Sering kali, setiap kali dilanda masalah atau dikepung krisis, maka kita beranggapan itulah saat paling getir pernah dilalui. Sedangkan badai yang menimpa sebelumnya mungkin lebih dahsyat dan cukup perit tetapi disebabkan berjaya meredahnya dengan selamat, lalu kita beranggapan problem masa kini lebih mencabar dan menggugat.
Misalnya, krisis kepemimpinan PAS pada awal 1980-an, yang menyisihkan bekas presiden, Asri Muda dan ramai lagi pemimpin tertinggi, dianggap kemuncak pertembungan yang membelah-bahagikan parti.
Ada penganalisis melihat PAS bukan hanya bertukar dari segi saf kepemimpinan tertinggi, malah berubah watak dan rohnya. "Apa yang berlaku seolah-olah revolusi dalam PAS," kata seorang editor politik, "dan Yusuf Rawa berjaya mengendalikannya dengan baik sekali."
Namun begitu, sejurus PAS kembali berpadu kukuh di bawah era kepimpinan ulama, meskipun terpaksa berdepan kekalahan teruk dalam PRU1986 yang menyaksikan kemenangan kerusi Parlimen tunggal di Pengkalan Chepa, ahli-ahlinya merasakan saat paling kritikal sudah pun berlalu.
Sebelumnya, ketika PAS diasak keluar daripada Barisan Nasional, diikuti perisytiharan darurat dan menyebabkan kehilangan Kelantan pada 1978, Parti Islam itu berdepan pelbagai kemungkinan masa depan yang tidak menentu.
Bagaimanapun, selepas mendapat suntikan "darah baru", khususnya daripada ABIM dan tenaga muda lulusan luar negara, serta percubaan PAS untuk memperluaskan wilayah operasinya di luar kubu tradisi, terutama di pantai barat dan selatan tanahair -- walaupun ramai calonnya hilang wang pertaruhan dalam pilihan raya umum -- ramai percaya kekalahan di Kelantan ada hikmah tersendiri.
Begitu juga dengan masalah dalaman Umno. Percubaan Sulaiman Palestin mencabar presiden, Hussein Onn langsung tidak menggambarkan parti dalam krisis. Di bawah Dr Mahathir Mohamad, kekosongan jawatan timbalan presiden mengundang pertarungan sengit Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam, sebanyak dua kali.
Pertempuran paling sengit berlaku pada April 1987, menyaksikan Team A dan Team B merebut semua jawatan penting. Dr Mahathir yang dicabar Ku Li hanya menang tipis, 43 undi. Kewujudan perwakilan haram menyeret Umno ke mahkamah, dan atas dorongan peguam Dr Mahathir, Hakim Harun Hashim tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa mengisytiharkan Umno parti haram.
Peristiwa itu diangap paling mendebarkan, malah episod hitam, dalam sejarah Umno (walaupun pengharaman itu adalah kehendak Dr Mahathir sendiri), sehingga Presiden MCA pernah dilantik buat seketika menjadi Pengerusi BN. (Dr Mahathir turut bersandiwara dengan mendakwa keputusan mahkamah tersebut membuktikan kebebasan kehakiman di Malaysia).
Tanpa menunggu lama, hujung 1993, Team Wawasan yang diterajui Anwar Ibrahim "mengamuk"; Ghafar Baba, Abdullah Ahmad Badawi dan Sanusi Junid tersingkir. Sebaik Anwar dilantik Timbalan Perdana Menteri dan disahkan jawatan Timbalan Presiden Umno, sudah timbul cakap-cakap beliau hanya memerlukan masa 18 bulan untuk menjatuhkan Dr Mahathir.
Dan Umno digambarkan akan berdepan konflik dalaman yang lebih serius apabila "ibu segala peperangan" tercetus antara Dr Mahathir dan Anwar. Takut berdada kemungkinan cabaran timbalannya, maka Dr Mahathir lebih awal lagi memintasnya, dengan langkah pemecatan yang memaksa Anwar bersilat di luar gelanggang.
Ramai pemerhati, apatah lagi ahli-ahli Umno sendiri, merasakan suasana ketika itu, yang ditandai dengan era reformasi 1998-99, lebih genting berbanding cabaran Ku Li dan Musa pada 1987.
Kembali kepada PAS, yang berada di ambang pemilihan parti hujung November nanti. Memang ini bukan kali pertama ia berdepan pertandingan melibatkan jawatan tertinggi, khususnya timbalan dan naib-naib Presiden.
Sebaik Ustaz Fadzil Mohd Noor meninggal dunia dan digantikan -- tanpa sebarang pertikaian -- oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang, jawatan timbalan presiden terbuka kepada pertandingan, di antara Ustaz Hassan Shukri dan Mustafa Ali.
Saya tidak mengikuti dari dekat proses pemilihan waktu itu, termasuk kemudiannya, cabaran Ustaz Nasharuddin Mat Isa terhadap penyandang jawatan no. 2, Ustaz Hassan. Apa pun, yang pasti, tidak terbayang bahawa PAS berdepan krisis ataupun membahagikan parti kepada dua kelompok, hanya kerana pertandingan timbalan presiden.
Begitu juga apabila Ustaz Nasharuddin dicabar oleh Ustaz Harun Taib, seterusnya Husam Musa dan Mohamad Sabu, dan pusingan terakhir oleh Mat Sabu dan Tuan Ibrahim Tuan Man. Rata-rata ahli parti menganggapnya sebagai amalan demokrasi yang wajar dihormati. Tidak timbul soal kumpulan atau team. Masing-masing menawar khidmat untuk turut menyumbang buat kemajuan jamaah.
Saya harap saya tidak tersilap apabila terasa sesuatu yang berbeda ketika banyak pihak mula bercakap tentang pemilihan 2013, bukan hanya merujuk jawatan timbalan presiden, tetapi juga naib presiden, malah AJK PAS Pusat.
"Saya pun terasa begitu, walaupun sudah lama dalam parti dan pernah menempuh pelbagai pancaroba zaman sejak Dr Burhanuddin Al-Helmi, tetapi kali ini saya agak khuatir, pertandingan bukan saja nampak sengit tetapi boleh memecah-belahkan parti," kata seorang veteran PAS.
"Apa yang digambarkan pertembungan profesional, ulama, bagi saya, bukan lagi tohmahan tetapi memang real. Anda tidak perlu menyiasat lebih dalam; cukup mendengar dari jauh pun sudah cukup untuk memahami pergolakan itu," tambahnya.
"Ditambah keterbukaan media baru, terutama Facebook dan Twitter, saya cukup terkejut dengan perbahasan yang bukan saja melampaui adab berjamaah, tetapi juga rukun bersahabat," rungut seorang rakan, yang juga mengikuti perkembangan PAS sejak tahun 70-an.
"Orang luar yang selama ini kagum dengan disiplin ahli PAS pun terkejut besar dengan kempen pemilihan. Kaedahnya juga semakin licik, dan lebih teruk, ada yang tidak beretika, termasuk anak muda, seolah-olah tidak hormati langsung orang lama dalam parti," ujarnya, sambil menekankan kehairanannya mengapa fenomena itu boleh berlaku dalam PAS.
Saya cuba menenangkan diri sendiri, walaupun tidak begitu yakin: "Insya-Allah segalanya akan berakhir dengan selesainya muktamar nanti. PAS akan kembali berpadu, kita pernah hadapi masalah dalaman lebih sukar. Allah akan selamatkan PAS."
Seorang peguam muda, bekas pimpinan pelajar menyanggah: "Kita tidak boleh hanya berharap jadi begitu. Siapa pun yang menang nanti, yang terasa perit luka sukar untuk disembuhkan. Saya nampak kita semacam akan terbahagi dua dengan jalur pemikiran jauhberbeda."
"PAS parti arus perdana yang semakin membesar dan berkembang pesat, dengan pelbagai latar belakang ahli, tentulah akan berdepan situasi ini," saya cuba mententeramkan peguam muda itu.
"Ya, kita parti arus perdana, tapi perlulah bersikap dan berwajah seperti parti yang bakal menerajui kerajaan, mewakili aspirasi rakyat ...," cepat saja dia memintas. saya terpaksa berundur; rakan saya ini benar-benar merasakan PAS berada di persimpangan yang kritikal.
Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Friday, October 18, 2013
PAS hadapi situasi paling sulit?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.