Friday, October 18, 2013

Ustaz Azam disebut sebagai calon PAS Sg Limau?

Ketua Pemuda PAS Jerai, Ustaz Azam Samad (gambar), 37, disebut-sebut bakal dinamakan sebagai calon PAS dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Limau yang akan berlangsung 4 November ini.

Beliau yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Mesir adalah nama yang paling popular di kalangan lapan nama yang disenarai pendek oleh PAS untuk mewakilinya dalam PRK ini.

Azam yang merupakan Pengarah Jabatan Pasti Kedah, satu institusi penting di bawah PAS merupakan anak didik politik kepada bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

PAS Kedah sebelum ini menyenarai pendekkan lapan nama calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau untuk dipertimbangkan kepimpinan PAS Pusat.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata calon PAS untuk PRK DUN Sungai Limau akan diumumkan Presiden PAS,

Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada malam 21 Oktober, di Pekan Sungai Limau, Yan.

"Difahamkan Barisan Nasional (BN) umum calon pada 21 Oktober sebelah siang. Kita pula sebelah malam. Kesemua lapan senarai calon kita berkelayakan. Kesemua mereka anak didik Ustaz Azizan (bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak)," katanya dalam sidang media di Kompleks PAS Kedah dekat sini 12 Oktober lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau diadakan pada 4 November manakala hari penamaan calon ditetapkan 23 Oktober.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak dalam kawasan Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian Azizan pada 26 September lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 Mei lalu, Azizan mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 untuk PAS, dengan menewaskan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN dengan majoriti 2,774 undi.

Selain Azam, Setiausaha PAS Kawasan Jerai, Muzaini Azizan yang juga bekas Pegawai Khas Azizan juga disebut sebagai calonnya.

Muzaini yang rapat dengan Azizan, malah ketokohan beliau menguruskan kawasan sejak ketiadaan Azizan termasuk ketika Azizan kerap keluar masuk hospital.

Seorang lagi calon yang mungkin disenaraikan ialah Setiausaha Perhubungan PAS Kedah, Musaddak Ahmad, yang juga calon bagi Dun Guar Chempedak pada PRU13 lalu.

Dalam pada itu, anak kepada ulama juga pengasas Sekolah Menengah Agama Nahdzah, Bukit Besar, Mohd Muaz Othman al-Yunusi juga kemungkinan tersenarai.

Mohd Muaz merupakan Ketua Pemuda dan Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Sungai Limau.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) Kedah telah menyenaraikan empat nama untuk dipilih sebagai calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 4 November ini.

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) berkata senarai itu telah diserahkan kepada Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya dimaklumkan beliau (Muhyiddin) akan berbincang perkara ini dengan Pengerusi BN (Datuk Seri Najib Tun Razak). Saya menantikan keputusan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jamuan Aidiladha di Kuala Kangsar hari ini.

Antara nama yang disebut-sebut adalah Pegawai Khas Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Ikmal Ismail yang merupakan Naib Ketua Umno Jerai di mana Sungai Limau di bawah parlimen Jerai.

Manakala tiga nama lagi yang disebut ialah Dr Abu Hashim; Dr Suhaimi Lazim dan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, ketua bahagian sekarang.

Sumber Umno berkata, Mohd Suhaimi merupakan pilihan utama berdasarkan kedudukannya sebagai ketua bahagian. -TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.