamanya, adalah golongan orang-orang yang memang tidak bersedia dan tidak mahu bersedia dengan bekalan-bekalan untuk pertemuan dengan Allah SWT, malah percaya bahawa tidak akan ada lagi satu kehidupan selepas kematian di dunia ini.
Apapun percaya atau tidak percaya kepada kematian, kehidupan selepas hidup dan dibangkitkan daripada kuburkubur masing-masing tidak berlaku sekarang ini, tetapi ia akan datang menemui kita, sama ada ketika itu kita sedang bersolat, berzikir, menuntut ilmu ataupun dalam keadaan melakukan maksiat, berjudi, meminum arak, meragut, membunuh, memukul pasangan antara suami isteri dan lain-lain, yang penting masing-masing akan jawab terhadap apa yang telah diusahakan semasa hidup di dunia dahulu.
Jika baik, maka baik pulalah balasannya, dan sebaliknya jika jahat maka jahat pulalah hukumannya yang tidak tertanggung oleh tubuh badan manusia. Apapun manusia hari ini tidak pernah sedar bahawa Allah SWT memandang mereka dengan pandangan benci, laknat apabila mereka bertindak melakukan perkara-perkara yang terlarang.
Sesungguhnya pancaindera yang dianugerahkan Allah kepada manusia adalah untuk digunakan bagi tujuan mendekatkan diri kepada-Nya, tetapi sayang ramai dari kalangan mereka yang terus menunjukkan sikap anti kepada ajaran Islam, terdapat dalam kalangan mereka ada yang menyindir bahawa bukan semua Muslimah bertedung itu baik dan boleh masuk syurga.
Tidak kurang juga ada yang mengatakan, apa guna melakukan solat, kalau masih mahu melakukan kejahatan, dan bukan semua orang yang bersolat itu boleh masuk syurga, tidak bersolat pun boleh masuk syurga, kerana Allah bersifat Maha Penyayang terhadap hambahamba- Nya.
Ini memperlihatkan bahawa golongan yang menentang ajaran agama Islam dan al-Quran pada hari ini semakin bercambah hingga tidak boleh dihitung dengan jari jemari kita. Tidakkah wanita yang tidak bertudung itu secara terang-terangan telah melawan Allah tentang pemakaian tudung kepala dalam al-Quran?
Tidak kurang juga hari ini kita dapat lihat bercambahnya golongan munafik, musyrik, fasik dan lain-lain seperti Muktazilah moden, Jabariyah, Qadyaniah, Syiah dan lain-lain termasuk ajaran sesat yang telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa yang sebenarnya berleluasa dalam masyarakat.
Mengapa memilih jadi jahat jika tahu diri akan mati? Tidak cukupkah berita mengenai penderitaan yang ditanggung oleh manusia yang jahat yang diceritakan oleh al- Quran untuk dijadikan teladan dan renungan kepada mereka yang masih hidup. Nama-nama seperti Firaun, Haman, Namrud, kaum Thamud, kaum ‘Ad, kaum Nabi Nuh, Bani Israil yang menentang nabi-nabi di kalangan mereka telah dimusnahkan Allah, sepatutnya menjadi bahan untuk kita menjadikan diri lebih hebat dan bersedia dengan amalan-amalan yang baik-baik.
Di mana mereka dengan ayat yang ditegaskan Allah dalam surah al-Mukminun ayat 115-118 yang bermaksud: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada kami?”(115) Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi yang tetap benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan Yang mempunyai Arasy yang mulia.(116) Dan sesiapa yang menyembah Tuhan yang lain bersama-sama Allah, dengan tidak berdasarkan sebarang keterangan mengenainya, maka sesungguhnya hitungannya (dan balasan amalnya yang jahat itu) disediakan di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir tidak akan berjaya.(117) Dan berdoalah (wahai Muhammad dengan berkata): “Wahai Tuhanku, berikanlah ampun dan kurniakan rahmat, dan sememangnya Engkaulah sahaja sebaik-baik pemberi rahmat!”(118) Apa yang boleh kita faham daripada keterangan ayat di atas, bahawa hebat macam manapun manusia di dunia ini, mereka tetap akan mati, kalau buat jahat tidak akan mati, maka baguslah berbuat demikian bagi menunjukkan kehebatan masingmasing, tetapi kita tidak pernah diberitakan bahawa seorang penggusti hebat yang memegang tali pinggang gusti dunia peringkat ‘heavyweight’ masih hidup apabila usia menjangkau 80 tahun ke atas.
Kita ada membaca kejahatan para pemimpin Arab seperti Presiden Mesir, Gamal Abdul Naseer; Presiden Syria, Hafiz al-Asad; Presiden Mesir Anwar Saddat yang dikenali sebagai pemimpin yang terlibat dalam penangkapan para ulama hakiki, yang memenjarakan mereka, malah ada yang dibunuh, digantung sampai mati ataupun memotong lidah-lidah mereka, kesemua itu dilakukan bagi menunjukkan bahawa mereka berkuasa, tetapi apakah mereka masih kekal abadi dan tidak mati, malah kematian mereka dalam keadaan terhina di sisi Allah SWT.
Begitu pula dengan Mustafa Kamal Atarturk (kononnya bapa pemodenan Turki) yang bukan sahaja menyembunyikan Islam dalam negara sendiri, malah kisah kematiannya amat menyayat hati kerana seluruh hidupnya menentang Allah secara terbuka dan tersembunyi, dia merasakan akan terus hidup dan tidak akan menemui mati, tetapi tanggapannya itu meleset, dia mati hingga tanahtanah perkuburan tidak boleh menerima jasad mayatnya dan akhir sekali dia ditanam dalam keadaan yang luar biasa.
Begitulah para pemimpin umat Islam di negara masingmasing, yang beranggapan mereka berkuasa penuh ketika sedang memerintah, memisahkan suami daripada isteri dengan undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kejam lagi zalim, memisahkan seorang ayah dengan anak-anak yang memerlukan pembelaan, kesemua itu dilakukan kerana diri merasa hebat dengan kuasa yang ada, tetapi mereka lupa kejahatan yang dilakukan itu akan dinilai jahat di sisi Allah SWT.
Renungkanlah, jika buat jahat tidak akan mati, maka teruskan kejahatan dan tunggulah saat kematian yang akan menjenguk diri kita masing-masing. Mulakan hidup ini dengan mempelajari ayat-ayat Allah dalam al-Quran, hadis-hadis baginda Rasulullah s.a.w. yang merupakan pedoman dan rujukan yang tidak ada di dalamnya sebarang keraguan, bagi yang menerima-pakai kedua-duanya, pasti tidak akan sesat buat selama-lamanya.
Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM
Wednesday, June 12, 2013
Bersedialah, esok hari akhir kita?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
http://www.google.com.my/url?sa=t&rct=j&q=kekayaan%20taib%20mahmud&source=web&cd=1&cad=rja&ved=0CC8QFjAA&url=http%3A%2F%2Fbtmmari.blogspot.com%2F2013%2F04%2Fsenarai-harta-kekayaan-taib-mahmud.html&ei=t6LWUYvWIs7KrAfPu4HACA&usg=AFQjCNF7sou7IMk8q8OkV4be5UooL4ASXg
ReplyDelete