Wednesday, October 30, 2013

Perkara membingungkan dalam bajet 2014

Sepintas lalu, perbandingan antara Bajet 2013 dan Bajet 2014 adalah sebagaimana jadual di bawah.Inilah bajet yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat lalu. Sila ikuti jadual di atas ketika membaca analisa kedai kopi di bawah.

Masalah utama yang membelenggu negara ialah ketirisan dan kebocoran di dalam pembelanjaan kerajaan.

Antara bajet 2014 dan 2013, Najib berkata, pendapatan negara bakal bertambah sebanyak RM15.5 bilion. Daripada pertambahan itu, lebihan RM12.6 bilion digunakan untuk perbelanjaan.

Jadual 1.
Jadual 1.

Disebabkan pertumbuhan pendapatan melebihi tambahan perbelanjaan, maka Najib dengan bangganya mengumumkan kadar defisit akan berkurangan sebanyak 0.5% lagi di 2014.

Yang membingungkan ialah mengapa perlu lebih berbelanja RM12.6 bilion? Sepatutnya perbelanjaan mengurus perlu berkurangan jika kerajaan melakukan sesuatu pembaikan pada ketirisan dan kebocoran pengurusan kewangan negara seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Lebih menyayatkan hati ialah lebihan RM12.6 bilion bukan digunakan untuk pembangunan negara.

Malah pertambahan RM12.6 bilion ini tidak dapat menampung pertambahan perbelanjaan mengurus 2014, iaitu RM15.8 bilion.

Oleh itu, peruntukan pembangunan dipotong sebanyak RM3.2 bilion, melebihi pengurangan defisit antara 2013 dan 2014 yang berjumlah RM2.9 bilion.

Apa yang menelan lebihan RM15.8 bilion di dalam perbelanjaan mengurus pula?

Jadual 2.

Jadual 2.*Semua data diambil daripada ucapan Bajet 2014, namun begitu secara matematik jumlah perbelanjaan mengurus melalui kiraan penulis hanya RM217.6 bilion dan bukannya RM21.7.7 bilion yang disebut Najib.

Oleh itu, perbezaan perbelanjaan antara 2014 dan 2013 hanya RM15.7 bilion secara matematik di Jadual 2 dan bukan RM15.8 bilion di Jadual 1. Penulis malas mencari di mana silap pergi RM0.1 bilion itu.

Jika kerajaan betul ingin hemat berbelanja, mengapa ada tambahan perbelanjaan kepada perkhidmatan dan bekalan sebanyak RM2.9 bilion, pembelian aset sebanyak RM0.3 bilion dan juga perbelanjaan lain sebanyak RM0.3 bilion.

Pengurangan subsidi juga sepatutnya mengurangkan perbelanjaan pengurusan. Jadi dengan pertambahan perbelanjaan pengurusan RM15.8 bilion ini (yang melebihi penambahan pendapatan negara sebanyak RM15.5 bilion), ini menandakan setiap sen yang dijimatkan melalui kenaikan harga minyak dan gula bukan dijimatkan untuk mengurangkan defisit tapi dibelanjakan semula oleh kerajaan dalam bentuk perbelanjaan pengurusan.

Ini menunjukkan hujah bahawa langkah pengurangan subsidi yang menekan kehidupan rakyat bukan untuk mengurangkan defisit, tapi sebaliknya untuk menampung perbelanjaan mengurus kerajaan yang semakin membesar tanpa penjelasan khusus.

Cara kerajaan mengurangkan defisit negara ialah dengan memotong peruntukan pembangunan sebanyak RM3.2 bilion.

Jadual 3.

Jadual 3.Daripada Jadual 3, hampir semua sektor dijadikan mangsa untuk mengurangkan defisit kerajaan yang semakin teruk. Perbelanjaan di sektor ekonomi dipotong RM1 bilion dan sektor sosial yang kebanyakannya untuk manfaat rakyat pula dipotong sebanyak RM0.6 bilion.

Rakyat mengharapkan di Bajet 2014, kerajaan akan mengawal belanja dan menguruskan kewangan dengan baik dengan mengurangkan ketirisan dan kebocoran. Ini hanya boleh dilihat melalui perbelanjaan mengurus yang tidak bertambah dengan drastik, malah seeloknya kekal dan berkurangan.

Dalam Bajet Alternatif Pakatan Rakyat, dilihat ada usaha ke arah ini di mana kenaikan gaji untuk Kabinet dan ketua jabatan dimansuhkan. Pakatan Rakyat juga berjanji mengambil langkah khusus untuk mengatasi ketirisan dan kebocoran – iaitu untuk mengurangkan perbelanjaan pengurusan kerajaan.

Bayangkan jika perbelanjaan pengurusan kekal pada paras RM201.9 bilion, maka lebihan pendapatan sebanyak RM15.5 bilion dapat digunakan untuk mengurangkan defisit negara yang semakin meruncing. Di 2014 sahaja, negara sudah boleh mencapai tahap surplus (lebihan) jika perbelanjaan pengurusan dapat dikekalkan di tahap yang lama.

Sekarang di 2015, kerajaan akan mula mengenakan GST sebagai hasil pendapatan yang baru. Jika kerajaan tidak tahu mengurus perbelanjaan pengurusannya, apa-apa pendapatan baru juga tidak membantu mengurangkan defisit negara.

Yang dikorbankan untuk mengurangkan defisit negara kini ialah potongan kepada peruntukan pembangunan, dan ini tidak diberitahu secara khusus oleh Najib dalam ucapannya.

Kepada sektor ekonomi, sektor sosial, sektor keselamatan dan perbelanjaan pembangunan pentadbiran am, terima kasih di atas pengorbanan kamu untuk mengurangkan defisit negara.
Namun, pengorbanan kamu semua tidak dihargai kerana yang diwar-warkan oleh kerajaan ialah pengurangan defisit adalah hasil pengorbanan pemotongan subsidi untuk rakyat yang menyebabkan harga minyak dan barangan naik mendadak ketika kerajaan umumkan inflasi hanya dua peratus

Oleh Timmy Say

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.