Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) hari ini menegaskan segala bentuk peruntukan yang diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) bukanlah untuk membeli sokongan rakyat, khususnya menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 4 November ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata sama ada pilihan raya itu berlangsung atau tidak, kerajaan tetap mengutamakan kebajikan rakyat dan membantu di mana yang diperlukan.
"Saya sebagai Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden Umno tak ada duit...kerajaan yang ada. Dan kita tidak tidur, 24 jam bekerja. Bila ada orang minta tolong, kita bantu.
"Bukan beli undi, kebetulan ini masa pilihan raya kecil kita turun, jadi mudah untuk (rakyat) dapat bantuan," katanya pada pemberita selepas menghadiri jamuan tengah hari bersama masyarakat Cina di Sungai Limau Dalam dekat sini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Presiden Gerakan Dr Cheah Soon Hai dan calon Barisan Nasional Dr Ahmad Sohaimi Lazim.
Muhyiddin dalam pada itu menafikan masyarakat Cina disisihkan dalam Bajet 2014 yang memperuntukkan lebih RM200 bilion untuk kesejahteraan rakyat.
"Melayu, India, Cina, Kadazan, Dusun...semua kumpulan sasaran kita dapat faedah. Terbukti (kerajaan) tidak sisihkan mana-mana kumpulan dalam masyarakat," jelasnya.
Tegasnya, BN komited membantu semua golongan masyarakat agar tidak dilabel melakukan diskriminasi, dan berharap rakyat sedar akan perkara itu.
Menyentuh PRK DUN Sungai Limau, Muhyiddin berkata pemerhatian beliau sendiri dan maklum balas MCA serta Gerakan menunjukkan perubahan sikap masyarakat Cina di kawasan itu untuk lebih terbuka menerima BN.
"Kali ini adalah waktu terbaik untuk mengukur perubahan masyarakat Cina," katanya.
Terdahulu, semasa berucap di hadapan kira-kira 500 masyarakat Cina DUN itu, Muhyiddin berkata beliau dapat melihat golongan itu kini lebih sanggup datang ke hadapan memberi sokongan kepada BN.
Bagaimanapun, beliau berharap masyarakat Cina tidak terpengaruh dengan dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa kerajaan tidak memberi tumpuan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), katanya.
Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM2 juta bagi menambah baik tiga buah SJKC dan menubuhkan tabung pendidikan SJKC bagi DUN Sungai Limau.
Peruntukan itu, katanya, termasuk RM1 juta bagi SJKC Aik Min, RM750,000 bagi SJKC Yuk Meng dan RM50,000 bagi SJKC Pei Hwa, selain RM200,000 sebagai dana permulaan bagi tabung pendidikan SJKC itu.
Selepas majlis itu, Muhyiddin turut melawat Bilik Gerakan Pergerakan Wanita dan Puteri Umno di Taman Mahsuri dekat sini, bagi meninjau gerak kerja di hari-hari terakhir kempen sebelum hari mengundi 4 November ini. - Bernama
Wednesday, October 30, 2013
Beri bantuan bukan untuk beli undi?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.