POLIS mendapati faktor bahasa dan pemakanan yang tidak jauh berbeza antara negara China dan Malaysia menjadi punca lambakan pelacur warga China menjadikan negara ini sebagai destinasi kerjaya maksiat 'freelance' mereka.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata pelacur warga Republik China juga lebih selesa dengan suasana iklim di negara ini kerana tidak jauh berbeza keadaannya daripada negara mereka, terutama di bahagian selatan China.
Beliau berkata pelacur warga China itu bertutur dalam Mandarin dan ini memudahkan mereka untuk bergaul dengan masyarakat Cina di negara ini serta makanan di negara ini juga hampir sama dengan tempat asal mereka.
“Sosiobudaya yang seakan-akan sama dengan kita dari segi bahasa, pemakanan dan cuaca selain kemudahan pengangkutan menjadi galakan kepada pelacur di sana datang ke negara ini.
"Kos yang murah dalam sistem pengangkutan contohnya ada ‘penerbangan kos murah’ dan mudah untuk dicapai melalui internet menjadi pemangkin untuk mereka hadir ke negara ini," katanya kepada Bernama.
Abdul Jalil berkata pendedahan itu dibuat setelah pihak polis menyoal siasat 13 wanita warga China yang ditahan dalam serbuan kerana menyalahgunakan pas pelajar dan salah guna pas lawatan sosial pada 16 Feb lepas di sebuah pusat urut, di Sri Petaling, Brickfields.
Beliau berkata mengikut siasatan awal, pelacur warga China yang pernah memasuki Malaysia sebagai pekerja seks melalui sindiket, akan kembali semula bekerja di negara ini menggunakan visa pelajar dan menjalankan kegiatan pelacuran secara 'freelance' kerana pendapatan yang lumayan.
"Ada dua taktik pertama iaitu mereka akan menggunakan ejen atau sindiket untuk bawa mereka masuk tetapi apabila mereka dah duduk sini mungkin dalam setahun, dah tahu kawasan, mereka akan gunakan pula taktik kedua iaitu dengan berpatah balik tanpa melalui sindiket.
“Mereka berani dan tidak ada masalah untuk datang secara sendiri kerana mereka dah tahu nak pergi mana, bekerja di mana, tahu sistem pengangkutan di Malaysia contohnya turun di LCCT, naik bus RM9 pergi ke KL Sentral kemudian naik teksi ke Pudu dengan kos RM20, sebelum menetap di rumah yang sebelum ini mereka pernah duduk seterusnya kembali menjalankan kegiatan pelacuran,” katanya.
Abdul Jalil berkata kebanyakan warga China yang disoal siasat adalah atas kapasiti bukan untuk belajar tapi hanya menggunakan pas tersebut sebagai platform supaya nanti mereka boleh pergi ke satu tempat yang lain dan akhirnya langsung tidak mendaftar di institusi pengajian mereka semata-mata untuk menjadi pelacur.
“Mereka sebenarnya cuba mengaburi pihak berkuasa contohnya ketika berada di pintu masuk utama Imigresen, Imigresen tengok mereka pegang visa pelajar dan tengok mereka sebagai pelajar sahaja dan beranggapan budak ni nak belajar jadi tidak akan tanya banyak soalan sebaliknya kalau tengok mereka sebagai pelancong, Imigresen mesti akan tanya nak pergi mana, duduk hotel mana, dan sebagainya,” katanya.
Statistik terkini Unit Pencegahan Maksiat Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Polis Bukit Aman pada Januari hingga 15 Feb menunjukkan warga China merupakan jumlah paling ramai ditangkap kerana terbabit dalam pelacuran iaitu seramai 653.
Tangkapan itu diikuti dengan warga Vietnam (367), Thailand (300), Indonesia (177), Filipina (55), Uzbekistan (19), Myanmar (14), Kemboja (10), Bangladesh (9), Mongolia (6), Nigeria dan Sri Lanka masing-masing empat tangkapan dan India satu.
Berdasarkan statistik polis, warga China kekal mencatatkan tangkapan tertinggi bagi tiga tahun berturut-turut iaitu pada 2009 seramai 5,753; 2010 (6,378) dan 2011 (5,922). (BERNAMA)
Oleh : NUR NATASHA AIDA ISMAIL (sabahkini)
Wednesday, February 29, 2012
Sosiobudaya Galak Pelacur China
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
supply n demand maa...
ReplyDelete