Tuesday, July 23, 2013

Posmen Khianat Buang Surat Ke Dalam Gaung

Kakitangan Pos Malaysia mengutip semula lambakan surat yang dibuang ke dalam gaung berhampiran kawasan perumahan mewah di Ukay Heights, Ampang.

Kira-kira 50 pekerja yang membawa bersama beberapa beg besar berwarna putih untuk memuatkan kesemua surat tersebut.

Tiga van Pos Malaysia ditempatkan di kawasan tersebut.

Tinjauan The Star kira-kira pukul 8.30 pagi Ahad mendapati, kesemua kakitangan memeriksa kawasan itu sebelum menuruni gaung tersebut untuk mengutip surat-surat yang tidak dihantar.

Tugas sukar itu berjaya diselesaikan dalam tempoh dua jam.

Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Khamil Jamil dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Iskandar Mizal Mahmood turut berada di kawasan itu untuk menyelia dan memantau operasi.

"Kami juga sedang meninjau kawasan sekeliling. Pos Malaysia mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai. Kami komited menyediakan perkhidmatan penyerahan tepat pada masanya," kata Ketua Kumpulan Bahagian Komunikasi Korporat dan Penjagaan Pelanggan Pos Malaysia, Datuk Rohaiza Hashim.

Pada Sabtu, The Star melaporkan bahawa beberapa penduduk menjumpai lambakan surat yang tidak dihantar di dalam gaung.

Pos Malaysia telah memecat ketiga-tiga posmen yang terlibat.

Insiden tersebut menyebabkan beberapa penduduk di Ukay Heights kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu.

"Kami terkejut dan marah apabila mengetahui perkara itu. Ada di antara kami tidak menerima surat dalam tempoh lebih enam bulan.

"Suami saya tidak menerima surat dari klien, penyata bank, cek dan surat dari keluarga kami di luar negara dan semua bil.

"Saya berharap agar Pos Malaysia menyerahkan surat tersebut dengan segera," kata suri rumah Hazarina Manang.

-mstar

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.