Wednesday, October 30, 2013

Muhyiddin bidas pembangkang cuba takutkan rakyat isu GST

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) hari ini membidas pakatan pembangkang yang cuba menakut-nakutkan rakyat mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan kerajaan pada April 2015.

Beliau berkata walaupun pembangkang tahu cara pungutan cukai baharu itu lebih berkesan berbanding sistem lama, mereka tetap memutar belitkan perkara itu.

"Mereka kata GST letak rakyat dalam kesusahan...terbeban dengan cukai yang lebih tinggi. Sedangkan pendekatan kerajaan Barisan Nasional adalah untuk mengelakkan rakyat terbeban, banyak barang yang dikecualikan cukai.

"Bila pembangkang menyentuh isu GST, mereka tidak sebutkan perkara ini (kebaikan)," katanya pada Ceramah Perdana dan Malam Keseniaan Islam di Pusat Transformasi Luar Bandar Sungai Limau Dalam di sini.

Muhyiddin berkata sistem GST akan lebih berkesan kerana hasil pungutan cukai akan disalur kembali kepada rakyat melalui pembangunan dan bantuan-bantuan lain seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Beliau kemudiannya meluangkan masa mendengar ceramah oleh penceramah bebas, Ustaz Kazim Elias, pada majlis yang turut dihadiri calon Barisan Nasional Dr Ahmad Sohaimi Lazim. - Bernama

1 comment:
Write comments
  1. Ya TPM GST ini boleh memperkayakan rakyat miskin bukan begitu!

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.