Wednesday, October 30, 2013

Bajet 2014: Sarawak terpinggir lagi?

Bajet 2014 yang amat dinanti-nantikan itu sudah pun dibentangkan. Ramai menggelar belanjawan kali ini sebagai ‘Bajet GST’ dan ‘Bajet Gula’ merujuk kepada cadangan pelaksanaan sistem GST bermula pada tahun 2015 dan pemansuhan subsidi gula mulai Sabtu lalu.

Jika ditinjau daripada dua sudut ini, Bajet 2014 jelas sebuah belanjawan yang agak berani kerana ia cuba untuk tidak populis. Mungkin ini adalah cerminan ‘keyakinan’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan mandat baru beliau pada PRU 13 yang lalu khususnya daripada Malaysia Timur.

Sekilas pandang, Bajet 2014 tampak lebih mesra Sarawak dan Sabah. Berikut adalah projek utama yang dikhususkan untuk Malaysia Timur dalam pembentangan Bajet 2014:

  1. RM850 juta untuk kabel dasar laut bagi peningkatan capaian internet di Sarawak dan Sabah
  2. RM500 juta untuk Lebuhraya Pan-Borneo
  3. RM331 juta untuk penyeragaman harga barangan di Sarawak dan Sabah
  4. RM312 juta untuk menaiktaraf beberapa lapangan terbang termasuk di Sarawak dan Sabah
  5. RM130 juta untuk subsidi pengangkutan udara luar bandar di Sarawak dan Sabah
  6. RM75 juta untuk bantuan tangki air di Sarawak
  7. RM50 juta untuk kerja pengukuran dan pengesahan tanah adat bumiputera Sarawak dan Sabah
  8. RM30 juta untuk 60 buah Kedai Rakyat 1 Malaysia di Sarawak dan Sabah
  9. 2 RTC untuk Sarawak dan Sabah
  10. 1 UTC di Sarawak

Secara keseluruhan, projek di atas berjumlah sekurang-kurangnya RM2.3 bilion. Jelas, suatu peruntukan yang lebih besar berbanding tahun sebelum ini. Tentunya rakyat Sarawak tanpa mengira kaum dan agama bersyukur kepada Allah atas peruntukan sebesar ini. Namun adakah cadangan Perdana Menteri ini menepati keperluan sebenar rakyat di sebelah sini?

Sebagai contoh, peruntukan RM850 juta untuk kabel dasar laut walaupun baik tetapi saya kira agak besar dan tidak menepati keperluan sebenar rakyat Sarawak khususnya di luar bandar. Berdasarkan maklumat terkini daripada SKMM, capaian internet di Sarawak sudahpun mencapai tahap 55%, (melepasi sasaran kerajaan pada kadar 50%) dan ini sebenarnya jauh lebih baik berbanding Kedah, Kelantan dan Perak walhal capaian bekalan air paip terawat di luar bandar Sarawak hanya 57.4% dan dalam masa yang sama, Sarawak adalah negeri ketiga tertinggi insiden kemiskinannya (Laporan Penyiasatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2012).

Peruntukan RM500 juta untuk membaiki Lebuhraya Pan-Borneo pula sebenarnya terlalu rendah berbanding keperluan untuk menaiktaraf jalan raya tulang belakang sistem pengangkutan darat di Borneo ini kepada ‘dual-carriage way’ yang dianggarkan berjumlah RM22 bilion (Pelan Pembangunan Rangkaian Lebuhraya 2010). Malah, berdasarkan ulasan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi, Datuk Seri Michael Manyin, sebahagian besar daripada peruntukan ini hanya akan digunakan untuk pembinaan 95 laluan memotong sepanjang lebuhraya sejauh 2,239 km ini. Jelas, komitmen kerajaan pusat untuk menyediakan sebuah lebuh raya yang baik dan selesa untuk rakyat Sarawak dan Sabah setanding dengan yang dinikmati rakan di Malaysia Barat masih diragui.

Selain itu, strategi pemberian subsidi bagi menyeragamkan harga barangan pengguna di Sarawak dan Sabah berjumlah RM331 juta pula dilihat tidak lestari secara ekonominya. Ini adalah kerana pendekatan yang jauh lebih efektif adalah semakan semula dasar kabotaj sedia ada yang menghalang pemunggahan dan pengangkutan barangan secara langsung ke pelabuhan di Sarawak dan Sabah.

Dasar kabotaj ini diakui oleh ramai penganalis sebagai antara punca utama perbezaan harga barangan di antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur di samping masalah ketidakcekapan sistem pengangkutan darat yang disebabkan oleh keadaan Lebuhraya Pan-Borneo yang kurang memuaskan tadi. Dengan dasar yang lebih tepat, RM331 juta ini mungkin lebih strategik digunakan untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan anak Bumiputera Sarawak khususnya di luar bandar yang mengikut banyak kajian tokoh pendidik di Sarawak menghadapi masalah pencapaian akademik dan disiplin yang serius.

Isu tanah adat bumiputera atau tanah NCR di Sarawak adalah isu besar yang menunjangi perasaan tidak puas hati sebahagian besar rakyat Sarawak khususnya orang Dayak terhadap kerajaan negeri sekarang ini. Isu dasarnya bukanlah semata-mata tentang mempercepatkan pengukuran dan pengesahan status tanah NCR tersebut tetapi yang jauh lebih penting ialah pengiktirafan kerajaan negeri terhadap hak kaum Bumiputera ke atas tanah adat turun temurun mereka mengikut hukum adat mereka sendiri.

Mempercepatkan proses pengesahan tanah NCR atau juga disebut sebagai ‘perimeter survey’ ini pada asasnya akan mempercepatkan proses pengambilalihan tanah tersebut oleh kerajaan negeri dan agensi berkaitan tanpa perlu mengiktiraf status ‘pulau galau’ (hutan simpanan komunal) dan ‘pemakai menoa’ (domain wilayah rumah panjang) tanah rakyat ini sebagai tanah NCR.

Isu definisi tanah adat ini sebenarnya sudahpun diakui oleh Mahkamah Tinggi dalam kes Nor Nyawai pada 2001 yang menjelaskan bahawa tanah NCR bukanlah hanya ‘temuda’ (kawasan yang terdekat dengan rumah panjang yang juga digunakan untuk bercucuk-tanam dan lain-lain) seperti mana yang difahami oleh kerajaan negeri tetapi ia juga termasuklah ‘pulau galau’ dan ‘pemakai menoa’. Ini adalah isu penghakisan hak rakyat bumiputera Sarawak oleh kerajaan negeri dan agensinya ke atas tanah-tanah adat mereka. Sebenarnya bukanlah RM50 juta ini yang diperlukan tetapi yang rakyat mahukan ialah reformasi undang-undang berkaitan tanah adat secara komprehesif agar tanah NCR mereka tidak terus dirampas pihak berkepentingan.

Ya, benar rakyat Sarawak juga akan menerima manfaat daripada inisiatif BR1M, i-BR1M dan peruntukan untuk sistem kesihatan, pendidikan dan pembangunan luar bandar yang lain. Namun demikian, apa yang cuba diketengahkan di sini ialah persoalan setakat mana peruntukan besar untuk Sarawak ini benar-benar menepati keperluan rakyat Sarawak itu sendiri? Atau adakah ia akan direbut dan dinikmati oleh kelompok elit tertentu di negeri ini sahaja? Berbelanja besar biarlah kena pada tempatnya dan beramanah sentiasa. Moga-moga igauan ketirisan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 tidak berulang lagi. – 29 Oktober, 2013.

* Mohd Aizan Mohd Nor ialah Pengarah, Sarawak Centre for Policy Studies.

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.