Wednesday, July 31, 2013

90% Wanita Umno sokong Shahrizat?

Barisan penyokong Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berpendapat, ketua Wanita Umno tersebut masih merupakan tokoh terbaik untuk memimpin sayap parti berkenaan walau timbul gesaan demi gesaan agar bekas menteri tersebut berundur.

Antaranya ialah ketua Wanita Umno Pahang Datuk Rosni Zahari yang berpendapat bahawa individu yang menimbulkan perkara tersebut tidak layak menyuarakan gesaan seperti itu.

Beliau berkata demikian bagi membidas kenyataan bekas setiausaha pergerakan tersebut, Datuk Faridah Abu Hassan yang turut membangkitkan mengenai prestasi Wanita Umno bawah pimpinan Shahrizat.

Faridah dalam kenyataannya kepada Malaysiakini pada Ahad lalu juga dengan keras mempersoalkan kewibawaan Shahrizat untuk memimpin Wanita Umno dengan membangkitkan mengenai skandal pinjaman RM250 juta bagi National Feedlot Corporation (NFC) yang diusahakan keluarga Shahrizat.

Rosni ketika ditanya mengenai skandal NFC menegaskan bahawa isu berkenaan hanyalah "pandangan peribadi" Faridah.

Rosni seterusnya memuji ketokohan Shahrizat dan usaha yang dilakukan oleh bekas MP tersebut dalam memimpin Wanita Umno.

"Gerak kerja, programnya beliau (Shahrizat) yang tersusun, kerja dengan penuh kasih sayang. Beliau mengambil tahu hal berkaitan dengan semua ketua wanita (negeri, bahagian dan cawangan). Hampir semua ketua Wanita bersependapat dengan saya," katanya.

'Eranya sudah berakhir'

Beliau seterusnya mempersoalkan prestasi yang ditunjukkan Faridah semasa berkhidmat bawah kepimpinan ketua Wanita Umno pada masa itu, Tan Seri Rafidah Aziz.

"Era dia untuk memberi komen mengenai gerak kerja (Wanita) telah berlalu. Kenapa beliau semasa menjadi setiausaha, beliau tidak mengatur program yang lebih hebat daripada Shahrizat.

"(Kalau hebat) mengapa Rafidah (Aziz) kalah (pada pemilihan ketua Wanita) dulu," kata Rosni lagi ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Faridah dalam kenyataannya menggesa agar Shahrizat berundur daripada jawatan ketua Wanita dan tidak menggunakan alasan "perlawanan ibu dan anak" untuk mengelak daripada dicabar oleh bekas ketua Puteri Umno Datuk Azalina Othman Said.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan itu, seorang rakan sejawatan Rosni, Datuk Maznah Abdul Hamid menjelaskan semula kenyataan Shahrizat berhubung "perpecahan antara ibu dan anak" dalam pertandingan itu kelak.

Jelasnya, Shahrizat hanya ingin mengelakkan perpecahan berlaku di dalam parti dan bukannya menghalang daripada dicabar.

"Tidak timbul (menghalang untuk bertanding). Sebab Shahrizat kata 'silakan'. Cuma dia bimbang orang (provokasi) hingga berlaku pepecahan (dalam Wanita) di bahagian, itu maksud beliau," kata Maznah.

90% sokongan

Beliau juga yakin bahawa 191 bahagian Wanita Umno akan memberi 90 peratus sokongan kepada Shahrizat sekiranya berlaku pertandingan.

Dakwanya, tinjauannya menunjukkan bahawa akar umbi Wanita Umno lebih menyukai calon yang mempunyai "pengalaman sebagai wanita, ibu, isteri dan serta mempunyai sifat keibuan dan pengalaman cabaran dalam menguruskan rumah tangga".

"(Mereka) beranggapan bukan sahaja politik tetapi juga mempunyai kefahaman daripada pelbagai aspek seperti kekeluargaan, spiritual dan emosional. Bukan fizikal dan (faham) politik semata-mata.

"Kalau tidak ada kriteria itu, agak sukar untuk menyaingi dan memenangi (jawatan tersebut), sebab Wanita Umno memilih kriteria itu," katanya.

Maznah berkata sokongan 90 peratus di kalangan 191 bahagian Wanita akan membuka peluang kepada Shahrizat bagi memenangi dalam pemilihan sayap parti itu September ini berbanding 10 peratus yang didakwanya tidak memihak kepada Shahrizat.

Sementara itu, seorang lagi exco sayap tersebut, Datuk Norhayati Omar pula berkata Shahrizat seharusnya diberi peluang sekurang-kurangnya untuk satu penggal lagi untuk memantapkan parti.

"Saya fikir beliau pun tidak akan memegang lama, kalau dia nak tinggal, mesti tinggal Wanita dalam keadaan kuat.

"Menang sepenggal lagi untuk memantapkan Wanita dan beliau akan meninggalkan satu legasi untuk diteruskan (selepas itu)," katanya. -MK

2 comments:
Write comments
  1. bukti yg amat ketara: doktrin MELEMBUKAN minda oleh UMNgOk telah berjaya!!!

    ReplyDelete
  2. Pirit berhati busuk! Minda buruk!! Barangkali dari ayah, ibu, atuk, nenek, moyang, mahupun anak2, cucu cicit, keturunannya memang jahat2.

    Moga Allah buka hidayah pada kita semula! Amiin.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.