Monday, June 10, 2013

Seniwati Latifah Omar meninggal dunia

Seniwati Latifah Omar, 74, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) petang Ahad kerana sakit usus.

Menurut anak sulungnya, Afendi Rahmat, 55, Allahyarham sebelum ini menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan di Kampung Baru sebelum dibawa ke PPUKM untuk menjalani pembedahan kerana sakit ususnya itu.

"Doktor maklumkan bahawa usus arwah membengkak dan tersumbat dan perlu dibedah untuk menjadikan keadaannya stabil.

"Pembedahan yang dilakukan semalam cuba menstabilkan ibu tetapi tidak berjaya, dan Allahyarham meninggal dunia pada 6.19 petang," katanya ketika ditemui Bernama di Masjid Al-Khairiah AU3 malam tadi.

Menurutnya, antara pesanan terakhir arwah ialah supaya jenazahnya dibawa ke masjid itu untuk disempurnakan. Jenazah dijangka dikebumikan Tanah Perkuburan Islam AU4 pada 11 pagi esok.

Allahyarham Latifah, yang meninggalkan empat anak dan lapan cucu, ketika sakit sering dikunjungi rakan seperjuangan yang tidak putus-putus memberi doa dan sokongan, kata Afendi.

Sementara itu, sepupu arwah, Zalimah Nordin, 64, berkata Latifah pernah berpesan supaya saudara terdekat yang tinggal di kawasan AU3 menjaganya ketika tenat.

Latifah, legenda filem Melayu yang sepanjang kariernya sering digandingkan dengan seniman Nordin Ahmad, meninggal dunia tidak sampai seminggu selepas rakan seangkatannya Allahyarham S.Shamsuddin meninggal dunia di Singapura akibat sakit tua dan paru-paru berair.

Arwah membintangi filem klasik yang diminati ramai seperti Panggilan Pulau, Bawang Putih Bawang Merah, Laila Majnun, Putus Sudah Kasih Sayang, Gurindam Jiwa, Hang Jebat dan Hati Batu.

Selain Nordin, Latifah diberi peluang berlakon di sisi pelakon hebat pada masa itu antaranya Tan Sri P.Ramlee, Normadiah, Yusof Latif, Saleh Kamil, S. Shamsudin, Siti Tanjung Perak, Omar Rojik, S.Kadarisman dan Ibrahim Pendek.

- Bernama

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.