Sunday, November 20, 2011

Rasuah Menjadi-jadi, Nyawa Askar Jadi Taruhan

Beberapa bekas anggota tentera, yang telah berkhidmat selama beberapa dekad, tampil dan mendakwa gejala rasuah dalam Kementerian Pertahanan telah meletakkan nyawa mereka ibarat ‘telur di hujung tanduk’.

Seorang daripada mereka, semasa forum mengenai rasuah dalam industri pertahanan, memberitahu Malaysiakini, bahawa tindakan itu telah menyaksikan beberapa rakannya menjadi ‘kudung’ dan sebahagian besar mereka "menderita secara senyap".

Lelaki yang enggan namanya didedahkan itu kerana khuatir akan dikenakan tindakan tatatertib berkata, pegawai bukan tentera telah menolak cadangan pihak ketenteraan dan sebaliknya membeli peralatan kurang bermutu yang mempertaruhkan nyawa perajurit negara.

"Kita beli mesin gun AK 33 yang selepas tembakan sebanyak tiga pusingan akan tersekat. Ini memaksa askar mencampangkan senapang itu dan berjuang menggunakan parang,” katanya merujuk kepada satu operasi yang tidak dinamakannya.

Contoh lain, katanya, sekitar tahun 1970-an, kaki askar-askar dijangkiti sehingga ada yang terpaksa dipotong kerana but yang dibekalkan mereka karat. Ini kerana but yang dibekalkan itu diperbuat daripada kepingan zink dan bukannya aluminium seperti yang sepatutnya.

But berkenaan bertujuan melindungi kaki askar dari pancang perangkap samar yang tersembunyi ketika peperangan gerila di hutan. Namun, katanya, ia gagal untuk berbuat demikian kerana senang berkarat ketika askar-askar meredah hutan ketika hujan lebat.

Beliau turut memberi contoh, bagaimana, poncho atau baju hujan yang berkualiti rendah itu seringkali menyaksikan perajurit basah kuyup setiap kali hujan.

"Saya dalam kesejukan berada di hutan sedangkan seseorang telah mendapat habuan besar dan berseronok di tempat lain," katanya pada majlis anjuran Transparency International di Subang.

Lelaki itu juga mendakwa mutu makanan yang berkualiti rendah dibekalkan kepada pasukan tentera dan sekiranya pegawai mereka membuat bantahan, mereka pula akan dipindahkan ke tempat lain sebagai hukuman.

"Mereka tidak peduli. Saya percaya ia masih berterusan. Askar-askar kita yang menderita,” rintihnya lagi. -mk


Pengantara pertahanan punca gejala rasuah

Keperluan syarat yang mewajibkan syarikat-syarikat asing menubuhkan usahasama dengan syarikat-syarikat tempatan di Malaysia untuk penjualan kelengkapan pertahanan tentera mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk rasuah, menurut seorang pakar antarabangsa mengenai ketelusan perolehan pertahanan.

Bercakap kepada Malaysiakini dalam satu temu bual, pengarah program, pertahanan dan keselamatan, Transparency International UK (TI-UK) Mark Pyman berkata sistem seumpama itu bukan tidak diamalkan di seluruh dunia tetapi ia "penuh dengan bahaya".

"Ia bukan satu yang kompetitif, jadi sangat mudah bagi penetapan harga dimanipulasikan. Amat senang bagi tawaran itu digunakan sebagai mekanisme untuk pembayaran rasuah atau mendapatkan pengaruh," kata Pyman, yang merupakan bekas ketua pegawai kewangan firma gergasi minyak dan gas antarabangsa, Shell.

Beliau merujuk kepada keadaan di mana perjanjian itu boleh menyebabkan harga sebenar perolehan menjadi terlalu besar dengan usahsama bersama syarikat tempatan itu menubuhkan syarikat pseudo untuk meraih jumlah komisen yang besar.

NONESenario ini, dapat dilihat terutamanya di Malaysia. Antara, yang paling terkenal adalah perolehan dua kapal selam Scorpene yang dibeli oleh Kementerian Pertahanan menerusi kontrak RM7.3 bilion dengan firma DCNS dari Perancis dan Navantia dari Sepanyol.

Ia menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelbagai pihak kerana syarikat perundingan tempatan, iaitu Perimekar yang ditubuhkan hanya sejurus sebelum perjanjian itu, didakwa menerima 30 juta euro (RM500 juta) dalam bentuk komisen.

Walau bagaimanapun, Kementerian Pertahanan mempertahankan bayaran itu dan menegaskan bahawa ia adalah bayaran bagi urusan 'penyelarasan dan perkhidmatan sokongan. -mk

1 comment:
Write comments
  1. perimekar sdn bhd dimiliki oleh razak baginda @ mungkin sbg proxy kpd ment pertahanan [hj logiut najib] semasa pembelian scorpene [yg x pandai menyelam]. soalnya, apa yg perimekar sdn bhd boleh buat n ATM x boleh buat? penyiasatan lanjut mendapati perimekar x mempunyai kepakaran ketenteraan utk memenuhi justifikasi pemilihannya n sekaligus pembaziran RM500juta dana kerajaan/rakyat...tq UMNO/BN sbb sentiasa memberikan kami magic yg hebat...

    1 lagi projek wayang kulit UncivilizedMonkeyNO!!!

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.