Saturday, November 5, 2011

Reformasi: Semangat zaman politik baru Malaysia

Dalam politik Malaysia, reformasi dan transformasi telah menjadi antara istilah kunci pada zaman ini. Tiada orang yang tidak berbicara mengenai reformasi, tiada juga yang akan menolak transformasi. Bukan sahaja penggerak sosial dan pembangkang yang menuntut reformasi, malah parti politik yang konservatif juga terpaksa menekankan transformasi.

Pernah Perdana Menteri Najib Razak berkata dalam Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 2009, berubah atau diubah rakyat. Untuk beliau, kelangsungan parti hanya boleh dilanjutkan dengan pembaharuan. Transformasi diperlukan kerana terdesak dengan tekanan realiti, bukannya kerana terdorong untuk menghambat idealisme.

Mujurnya, pada ketika kedua-dua golongan konservatif dan progresif mendakwa diri mereka berniat membawa reformasi dan transformasi, tidak kira ke mana halatuju masing-masing - kedua-duanya membuktikan bahawa model politik lama tidak lagi sesuai. Berlakunya perubahan yang ketara dalam suasana masyarakat. Reformasi dan transformasi menjadi persemuafakatan zaman ini. Barulah model politik baru berpeluang untuk bercambah dan membentuk dirinya dalam situasi sedemikian.

Namun, retorik politik umpama "Politik baru" atau "1Malaysia" cuma soalan untuk diisi tempat kosong. Ia boleh merangkumi mana-mana matlamat yang murni, dengan tujuan sekadar untuk menonjolkan bahawa dirinya berbeza dengan zaman silam. Pada hakikatnya, slogan sedemikian hanya tin yang kosong, boleh diisi dengan apa-apa sahaja. Akhirnya ia mungkin terlalu berkecamuk, sehingga gagal merungkaikan apa-apa persoalan, lantas gagal menyentuh hati orang ramai.

Untuk saya, hanya bahasa politik yang mampu mencerminkan semangat zaman (zeitgeist) memberi makna dan nilai. Jika tidak, ia gagal bertahan lama. Setiap zaman mempunyai konflik atau pertentangannya. Namun, persemuafakatan secara kolektif hanya akan terbentuk seandainya suara dan hasrat rakyat pada ketika itu dikuasai.

Zaman tahun 1930-an menyaksikan bersemaraknya semangat sosialisme, zaman tahun 1950-an pula mendendangkan lagu pembebasan bangsa, pasca zaman 1990-an pula menyaksikan menyurutnya authoritarianism. Sesiapa yang berjaya menyalakan unggun dalam hati rakyat dalam zaman yang gelap, maka orang itulah yang bakal memacu momentum dan keghairahan.

Misalnya, Reformasi yang dilaungkan Anwar Ibrahim pada tahun 1998, mencetus impak yang besar terhadap fikrah politik negara kita. Untuk 10 tahun kebelakangan ini senario politik kita berlegar-legar mengelilingi tema ini. Tanpa diragui, Reformasi telah menjadi monumen untuk semangat zaman ini. Bermula dari detik saat itu, pandangan politik yang baru telah dibuka. Fenomena PRU tahun 2008 hanyalah lanjutan semangat zaman tersebut, dan hasil yang dituai selepas persediaan fikrah dan pembebasan momentum masyarakat 10 tahun yang lalu.

Justeru itu, semangat zaman yang dimaksudkan bukan sahaja mencerminkan kedahagaan dan impian rakyat dalam senario masyarakat tertentu, juga mendedahkan pertentangan yang runcing dalam struktur pada zaman itu. Maka, apabila diselubungi semangat zaman tertentu, perasaan yang terpendam, keadilan yang terabai akan meletus dalam sekelip mata. Rakyat akan meluahkan perasaan dan tuntutan mereka dalam arus zaman yang menderas, misalnya perjuangan HINDRAF. Maka sesiapa yang menguasai atau mentafsir semangat zaman ini dengan tepat, maka dialah yang akan membuka kunci politik baru, memainkan peranan sebagai peneraju dan pengimbang.

Lebih 50 tahun negara kita merdeka, struktur ekonomi politik masyarakat kita telah mengalami perubahan yang mendalam, naman kerangka dan model pentadbiran masih diselubungi minda dominasi dan naungan (patronage). Seandainya dibandingkan dengan negara jiran, langkah kemajuan negara kita agak perlahan, malah ketinggalan dalam senario antarabangsa terkini. Apa yang diperlukan Malaysia sekarang adalah mencontohi "gerakan progresif" (progressive movement) di Amerika Syarikat pada abad ke-19, melakukan reformasi keseluruhan terhadap masyarakat dari segi sosial, budaya dan pentadbiran kerajaan.

Mustahil politik baru wujud pada tahun 1930-an di Amerika Syarikat seandainya tiada gerakan progresif. Sukar untuk Amerika Syarikat bangkit sebagai kuasa dunia seandainya tiada politik baru. Dengan kata lain, masyarakat Amerika Syarikat baru hanya lahir selepas melalui gerakan progresif.

Untuk Malaysia, pembaharuan rambang sama ada di bawah pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi mahupun Najib Razak (gambar kiri) tidak mempunyai makna yang penting. Ini bukan sahaja kerana pembaharuan secara selektif ini gagal menyentuh asas struktur yang mendalam, juga kerana pembaharuan dan transformasi mereka bukan berniat untuk membawa reformasi yang progresif.

Perubahan yang diwar-warkan UMNO hanya bertujuan untuk kelangsungan partinya, tetapi bukan untuk mara ke depan, justeru itu ia gagal menyentuh jiwa sistem yang mendalam. Lebih-lebih lagi, transformasi yang bermotif untuk memperbaiki sistem authoritarianism, juga bukan keperluan semangat zaman. Jadi, pembaharuan seumpama ini gagal membawa makna, malah mustahil untuk dijayakan.

Tidak kira apa pun halatuju parti politik pada masa depan, gerakan Reformasi sejak tahun 1998 telah menyuntik semangat zaman dalam politik Malaysia, iaitu menuntut satu gerakan progresif secara besar-besaran dalam Malaysia. Lantaran daripada kebangkitan masyarakat, keghairahan untuk menghambat reformasi yang progresif ini semestinya semakin menyemarak. Agak sukar untuk dibayangkan siapa yang mampu menentang atau menterbalikkan semangat zaman begini. Dengan kata lain, mana-mana kuasa yang mengikut arus semangat zaman ini akan berkembang, dan mana-mana kuasa yang menentangnya, akan hancur dan ranap. Inilah yang dikatakan politik baru, itu sahaja.

*Phoon Wing Keong ialah penganalisa politik. Tulisan ini adalah prakata untuk koleksi tulisannya, Spirit of Our Times. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dengan tajuknya diubahsuai.

14 comments:
Write comments
  1. langkah kemajuan negara kita agak perlahan kerana peranan pembangkang di negara ini lebih kepada menggagalkan apa sahaja usaha kerajaan untuk memajukan negara ini.. tidak cukup dengan itu, mereka berdemo diluar negara bagi memberikan gambaran buruk terhadap negara ini..

    ReplyDelete
  2. mmg kita perlukan perubahan, tapi biarkan ia perubahan yang jauh lebih baik.

    ReplyDelete
  3. Tidak dapat dinafikan terlalu banyak masalah yang timbul, tapi saya percaya keadaan pasti akan bertambah baik jika kerajaan dapat mengawal keadaan dan rakyat sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan.

    ReplyDelete
  4. Mahu maju, mentaliti kena ubah.

    ReplyDelete
  5. Hanya berharap keadaan akan bertambah baik dari masa ke semasa.

    ReplyDelete
  6. Perubahan boleh dicapai jika pembangunan negara dan kebajikan rakyat dijaga dan bergerak seiring.

    ReplyDelete
  7. Harap kita boleh melihat tranformasi politik yang positif di Malaysia.

    ReplyDelete
  8. Kita tunggulah dan lihat bagaimana politik negara kita akan menjadi nanti.

    ReplyDelete
  9. pastinya reformasi yang dilakukan oleh kerajaan dan pembangkang adalah sangat berbeza. apapun, semoga reformasi tersebut lebih membawa kesan yang positif kepada rakyat dan pembangunan negara ini.

    ReplyDelete
  10. Harap politik Malaysia akan lebih positif.

    ReplyDelete
  11. yang penting, usaha untuk memajukan negara perlu sentiasa dilakukan..

    ReplyDelete
  12. semoga perubahan untuk menjadi lebih baik sentiasa berlaku.

    ReplyDelete
  13. Jadi buatlah yang terbaik untuk masa hadapan Malaysia.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.