Thursday, November 24, 2011

Pakatan Rakyat tembusi kubu kuat Umno?

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat kini semakin bertapak kukuh di pedalaman khasnya kawasan Felda yang sebelum ini dianggap kubu kuat Umno-Barisan Nasional

Dalam satu program ceramah di Gugusan Felda Palong di sini malam tadi, Anwar berkata, ia memberikan isyarat bahawa Pakatan Rakyat kini semakin hampir ke Putrajaya dan bakal menyingkirkan Umno-BN pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Ceramah berkenaan yang diadakan di Felda Palong 6, berjaya menarik kehadiran lebih 2,000 peneroka dari Gugusan Felda Palong.

Dalam ucapannya, Anwar melahirkan rasa terharu dengan sambutan luar biasa dan kehadiran ribuan peneroka Felda yang menandakan bahawa kubu kuat Umno di Negeri Sembilan itu berjaya ditembusi Pakatan Rakyat.

“Saudara dan saudari pada malam ini berjaya membuktikan bahawa akhirnya antara kubu Umno yang terkuat di Negeri Sembilan berjaya juga ditembusi.

“Saya percaya kebangkitan warga peneroka pada malam ini khususnya anak muda akan memberikan kemenangan kepada calon PR di Palong, Jeram Padang, Serting dan Jempol,” katanya di hadapan kira-kira 2,000 peneroka Felda dari Gugusan Felda Palong.

Anwar dalam ucapan lebih sejam mengingatkan Umno-BN terhadap penyelewengan yang dilakukan Felda dan kegagalan parti itu membela nasib peneroka.

Felda kini berdepan saman dari ribuan peneroka dari Negeri Sembilan, Kelantan, Johor dan Pahang ekoran penyelewengan yang dilakukan agensi itu terhadap hasil pendapatan peneroka.

“Nasihat saya kepada Umno, jangan berdendam, jangan balas dendam, jangan hukum orang apabila menyedari sokongan warga Felda kini mula berpihak kepada PR.

“Anda (Umno) harus persalahkan diri anda sendiri kerana gagal membela nasib warga peneroka Felda,” kata Anwar dan disambut dengan sorakan gamat daripada para hadirin.

Dalam program berkenaan Anwar turut menerima penyerahan borang kemasukan seramai 412 ahli baru KEADILAN dari Ranting Felda Palong 6; 105 ahli dari Ranting Felda Palong 4 dan 257 ahli dari Ranting Felda Palong 2.

Untuk rekod Gugusan Felda Palong mempunyai 16 Tanah Rancangan Felda bermula dari Felda Palong 1 dan berakhir dengan Felda Palong 16.

Beliau juga menyempurnakan pemberian Geran ‘Pengisytiharan Tanah Berkelompok Persendirian’ kepada 32 peneroka Felda Palong 8 yang mengusahakan penanaman semula getah dan kelapa sawit secara persendirian dan bukan melalui Felda.

Ketua Pembangkang itu turut menerima kemasukan 80 peneroka Felda Palong 8 yang menyerahkan Borang Permohonan Peneroka Generasi Baru.


KEADILAN lancar ‘Janji Palong’ bela peneroka Felda

KEADILAN melancarkan manifesto warga Felda peringkat kebangsaan yang dikenali sebagai ‘Janji Palong’ bagi membela hak peneroka yang selama ini diabai kerajaan Umno-Barisan Nasional.

Manifesto itu dilancarkan oleh Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perhimpunan warga Felda yang diadakan di Felda Palong 6 di sini malam tadi.

Program tersebut berjaya menarik kehadiran lebih 2,000 peneroka Felda di sekitar gugusan Felda Palong.

Anwar dalam ucapannya memuji usaha yang dilakukan Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal KEADILAN (BMFOAK), dalam memperjuangkan hak peneroka yang ditindas oleh Felda di Gugusan Felda Palong dan sekitar Jempol.

Turut hadir dan memberi ucapan pada majlis itu Pengerusi BMFOAK, Suhaimi Said, Timbalan Pengerusi, T Kumar dan Setiausahanya, Rebin Birham.

Sebelum ini sebanyak lapan kes saman ke atas Felda yang melibatkan peneroka Felda Palong, Felda Serting dan Felda Jengka (Pahang) telah difailkan di Mahkamah yang dikendalikan oleh BMFOAK.

Janji Palong mengandungi 6 elemen penting di dalam perjuangan KEADILAN membela nasib Peneroka Felda dan Generasi Baru Felda.

Pertama, memansuhkan Felda Plantation seperti yang terkandung dalam Buku Jingga.

Kedua, menawarkan 830,000 ekar tanah Felda Plantation kepada 83,000 peneroka baru yang terdiri daripada generasi baru Felda.

Ketiga, berjanji membangunkan perumahan mampu milik untuk generasi baru yang menetap di kawasan Felda.

Keempat, menamatkan penipuan Kadar Perahan Gred (KPG) yang memerah hasil peneroka Felda.

Kelima, mengisytiharkan hutang Peneroka yang akan ditolak daripada pendapatan mengikut kiraan sebenar.

Dan keenam, pemberian insentif kepada peneroka tanam semula secara individu tanpa mengharapkan bantuan dan penggantungan kepada Felda.

-Keadilandaily.com

1 comment:
Write comments
  1. singkirkan jg isa samad [ex N9 MB] yg telah terbukti corrupt n seterusnya utk menafikan cubaan menipu peneroka felda oleh FGV!!!

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.