Polis akan mengambil tindakan ke atas media yang didapati menimbulkan isu perkauman dalam laporan mereka berhubung insiden pergaduhan yang didakwa berlaku di sebuah restoran di Shah Alam, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Zahedi Ayob berkata, polis juga akan mengambil tindakan ke atas penulis komen yang menimbulkan isu perkauman di Youtube, ekoran penerbitan rakaman insiden berkenaan di laman itu.
Menurutnya lagi, polis setakat ini hanya mengambil tindakan ke atas insiden pergaduhan di Kentucky Fried Chicken i-City itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
"Kita hanya ambil tindakan di atas pergaduhan itu. Lepas itu (rakaman) pergaduhan ini diletak dalam Youtube, komen yang timbulkan isu perkauman itu kita akan ambil tindakan lain.
"Kalau yang itu (isu perkauman) jadi kes lain. Kalau suratkhabar yang timbulkan perkauman (berhubung insiden itu), kita akan ambil tindakan ke atas suratkhabar," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Polis juga tidak akan menggunakan rakaman di Youtube itu untuk siasatan kes pergaduhan tersebut, kata Ahmad Zahedi lagi.
Sebaliknya, polis hanya akan menggunakan rakaman video litar tertutup (CCTV) dari premis restoran itu, yang setakat ini masih belum diterima pasukannya, kata Ahmad Zahedi.
"(Rakaman) di Youtube tak boleh pakai sebab dah edit semua. Anda ingat itu rakaman betul?," katanya lagi.
Sekurang-kurangnya dua rakaman insiden berkenaan dikesan telah dimuatkan di Youtube dan mendapat perhatian meluas oleh pengguna Internet setakat ini.
Tambahnya, polis juga masih menunggu laporan perubatan daripada lelaki yang mendakwa dicederakan dalam insiden itu.
"Tinggal sekarang ini, kita buat kawad cam dan semak rakaman CCTV dari KFC, lepas itu kita akan tunggu laporan perubatan orang yang kata kena tumbuk itu, dia buat pemeriksaan perubatan.
"Kita nak tengok ada kesan (cedera) atau tidak," katanya lagi yang turut mengesahkan siasatan ke atas tiga orang kakitangan restoran tersebut.
Katanya, suspek – tiga lelaki berusia 20-an – itu juga tidak ditahan dan hanya diminta untuk hadir untuk pengecaman di ibu pejabat polis daerah itu.
"Kita buat kawad cam untuk (pengadu) kenalpasti siapa yang tumbuk dia, sama ada dia kenal atau tidak kenal. Macam mana nak tuduh kalau dia tak kenal siapa?," katanya lagi.
Tambahnya, polis juga telah mencatat kenyataan daripada sekurang-kurangnya sepuluh orang saksi dalam kes berkenaan.
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.