KEMENANGAN total Khairy Jamaluddin dan kemenangan besar Shahrizat Abdul Jalil dalam pemilihan Ketua Pemuda dan Wanita Sabtu lalu telah mencetuskan beberapa ramalan dan cakap kedai kopi mengenai pemilihan Majlis Tertinggi (MT) Umno Sabtu ini.
Ada yang melegakan dan tidak kurang pula yang mengerikan. Ada berunsur konspirasi dan ada yang berciri peribadi.
Berikut adalah antara inti sarinya:
1. Kedudukan Presiden, Mohd Najib Abdul Razak, yang menang tanpa cabaran semakin kukuh.
2. Presiden kini mungkin berasa beliau sudah berkedudukan untuk membuat “tuntutan” antaranya agar status quo Naib Presiden dikekalkan, khasnya demi kepentingan sepupu beliau Hishammuddin Hussein yang dikatakan paling “vulnerable” (terancam) di kalangan tiga penyandang.
3. Shahrizat yang disayangi Presiden dan akur kepada Presiden pastinya menurut sahaja apa yang dibisikkan oleh Presiden atau oleh penasihat-penasihat Presiden yang sangat ramai itu.
4. Setelah menang mutlak mengikut pemilihan kolej (bahagian), Khairy kini kuat dan berpengaruh. Beliau mempunyai “voting block” yang padu yang mampu mencorakkan pemilihan Naib Presiden dan ahli biasa MT serta membuat tuntutan terhadap Presiden.
5. Adalah tidak memeranjatkan kalau Khairy bersimpati dengan Hishammuddin yang berupa pendahulu kepada beliau sebagai Ketua Pemuda.
6. Dalam konteks masa depan, menyekat kemaraan Mukhriz Mahathir adalah strategi yang baik bagi Khairy kerana mereka lebih hampir dari aspek usia dan asal usul. Khairy 37 tahun dan Mukhriz 48. Khairy menantu bekas Perdana Menteri dan Mukhriz anak bekas Perdana Menteri. Khairy cergas dalam Umno sejak zaman bapa mentuanya tetapi Mukhriz cergas hanya selepas bapanya bersara.
7. Saya tidak kenal ketua baru Puteri Umno, Mas Ermieyati Samsudin. Tetapi khabarnya beliau cerdik dan berwawasan. Harap-harap beliau juga pandai. Bangsa Melayu, khasnya Umno, memerlukan cerdik pandai. Beliau boleh memilih untuk berkecuali atau memihak kepada calon-calon MT yang segenerasi dengan beliau atau yang lebih hampir usia dengan beliau kerana merekalah yang akan menentukan hidup mati Umno pada masa akan datang.
8. Dan di pihaknya, Mohd Najib boleh memilih menjadi ketua yang adil dan tidak memihak atau beliau boleh menggunakan kemenangan tanpa perlawanannya untuk mempengaruhi pemilihan Naib Presiden dan ahli MT lainnya.
Kesimpulan rambang adalah keputusan pemilihan Wanita, Pemuda dan Puteri Sabtu lalu boleh mencorakkan pemilihan tiga jawatan Naib Presiden dan jawatan-jawatan lain dalam MT. Wallahualam.
http://kadirjasin.blogspot.com/
Thursday, October 17, 2013
Bayangan “Ngeri” Keputusan Pemilihan Pemuda, Wanita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.