Tuesday, October 8, 2013

Laporan Audit dan kisah Umar dengan pelitanya

Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan pelbagai kelemahan termasuk pemborosan dan pembaziran wang rakyat oleh pemimpin (ingat semua orang adalah pemimpin) yang menurut sesetengah penganalisis sebagai tidak masuk akal. Benar, apakah masuk akal jika sebuah jam dinding RM100 dibeli dengan harga RM3,810 manakala sebuah teropong visi malam pada harga pasaran RM1,940 dibeli dengan harga RM56,350!

Namun, hanya segelintir pihak dan individu yang peduli; yang lain berkata "apa hendak dirisaukan, itu bukan duit saya dan saya tidak ada kena mengena dengannya." Demikianlah manusia, jika tiada petunjuk dan undang-undang daripada Yang Maha Berkuasa, mereka pula 'berlagak bagaikan Tuhan.' Mereka beramal 'ikut suka aku' (nafsu). Segala serakah nafsu itu hanya boleh ditundukkan dengan undang-undang- Nya. Namun itu tiada di negara ini kerana majoriti pemimpinnya bertuhankan nafsu!

Selagi pemimpin berciri ini berkuasa, usah bermimpilah kita untuk menemui 'seorang Umar Abdul Aziz' – baginda cukup takut menggunakan harta kerajaan tidak pada tempatnya sehinggakan pelita dinyalakan anaknya untuk suatu urusan peribadi dipadamkannya kerana takut menyalahgunakan harta awam. Tetapi, majoriti pemimpin hari ini tiada kualiti itu iaitu ciri orang beriman yang apabila melakukan sesuatu kesalahan kecil melihatnya bagaikan gunung yang mahu menghempap mereka. Mereka bukan saja tidak melihat ancaman itu bahkan tidak berasa bersalah pun!

Jadi apa yang boleh mengajar manusia termasuk pemimpin? Cendekiawan Islam seperti Sayyid Abul A'la Maududi menegaskan tidak ada sistem pemerintahan pun yang akan berjaya jika pemimpinnya tidak mempunyai akhlak yang tinggi dan masyarakatnya tidak bertakwa dan amanah.

Namun, hari ini, kita dapat saksikan betapa longgarnya pemimpin kita dari segi akhlak. Amalan rasuah, salah guna kuasa, boros, cakap tak serupa bikin, aneka jenayah dan maksiat semakin menjadi-jadi. Perilaku buruk ini menjadi ikutan rakyat; peribahasa Melayu ada menyebutkan bagaimana acuan begitulah kuihnya ataupun bapa borek anak rintik.

Islam dan segala hukum-hakamnya termasuk hudud adalah penyelamat kepada kehidupan manusia tetapi majoriti pemimpin enggan menerimanya. Mereka takut jika undang-undang ini dilaksanakan akan terkena batang hidung sendiri kerana Nabi ada menyebut dalam sebuah hadisnya bahawa jika anak kesayangan baginda, Fatimah mencuri nescaya akan dipotong tangannya bagi menunjukkan tiada pilih bulu dalam melaksanakan hukum Allah.

Berdasarkan keengganan mereka kepada hukum Allah, sahlah mereka tidak layak menjadi pemimpin; tetapi ditakdirkan mereka sudah berada di kedudukan itu (tidak kiralah sama melalui jalan benar atau batil) akan berterusanlah penyelewengan dan ketidaktelusan sekalipun didedahkan saban tahun termasuklah oleh Laporan Ketua Audit Negara.

Tanpa iman atau iman tipis (tidak melihat gunung mahu menghempap mereka jika melakukan sesuatu kesalahan kecil) maka pemimpin-pemimpin ini akan bersahaja dalam melakukan penyelewengan termasuk membazir wang rakyat dan mengamalkan rasuah; lebih-lebih lagi tiada hukuman dikenakan ke atas mereka. Mereka terus mahu mendaki puncak kuasa parti dan negara sekalipun pernah dibabitkan dengan kesalahan rasuah dan penyelewengan lain.

Namun agak menghairankan sesetengah rakyat terus memilih mereka sebagai pemimpin. Kenapa? Ya mungkin kedua-dua nya (pemimpin dan rakyat) sama-sama tidak berilmu (jahil akhirat), tidak beriman atau beriman tipis – mereka dua kali lima saja, Nauzubillah!

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.