Wednesday, October 23, 2013

Kos kempen Naib Presiden Umno RM13 juta ?

PERBELANJAAN yang dikeluarkan untuk membolehkan seseorang pemimpin Umno memenangi kerusi naib presiden parti itu dianggarkan sehingga RM13 juta, itu pun hanya untuk mendapatkan undi daripada 64 bahagian.

Seorang calon Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Nur Jazlan Mohamed menjelaskan, anggaran itu dibuat berdasarkan anggaran kos untuk selamat yang dikeluarkan bagi sesebuah kawasan bernilai RM200,000.


Menurut Nur Jazlan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kiRa Wang Negara (PAC), bagaimanapun, “kos jentera” lebih besar ekoran keputusan menunjukkan bahawa kemenangan di 64 kawasan sahaja tidak cukup untuk selamat di jawatan itu.

Katanya, beliau hanya membuat andaian, tetapi akhirnya nyata sekali calon-calon perlu lebih daripada 64 bahagian, manakala beliau pula kalah kerana kurang berkemampuan dalam jentera berbanding mereka yang mempunyai kedudukan dalam kerajaan.

“Mereka (menteri dan timbalannya) boleh pergi ke mana saja untuk berkempen tetapi saya tidak mampu, jentera mahal. Ia bayar wang untuk orang berkempen, bukan bayar untuk undi,” katanya.

Mendedahkan perkara itu menerusi media tempatan 21 Oktober lalu, beliau menjelaskan, kos yang dimaksudkan oleh beliau itu bukan membabitkan masalah pembelian undi atau imbuhan untuk undi, tetapi merupakan kos menggerakkan jentera untuk kempen.

Nur Jazlan, Ahli Parlimen Pulai, yang tewas dalam menduduki kerusi Majlis Tertinggi pada pemilihan parti itu 20 Oktober lalu turut mengakui, di bawah sistem sekarang sangat sukar bagi orang baru sepertinya untuk menang kerana “kos masuk” tinggi.

Dalam pemilihan tersebut, tiga penyandang untuk jawatan naib presiden, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Dato’ Seri Shafie Apdal dan Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, yang dilihat disokong Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Razak, dapat mengekalkan kedudukan.

Sementara itu, seorang calon Ketua Umno Bahagian Serdang, Dato’ Mohd Zaidi Md Zain kesal kerana tawaran perubahan kepimpinan yang dibawa oleh beliau dalam Umno bahagian itu “telah dikalahkan dengan tawaran duit dalam sampul oleh pihak lawan pada saat akhir sebelum persidangan bermula”.

“Maaf jika saya simpulkan bahawa rasuah politik masih membelenggu kewarasan akal fikiran perwakilan Umno,” katanya menerusi akaun Facebooknya pada 19 Oktober lalu.

Manakala bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah pula mengakui kegagalannya mengekalkan jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh pada 19 Oktober lalu kerana tidak mengamalkan politik wang.

Dalam pertandingan tiga penjuru bagi merebut jawatan itu, Saifuddin memperolehi 204 undi, berbanding Nor Azmi Mat Ludin 248 serta Dato’ Akbar Abu yang mendapat 188 undi. “Saya mengucapkan tahniah kepada Azmi Mat Ludin yang dipilih Timbalan Ketua Umno Temerloh yang baru. Saya akur dengan keputusan perwakilan. Saya akur redha sebab saya tak main politik wang,” katanya melalui akaun twitternya, Twitter@saifuddinabd pada 20 Oktober lalu.

Bekas Timbalan Ketua Umno Temerloh sejak 2009 itu turut bertanding bagi jawatan Majlis Tertinggi (MT) Umno, tetapi hanya lima bahagian sahaja yang memilihnya.

Oleh AZIZ MUDA

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.