Sebagaimana yang diduga banyak pihak bahawa kekalahan Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir merebut jawatan Naib Presiden UMNO pasti akan menyebabkan rasa tidak senang bapanya, akhirnya menjadi kenyataan juga. Hari ini bekas PM selama 22 tahun mendakwa politik wang masih wujud dalam UMNO sehingga menyebabkan mereka yang tidak layak berjaya menang dalam pemilihan baru-baru ini.
Walaupun tanpa menyebut siapa yang tidak layak tetapi mengamalkan politik wang itu, tetapi kenyataan Mahathir itu jelas menggambarkan kekecewaan terhadap kekalahan anaknya itu.
Sebelum pemilihan dan sepanjang kempen, Mukhriz dilihat calon paling popular untuk memenangi salah satu jawatan Naib Presiden UMNO. Ke mana-mana beliau pergi, sambutan yang diberikan cukup hangat. Dengan kemenangan tipis dalam PRU 13 serta kejayaan merampas kembali Kedah daripada pas dan terlihat adanya keperluan terhadap pemimpin muda untuk meniup angin segar dalam UMNO, Mukhriz dilihat antara pemimpin yang memenuhi kriteria itu.
Malangnya, populariti yang diterimanya tidak diterjemahkan dalam bentuk undi. Mukhriz hanya berjaya mendapat tempat keempat dengan 91 undi di belakang Hishammuddin yang mendapat 100 undi. Kekalahannya antara lain ialah kerana beliau tidak memberi wang kepada ketua-ketua UMNO cawangan dan perwakilan yang bakal mengundinya.
Berbanding calon-calon lain, bukanlah rahsia lagi ada yang memberi antara RM300 sehingga RM1000 kepada para perwakilan.
Sehubungan itu, dakwaan Mahathir bahawa sehingga berjuta wang yang mengalir dalam pemilihan kali ini, memang sesuatu yang tidak dapat disangkal lagi. Bayangkan dengan 146,500 perwakilan, jika RM200 atau RM300 saja diberikan kepada perwakilan, sudah puluhan juta jumlahnya.
Sebelum pemilihan juga, Mahathir sudah merasakan peluang tipis bakal dihadapi anaknya berikutan beliau bukanlah calon pilihan Najib. Semua itu juga terbukti benar, apatah lagi 14 bahagian di Pahang, negeri yang sinonim dengan Najib, langsung tidak memberi undi kepada Mukhriz.
Dalam hal ini, memang sukar menyekat kemarahan Mahathir. Sudahlah anaknya dianaktirikan oleh Najib dengan tidak menjadikannya calon pilihan, berlakunya politik wang yang berleluasa sehingga ada yang beratur seperti menerima wang bantuan, pastilah menyukarkan lagi peluang beliau untuk memenangi jawatan itu, kecuali jika turut bersedia memberi wang kepada para perwakilan.
Dalam kritikannya hari ini, Mahathir bukan saja menyelar mengenai politik wang yang terus berlaku dalam UMNO dan menyebabkan anaknya tewas, tetapi turut mengkritik kepimpinan Najib yang disifatkannya lemah, kurang mendapat sokongan rakyat dan sering mengalah kepada tuntutan ekstremis daripada parti pembangkang.
Menurut Mahathir lagi, kerajaan pimpinan Najib sekarang juga tidak stabil kerana wujudnya persepsi kerajaan lemah dan orang yang tidak betul menjadi pemimpinnya.
Melihat kepada serangan Mahathir ini, tidak syak lagi ini adalah permulaan perang terbukanya terhadap Najib. Selepas ini, percayalah, lebih banyak lagi kritikan akan ditujukan kepada Najib.
Mahathir juga nampaknya tidak peduli jika serangannya ini menipiskan lagi peluang UMNO dan BN untuk memenangi pilihanraya kecil DUN Sungai Limau yang sedang berlangsung sekarang. Walaupun peluang BN amat tipis untuk merampas kawasan itu daripada Pas, serangan Mahathir kepada Najib ini bakal menjadi modal tambahan kempen Pas untuk mengekalkan penguasaannya di Sungai limau.
Jika ditakdirkan BN menang di Sungai Limau, Mahathir tentunya akan mendakwa bahawa pengaruh anaknya memang diterima baik oleh rakyat Kedah, walaupun kalah bertanding Naib Presiden UMNO. Ia kemudiannya akan mewujudkan persepsi bahawa perwakilan UMNO telah melakukan kesilapan kerana tidak mengundinya, sebaliknya memberi undi lebih kerana faktor wang semata-mata.
Jika BN kalah pula, ia turut membentuk persepsi bahawa kekalahan itu sedikit-sebanyak disumbangkan oleh kritikan dan serangan Mahathir terhadap Najib itu.
Ini bermakna, di Sungai Limau ini, sama ada BN kalah atau menang, kelebihan tetap berpihak kepada Mahathir dan ruang sentiasa lebih terbuka untuk beliau meneruskan siri serangannya terhadap kepimpinan Najib.
Dalam masa yang sama, serangan Mahathir ini juga menambahkan lagi hari-hari yang penuh runsing bagi Najib. Sementara Bajet 2014 yang baru dibentangkannya dikritik banyak pihak terutama hasrat memperkenalkan cukai GST, pemansuhan subsidi gula, banyak janji dimungkiri dan kegagalannya berada di Parlimen ketika perbahasan mengenai belanjawan itu bermula, Najib juga dibelenggu persepsi negatif mengenai salah seorang kakitangannya yang dikaitkan dengan homoseksual berikutan terdedahnya affidavit bekas isterinya yang sedang dalam proses perceraian.
Berita mengenai perkara itu banyak disiarkan dalam blog-blog pro UMNO yang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Mahathir.
Isu bil utiliti kediaman Perdana Menteri yang mencecah RM2.5 juta setahun yang sedang menjadi perbualan hanga rakyat sekarang di ketika Najib menyeru rakyat berjimat cermat, turut menambahkan lagi runsing di kepalanya.
Sepertimana kata Naib Presiden Pas, Sallahuddin Ayub bahawa Mahathir selepas kekalahan anaknya dalam pemilihan UMNO baru-baru ini adalah umpama singa yang cedera dan akan terus menyerang Najib sebagaimana yang dilakukannya kepada Pak Lah dahulu, nyata tidak dapat disangkal lagi. Mahathir sedang menunjukkan kecenderungan akan terus bersuara dan Najib tidak mungkin dapat menjinakkannya lagi.
Tambahan lagi, peluru untuk Mahathir menembak Najib juga semakin banyak.
Walaupun sedang berada di London dalam cuaca yang mulai sejuk kerana menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ketika ini, Najib pastinya sedang berpeluh memikirkan serangan Mahathir ini.
Oleh Shahbudin Husin
Wednesday, October 30, 2013
Akhirnya Mahathir Mulai Menyerang Najib ?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Siapa dimaksudkan Mahathir orang yang tidak layak tetapi menang?
ReplyDeleteAgak2 aku, ketiga2 itu tak layak...
Mungkin sepatutnya Mukhriz, Murzani dan Mirzan yang layak...
Baguslah dia boleh isi borang kat pr nanti...
ReplyDeleteDulu, Kini Dan Selamanya rasuah membudaya dan berakar didalam UMNO. Rakyat yang menjunjung pemimpin UMNO dari kalangan koruptor ini adalah rakyat yang berjiwa "kurap". Sedihnya melayu yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang pun boleh menjunjung puak puak koruptor ini. Betul betul melayu begini berjiwa hamba lagi bahlul. Kalau yang "makan besar" menyokong UMNO kita boleh faham, tapi yang "telan hampas" pun sokong UMNO...ini yang pelik. Tapi apa nak buat. Memang melayu dalam UMNO kalangan bodoh. Tun Mahathir yang endorse kenyataan ini.
ReplyDelete