Tuesday, November 22, 2011

Menunggu "buku baru" Anwar

http://a2.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash4/s320x320/376469_10150399539328901_38012338900_8339633_127362005_n.jpgPelancaran buku Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali, malam 16 Nov lalu, agak istimewa. Sentuhan bekas Timbalan Presiden KeADILan yang juga mantan Presiden Parti Rakyat Malaysia itu memang ditunggu-tunggu.

Sepertimana buku Dua Wajah, yang mengisahkan pengalaman ditahan ISA selama enam tahun, gaya penceritaan Dr Syed HUsin cukup menarik dan memaksa pembaca menekuninya dari muka ke muka.

Majlis di Pusat Konvensyen Shah Alam itu juga mendapat sambutan hebat. Dewan penuh, ada yang berdiri. Selain dihadiri pemimpin KeADILan pelbagai peringkat, ia juga menemukan ramai kenalan lama Syed Husin, termasuk mereka yang mendampinginya semasa pembabitan awal dalam politik. Untuk sebuah majlis pelancaran buku, ia boleh dianggap luar biasa.

Ucapan kenalan rapatnya seperti Dr Sanusi Osman, A Samad Said, Tian Chua dan Anwar Ibrahim dilafaz secara santai dan bersahaja. Agak lama saya tidak mendengar Anwar disapa dalam majlis rasmi dengan panggilan "saudara" dan bukan lagi "Dato' Seri". Malah Abd Khalid Ibrahim turut mengakui terpaksa membuat kerja rumah "membedah" buku tersebut sebelum berani merasmikan program yang melewati jam 11 malam itu.

"Macam ceramah politik pula malam ini, dah pukul 11 lebih baru tamat majlis," kata seorang Adun muda KeADILan semasa saya berjalan keluar dewan. Mungkin biasanya majlis pelancaran buku tidak berlangsung lama. Saya perhatikan ramai yang terpaksa menunggu giliran berbaris panjang untuk mendapatkan tandatangan Dr Syed Husin.

Meskipun Anwar sendiri mengakui beliau meminta majlis berkenaan diberikan keutamaan oleh Menteri Besar, selaras dengan kepentingan membudayakan tradisi ilmu, manakala Pengerusi KeADILan negeri, Azmin Ali telah mengerahkan aktivis parti seluruh bahagian di Selangor menghadirinya, namun saya kira pengalaman berkaca Dr Syed Husinlah yang lebih menarik minat orang ramai, termasuk saya, yang menggagahi diri memandu dari Ampang membelah hujan dan kesesakan lalu lintas.

Semua mengetahui keghairahan Anwar dengan buku sejak dalam kerajaan. Justeru, walaupun dengan nada berseloroh beliau mengumumkan syarat bahawa sesiapa yang berhasrat menjadi calon KeADILan dalam pilihan raya umum ke-13 mesti memiliki dan membaca memoir Dr Syed Husin itu, saya kira peringatan tersebut akan diambil perhatian serius.

Tian Chua yang berucap membuka majlis, mengesan keunikan tokoh politik seperti Syed Husin, yang baginya tidak mudah tergiur dengan kuasa. Bukankah politik dan kuasa sukar dicerai-tanggal tetapi beliau tetap dilihat berprinsip, istiqamah dan hidup sederhana? Tawaran jawatan senator pun sulit sekali dihadapinya, dan seperti didedahkan sendiri dalam buku, beliau terpaksa menerimanya selepas "diperangkap"oleh rakan-rakan.

Beliau mengakui bahawa "yang paling aku tidak senangi ialah gelaran Yang Berhormat atau YB ... kepada kawan-kawan aku beritahu aku tidak akan melayan mereka jikalau mereka menggunakan gelaran YB itu selepas dua kali".

Pak Samad juga menyentuh kesederhanaan hidup Syed Husin. "Antara persamaan kami berdua adalah kami masih memakai capal," katanya mengakhiri ucapan. Isteri saya yang duduk di sebelah, turut tersenyum sambil berkata, "samalah tu ...." Ya, saya sendiri tidak memakai sepatu sejak lebih 25 tahun lalu!

Banyak babak menarik atau pendedahan yang dirakam Syed Husin melalui memoirnya ini. Kita dapat menelusuri era awal penubuhan parti-parti pembangkang, dan bagaimana kezaliman pemerintah melakukan taktik kotor, bukan sahaja untuk melemahkan kekuatan dan pengaruh oposisi dengan tahanan tanpa bicara, malah bertindak menyusupkan agen untuk memecah-belahkan parti.

Saya tertarik dengan beberapa episod penting pengalaman politik Syed Husin selepas Anwar dipecat dan diaibkan Dr Mahathir Mohamad, misalnya latar belakang gerakan reformasi, percantuman PRM dan KeADILan, pertandingan Timbalan Presiden yang mendebarkan, alasan Ezam keluar parti, dan kegagalan untuk membentuk kerajaan pada 16 September. Begitu juga dengan peristiwa beliau ditolak sebagai calon PRU12 di Kota Bharu, yang dikaitkan dengan faham sosialisme.

Sebuah laman web lebih tertarik untuk menonjolkan bab Ezam berpaling tadah. Menurut Syed Husin, Ezam pernah memberitahunya, sebulan sebelum meletakkan jawatan, bahawa beliau kesempitan wang dan malu kerana terpaksa bergantung kepada pendapatan isterinya.

"Doktor, sekarang saya tiada pekerjaan dan tidak ada sumber pendapatan. Pendapatan saya sebanyak US$3,000 sebulan di Indonesia sebagai pengarah sudah terhenti sejak syarikat itu tutup. Sekarang saya terpaksa bergantung hanya kepada pendapatan isterti saja. Malulah, walaupun gajinya besar juga, kira-kira RM8,000. Saya kena cari peluang untuk mendapatkan satu dua jawatan pengarah. Ini boleh hanya jika ada bukti saya sudah meninggalkan parti,” kata Ezam, seperti dinukil Syed Husin dalam bukunya.

Bagaimanapun, Ezam dalam responsnya berkata, perbualannya seperti dirakam semula Syed Husin itu bukan dalam konteks keluar parti. Sebaliknya, kata Ezam, beliau menceritakan kesusahannya, antaranya kerana tidak mempunyai kerja, sebagai respons kepada "kekecewaan" Syed Husin dengan Anwar dan Azmin yang didakwa mewah.

Saya kira mungkin beberapa pendedahan lain dalam memoirnya itu akan turut disanggah atau dilihat dalam perspektif berbeda. Ya, ia satu perkembangan menarik yang boleh merancakkan perbahasan dan penilaian semula terhadap sejarah. Sama-samalah kita tunggu.

Semasa berucap, Syed Husin sempat menitip pesanan penting terutama buat mereka yang mengimpikan untuk menguasai Putrajaya dalam PRU13. Sikap sesetengah wakil rakyat yang enggan turun padang merasai gelora hati masyarakat bawahan, khususnya pengundi di kawasan masing-masing ditegurnya. Beliau mahu setiap aktivis Pakatan kembali merenung perjuangan masing-masing; apakah sedia berkorban dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat?

Dalam halaman akhir bukunya, beliau menekankan tentang dasar dan matlamat parti yang belum dihayati sepenuhnya, selain disiplin sesetengah pemimpin dan anggota yang masih agak lemah. Syed Husin turut mengakui pernah menulis catatan panjang kepada Menteri Besar Selangor, yang mengandungi senarai masalah dan cabaran-cabaran kerajaan negeri, termasuk sebuah artikel dalam buku "mengenai Reformasi Kerajaan Selangor, akan tetapi kelihatan tiada kesannya".

Syed Husin sudah menerbitkan memoir politiknya, dan sebelumnya Dr Mahathir melalui A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad. Rasanya lebih ramai menunggu nukilan Anwar, seperti dibangkitkan pengacara majlis malam itu, Amir Sari. Apa pun, mungkin Anwar mahu menyempurnakan dahulu tugasnya untuk membentuk "sejarah baru" daripada menulis "buku baru" ...

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.