Friday, July 12, 2013

PRK Kuala Besut: Tiada yang akan menang?

Pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut bakal menawarkan peluang kepada semua yang terlibat untuk menonjolkan hipokrasi masing-masing di depan rakyat jelata.

Sejurus selepas pilihan raya 5 Mei lalu, Pakatan Rakyat (PR) bersama Barisan Nasional (BN) saling bertikam lidah mengenai siapa pemenang sebenarnya.

PR mendapat undi popular di kawasan bandar, BN pula mendapat lebih banyak kerusi di kawasan pedalaman.

Pelbagai teori dilempar tanpa kajian mendalam mengapa terjadi keputusan PRU13 sehingga timbulnya istilah seperti ‘Tsunami Cina’ dan ‘Tsunami Rakyat Malaysia’. Ada juga yang berkata ialah adalah ‘Tsunami Internet Rakyat Bermaklumat.’

Yang paling kasihan ialah nasib yang menimpa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengadil perlawanan 5 Mei yang dilihat gagal dan tidak adil mahupun telus.

Episod dakwat kekal sebenarnya cukup untuk menimbulkan rasa malu dan bersalah. Tapi bagi Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, mereka berasa sudah membuat yang terbaik untuk rakyat.

Hujah mereka mudah dan senada dengan BN – sekiranya mereka tidak adil, mengapa Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor, PR dibiarkan menang bergaya melebihi dua pertiga majoriti. Manakala negeri-negeri lain yang dikuasai BN mengalami susutan majoriti?

Meskipun dakwat kekal boleh dibasuh, SPR merasakan ia tidak mampu mengubah hakikat bahawa BN menang lebih banyak kerusi di peringkat parlimen.

SPR juga menerima tamparan apabila 60 petisyen pilihanraya difailkan - 39 dikemukakan oleh Pakatan Rakyat manakala 21 lagi oleh BN.

Bagi PR, 39 petisyen itu membabitkan 25 kerusi parlimen manakala 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagi BN pula, 21 kawasan yang terlibat adalah masing-masing enam parlimen dan 15 DUN.

PR menyatakan PRU13 tidak adil dan kemenangan mereka dirompak tatkala SPR mempertahankan diri manakala BN enggan mengaku bahawa mereka kurang popular.

Tiba-tiba, datang peluang di Kuala Besut untuk masing-masing membuktikan hujah.

PRK itu diadakan ekoran kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)yang juga Exco kerajaan negeri Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar, selepas 50 hari terpilih untuk kali kedua sebagai Adun.

Bagi SPR, Kuala Besut adalah peluang untuk menebus maruah diri dengan menonjolkan diri sebagai pengadil yang adil dan saksama.

Akan tetapi, seperti biasa, SPR dengan sikapnya yang suka membakar jambatan untuk memulihkan integritinya, menetapkan hari penamaan calon pada Jumaat dan hari mengundi jatuh pada Rabu - hari bekerja.

Apakah strategi ini menguntungkan PR mahupun BN? Tak pasti.

Yang pasti, ia merugikan SPR dan pengundi di Kuala Besut kerana sudah pasti ada yang tidak berkesempatan untuk balik kampung mengundi. Golongan ini akan menyalahkan SPR.

Ia membuka peluang kepada pihak yang tewas untuk menyalahkan SPR kerana mereka akan mendakwa ramai penyokong tidak sempat mengundi atas alasan yang sama.

Tindakan SPR membantah kiraan undi secara siaran langsung pula dilihat kurang bijak kerana ia peluang baik untuk menjawab tuduhan ramai dalam dakwaan penyelewengan undi di PRU13.

Sebelum PRK bermula, SPR sudahpun menonjolkan hipokrasinya dalam janjinya untuk memulihkan keyakinan awam terhadap mereka.

Baik BN mahupun PR yang menang, SPR akan dipersalahkan lagi. Ironinya, integriti SPR akan jauh lebih meningkat sekiranya PR yang menang.

Bagi BN pula, PRK Kuala Besut kali ini agak cemas. Silap strategi, DUN Terengganu bakal tergantung dengan angka 16-16 dan BN sendiri sebenarnya tidak dapat mengagak apa akan berlaku.

Di PRU13 lalu, A. Rahman memperolehi 8,809 undi sementara calon PAS, Napisah Ismail mendapat 6,375 undi. BN menang dengan majoriti 2,434 undi, satu majoriti yang agak besar.

Bagi Ahli Parlimen Kuala Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, ini peluang untuk menunjukkan kekuasaaannya terhadap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Idris yakin BN menang dengan majoriti yang lebih besar dan meminta PAS untuk menarik diri untuk mengurangkan 'politiking' di bulan Ramadan.

Idris seorang ahli politik yang bijak – ini terbukti pada 2008 apabila lima negeri jatuh di tangan PR, Terengganu di bawah kepimpinannya terus utuh bersama BN.

Sepenggal di bawah Ahmad Said, Terengganu hampir-hampir terlepas ke tangan PAS dengan memegang kepada majoriti dua kerusi. Kematian Adun Kuala Besut menyebabkan kedudukan sekarang menjadi 16-15.

Keyakinan Idris yang juga Ketua Bahagian Umno di Kuala Besut, barangkali kerana sedar pengundi di Kuala Besut bukan golongan yang terdedah dengan maklumat terkini.

Di samping itu, PR terutamanya PAS kehilangan senjata ceramahnya untuk memberi penerangan kepada pengundi apabila bulan Ramadan dipilih menjadi bulan pertarungan.

Ini memberi kelebihan untuk BN. Namun, tiada apa yang perlu dikejutkan jika BN mengekalkan kedudukannya di Kuala Besut selain menguatkan persepsi umum bahawa BN sekarang hanyalah sebuah parti luar bandar.

Bagi PAS dan PR, PRK Kuala Besut adalah dilema dengan PKR yang tidak menerima keputusan PRU13, DAP yang berpendapat lebih elok diboikot dan PAS yang masuk gelanggang atas konsep demokrasi dan peluang keemasan merampas Terengganu.

Di PRK Kuala Besut, perbezaan pendapat antara tiga parti komponen di PR menyebabkan kemenangan di Kuala Besut membawa lebih banyak kerugian berbanding kekalahan.

Persoalan lebih besar ialah sekiranya menang, apakah PR akan menerima keputusan itu kerana ia diadili SPR yang sama ketuanya di PRU13, yang diserangnya habis-habisan sejak 5 Mei?

Apakah mesej kemenangan yang sampai di tangan rakyat jelata yang bersama mereka menghadiri perhimpunan Blackout 505 selama ini?

PR harus sedar SPR akan menggunakan kemenangannya untuk membersihkan diri. BN pula akan menggunakannya untuk membelasah sikap PR yang hanya membantah keputusan yang tidak menguntungkannya. Apakah PR sudah bersedia untuk serangan ini?

Kehebatan jentera gergasi ini tidak boleh dipandang remeh kerana terbukti di PRU13 bahawa dakwaan orang Cina akan menguasai negara dan masa depan orang Melayu akan tergadai sekiranya PR berkuasa cukup dipercayai oleh para pengundi di kawasan pedalaman.

Pada skala yang lebih besar, kemenangan PR bermaksud titik nokhtah kepada perjuangan menuntut pilihanraya yang adil dan bersih.

Sekiranya PAS tewas di Kuala Besut bermaksud tiada apa yang berubah, mereka akan kekal sebagai pembangkang di Terengganu.

Bagi pengundi Kuala Besut pula, apakah tarikan melihat terjadinya 16-16 sidang DUN tergantung pertama kali ini di Malaysia ini cukup besar untuk membuat mereka mengundi PAS-PR?

Jika tidak, tepuk dada tanya sendiri. Dengan kerajaan persekutuan yang dikuasai BN, apakah insentif bagi mereka untuk menukar undi kali ini? Dengan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, rasanya tiada yang lebih penting daripada nilai ekonomi dan kesejahteraan hidup bagi para pengundi Kuala Besut.
Mungkinkah peluang melihat Ahmad Said digantikan dengan Menteri Besar yang lain turut dijadikan pertimbangan sebelum membuang undi pada 24 Julai nanti?

- Oleh Timmy Say

39 comments:
Write comments
  1. SPR perasan yg dia ada kuasa lalu mnghalang/melarang pembinaan apa2 replika parti yg ingin ddirikan di lokasi PRK nanti. Mcm kambing pulak SPR tu yer...bodoh!!

    ReplyDelete
  2. Calon BN dan PAS hari ini bakal menghantar borang pencalonan mereka bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kuala Besut bagi menggantikan bekas ADUN Datuk A Rahman Mokhtar yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru.

    ReplyDelete
  3. Walaupun cuaca mendung dengan hujan renyai-renyai serta tiupan angin dari Laut Cina Selatan, ia bakal menambah semangat lagi kedua-dua calon serta penyokong masing-masing berkumpul di dua lokasi berbeza, sekalipun dalam bulan Ramadan.

    ReplyDelete
  4. Calon PAS Azlan Yusof adalah ahli perniagaan bersama kepimpinan parti itu berhimpun di persimpangan lampu isyarat berdekatan Pejabat Agama Daerah Besut.

    ReplyDelete
  5. Mereka akan bergerak kira-kira satu kilometer ke pusat penamaan calon - Kompleks Rakan Muda, Kampung Raja, Besut.

    ReplyDelete
  6. Manakala calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman diiringi kepimpinan parti akan bergerak kepimpinan BN berkumpul di Rumah Ahmad Saleh - kira-kira 700 meter daripada pusat penamaan calon.

    ReplyDelete
  7. Mereka akan menyerahkan borang pencalonan di kompleks tersebut. Masa penamaan calon bermula 9 hingga 10 pagi.

    ReplyDelete
  8. Polis juga dilapor akan menutup jalan utama bagi mengelak kesesakan antaranya Jalan Kampung Raja-Tembila dari persimpangan lampu isyarat Kampung Raja.

    ReplyDelete
  9. Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pengundi memilih calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut bagi menstabilkan politik di Terengganu.Malah Timbalan Perdana Menteri berkata, keadaan politik di negeri ini akan lebih stabil sekiranya BN dapat mencapai kemenangan lebih besar berbanding pada pilihan raya umum lalu.

    ReplyDelete
  10. Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil Kuala Besut berharap keputusan PRK terbabit akan menyebelahi BN dan meraih jumlah undi lebih besar. "Peranan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pada PRK Kuala Besut ini amat penting kerana keadaan DUN Terengganu ketika ini yang tidak menentu.

    ReplyDelete
  11. Tengku Zaihan juga mempunyai sifat rendah diri dan mudah mesra sepertimana kebanyakan ‘orang-orang pantai’ iaitu gelaran yang diberi kepada masyarakat di situ.Selain faktor calon, BN juga dilihat mempunyai kelebihan dari segi isu-isu semasa. Perkembangan selepas PRU-13 menunjukkan bahawa ramai orang-orang PAS mula kembali ke bumi nyata dan menyedari permainan DAP. Melalui keputusan PRU itu, jelas terbukti bahawa DAP langsung tidak mengundi PAS dan hanya berminat untuk memperjuangkan kepentingan kaum Cina.

    ReplyDelete
  12. "Maka pada 24 Julai nanti, perkara ini akan terjawab bagi menjadikan politik di negeri ini terus stabil di bawah kerajaan BN."Lebih stabil jika BN menang lebih besar. Jika tidak keadaan akan terumbang-ambing dan ramai yang nak elak perkara ini, bukan saja di Kuala Besut tetapi di seluruh Terengganu.

    ReplyDelete
  13. Namun, DAP terus menerus mencabar kedudukan agama Islam dan Melayu yang mana menyebabkan penyokong-penyokong PAS merasa ‘terganggu’ dan ‘cuak’ untuk terus memberi sokongan kepada PAS selagi parti itu bekerjasama dengan DAP.Justeru, kita menyangka BN tidak punya masalah untuk menang besar dalam PRK ini andainya jentera parti bijak mengenengahkan isu-isu semasa seperti ini, selain isu-isu setempat yang dekat dengan masyarakat Kuala Besut.

    ReplyDelete
  14. Perlu diingatkan juga bahawa Terengganu merupakan tempat bermulanya perpecahan umat Islam yang bertitik-tolak dari Amanat Haji Hadi, pemimpin PAS negeri itu. Amanat tersebut telah mengkafirkan UMNO kerana dikatakan menggunapakai perlembagaan penjajah yang sekular kerana memisahkan agama dengan politik.Walaubagaimanapun, isu pertukaran agama kanak-kanak di bawah umur yang sedang hangat diperkatakan kini telah memaksa PAS akur bahawa UMNO dan perlembagaan UMNO bukan kafir. Malah UMNO dan perlembagaan itulah yang memastikan agama Islam berada di kemuncak tertinggi di dalam negara ini.

    ReplyDelete
  15. Malah, oleh kerana Azlan menjadi kaya melalui perniagaannya sebagai kontraktor (Kelas A), ramai yang tertanya-tanya projek apa atau tender apa yang telah melonjakkan Azlan sebagai orang kaya. Bukan kita tidak tahu bahawa kontraktor merupakan sejenis perniagaan yang paling mudah terdedah kepada berbagai jenis ‘kotoran’. Azlan juga hanya berpendidikan SPM yang mana meletakkan beliau jauh di belakang dari calon BN. Berdasarkan semua maklumat ini, tidak hairanlah jika kita melihat gelombang di Kuala Besut semakin hari semakin ‘biru’ warnanya. Semoga keputusan PRK nanti turut memantulkan kebiruan laut di pantai Terengganu.

    ReplyDelete
  16. "Penting bagi pengundi memilih Tengku Zaihan supaya dapat meneruskan kesinambungan kecemerlangan yang ditinggalkan oleh penyandang kerusi DUN terbabit. "Bukan tidak bimbang tetapi kestabilan di negeri ini penting apabila BN terus mentadbir Terengganu," katanya pada sidang media selepas pengumuman calon bagi PRK Kuala Besut di Kompleks Rakan Muda Besut di sini.

    ReplyDelete
  17. PRK Kuala Besut pada 24 Julai ini dilihat memberi banyak kelebihan kepada Barisan Nasional dari berbagai aspek. Kuala Besut mempunyai 17,638 pengundi dengan majoriti Melayu. Oleh yang demikian pertandingan adalah antara UMNO dan PAS. Dalam PRU-13 yang lalu, BN telah memenangi kerusi ini dengan majoriti yang agak selesa iaitu 2,434. Memahami kehendak rakyat masa kini yang inginkan perubahan, BN meletakkan calon muda dan berpendidikan tinggi iaitu Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman yang juga merupakan anak jati Kuala Besut.

    ReplyDelete
  18. Saingan di PRK Kuala Besut menyaksikan satu lawan satu di antara calon BN, Tengku Zaihan yang ditentang wakil PAS, Azlan @ Endut Yusof .Mengenai peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), katanya, BN yakin dengan peranan suruhanjaya itu dan akan menerima segala keputusan hasildaripada PRK di Kuala Besut.

    ReplyDelete
  19. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Naib-naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Shafie Apdal; Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Kuala Besut, A Rahim Jusoh mengumumkan senarai nama calon yang bertanding pada kira-kira jam 10.25 pagi tadi.

    ReplyDelete
  20. Tengku Zaihan berusia 37 tahun merupakan bekas Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Bahagian Korporat. Beliau berkelulusan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam dari Universiti Sains Malaysia (USM). Bapa beliau adalah seorang guru agama dan amat dikenali oleh penduduk kawasannya. Dengan latarbelakang keluarga dan pekerjaannya, pemilihan Tengku Zaihan sebagai calon langsung tidak mengejutkan masyarakat setempat.

    ReplyDelete
  21. KELIHATANNYA macam tidak ada orang nak menyokong PAS ni kan sampai setiap kali depa berkumpul, kanak-kanak bawah umur pasti membentuk majoriti besar (antara 30% – 40%).

    Tidak terkecuali dalam proses pencalonan pilihanraya kecil N01 Kuala Besut yang sedang berlangsung sekarang, budak-budak sekolah (kita percaya dari sekolah pondok berhampiran) di arah untuk menyertai perarakan calon PAS ke tempat penamaan calon di Kompleks Rakan Muda Kuala Besut.

    ReplyDelete
  22. Bagaimanapun yakinlah, PAS bukan peduli pun semua tu. Pada dia, apa pun yang dia buat betul belaka, jangan orang lain buat benda yang sama, ohh..itu salah dan berdosa.

    Hairan, kemana perginya pertubuhan-pertubuhan sukarela dan bukan kerajaan yang menjaga hak asasi kanak-kanak di negara kita ini. Suhakam yang begitu prihatin kalau ada perusuh yang tertelan asap pemedih mata (konon menjaga hak asasi manusia perusuh terbabit), macam orang bisu dalam kes ini.

    ReplyDelete
  23. Yang dibawa mak bapak masing-masing tu satu hal lah, yang budak dari sekolah pondok tu, macam mana pulak? Itu kalau tak sebab dipaksa guru sekolah pondok berkenaan, memang tak perginya budak-budak tu, dia tidur kat rumah lagi baik.

    Apatah lagi dalam bulan puasa sekarang bila aktiviti luar macam ini hanya akan menyebabkan budak-budak itu kepenatan. Adakah PAS fikir semua ini.

    ReplyDelete
  24. Rasanya sudah sampai masanya undang-undang berkaitan diperkemaskan lagi.

    Akta Perhimpunan Aman yang diluluskan Parlimen tahun sudah sepatutnya sudah cukup untuk menangani perbuatan mengeksploitasi budak-budak untuk tujuan politik macam ini, tapi malangnya penulis lihat diperingkat penguatkuasaan, masih banyak yang kekurangan.

    ReplyDelete
  25. Proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut berjalan lancar tanpa sebarang insiden pagi tadi.

    Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, pihaknya mengucapkan syabas dan tahniah kepada calon-calon yang berjaya dalam proses penamaan calon PRK terbabit.

    ReplyDelete
  26. Buat pertama kalinya, pengurusan perjalanan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut akan dirakam untuk dijadikan model rujukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada masa depan.

    ReplyDelete
  27. Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata pengendalian pengurusan PRK Kuala Besut setakat ini, bermula dari proses penamaan calon dilihat sebagai yang terbaik, berbanding PRK dan pilihan raya umum sebelum ini.

    ReplyDelete
  28. "Kita sedaya upaya nak buat PRK ini model SPR sebab itu apa yang berlaku hari ini (penamaan calon) sehinggalah ke tempoh berkempen, penjumlahan undi dan pengisytiharaan keputusan nanti semua akan dirakam," katanya

    ReplyDelete
  29. Wan Ahmad berkata SPR akan menggunakan rakaman perjalanan semua proses sepanjang PRK Kuala Besut sebagai landasan serta latihan kepada pegawai pada masa akan datang.

    "Mungkin kita akan edarkan kepada media supaya dapat tontonkan kepada rakyat mengenai perjalanan sebenar pilihan raya di negara ini agar mereka tahu dan tidak tertipu dengan mana-mana pihak yang cuba memancing undi," katanya.

    ReplyDelete
  30. Mengulas perjalanan proses penamaan calon hari ini, Wan Ahmad berkata secara keseluruhannya ia berjalan dengan baik dan lancar sambil tidak menolak kemungkinan ia disebabkan bulan Ramadan.

    "Kita tengok penyokong kedua-dua parti yang hadir berkelakuan baik...kalau tidak (bulan puasa) kita boleh dengar bahasa atau cacian yang sangat kasar," katanya.
    PRK Kuala Besut 24 Julai ini melibatkan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan calon PAS Endot@Azlan Yusof.

    ReplyDelete
  31. Mengenai larangan pemasangan replika pada kempen pilihan raya, Wan Ahmad berkata pada PRK Kuala Besut itu, polis memberi jaminan keselamatan kepada pegawai penguatkuasa kempen SPR dan akan merobohkan replika yang didirikan parti politik bertanding.

    ReplyDelete
  32. PAS GAGAL DI KUALA BESUTSeptember 30, 2013 at 5:46 PM

    Agenda 16:16 PAS di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut gagal apabila pengundi sekali lagi memilih untuk mengekalkan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti yang lebih besar.

    ReplyDelete
  33. PAS GAGAL DI KUALA BESUTSeptember 30, 2013 at 5:47 PM

    Calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman menewaskan lawannya dari PAS, Endut@Azlan Yusof dengan majoriti 2,592 undi, sekaligus menyaksikan pembangkang sukar menembusi kubu kuat BN itu.

    BN memperolehi 8,288 undi, manakala PAS pula sekadar memperolehi 5,696 undi.

    ReplyDelete
  34. PAS GAGAL DI KUALA BESUTSeptember 30, 2013 at 5:47 PM

    Sejumlah 125 undi pula diumumkan tidak diterima.

    Perkara itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, A Rahim Jusoh sebentar tadi di Pusat Penjumlahan Undi, di Dewan Majlis Daerah Gong Kemuntong.

    ReplyDelete
  35. PAS GAGAL DI KUALA BESUTSeptember 30, 2013 at 5:48 PM

    Penyandang kerusi berkenaan dari BN, Allahyarhan Dr A Rahman Mokhtar menang Pilihan Raya 2013 menewaskan calon PAS Napsiah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

    ReplyDelete
  36. PAS GAGAL DI KUALA BESUTSeptember 30, 2013 at 5:49 PM

    Kemenangan BN itu memperlihatkan pelaburan hampir setengah bilion ringgit parti pemerintah itu bagi 15 projek di kawasan DUN berkenaan membuahkan hasil.

    ReplyDelete
  37. PAS GAGAL DI KUALA BESUTSeptember 30, 2013 at 5:50 PM

    PAS juga dilihat gagal memenangi hati pengundi melalui isu-isu tanah dan juga perselisihan antara Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh di dibangkitkan.

    ReplyDelete
  38. PAS GAGAL DI KUALA BESUTSeptember 30, 2013 at 5:52 PM

    Sejumlah 1,134 pengundi awal daripada kalangan tentera dan 14 anggota polis mengundi awal pada 20 Julai lepas di Pangkalan Tentera Udara Gong Kedak, menjadikan keseluruhan pengundi berdaftar berjumlah 17,683.

    ReplyDelete
  39. PAS GAGAL DI KUALA BESUTSeptember 30, 2013 at 5:53 PM

    Tepat jam 5 petang, sebaik sahaja pusat pengundian ditutup, seramai 14,108 pengundi membuang undi dengan jumlah keseluruhan yang mengundi kali ini adalah menghampiri 80 peratus.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.