Saturday, February 25, 2012

Politik sakit dan politik sihat

Modal konco-konco UMNO kini hanya tertumpu untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat. Selain DAP yang difitnah sebagai anti-Melayu dan anti-Islam, para pemimpin PAS dan UMNO pula dihentam keromo dengan isu-isu yang semakin tidak masuk akal.

Barisan Third Force yang seangkatan pemikiran mereka dengan UMNO seperti Perkasa dan Jati pula menggunakan Melayu, Islam dan Raja-raja untuk menekan PAS dengan mimpi agar sesetengah pemimpin dan ahli PAS meragui barisan kepimpinan mereka sendiri.

Kini, gendang perang pilihan raya semakin kuat kedengaran. Isu-isu emosi, tanpa sebarang bukti, seperti dakwaan murtad, kristianisasi dan lain-lain dibangkitkan secara sembrono, hinggakan banyak tuduhan lebih bersifat menghasut dan membakar sentimen perkauman.

Sedangkan seperti mana yang diketahui pada masa-masa yang lalu, jika UMNO-BN kembali kukuh selepas setiap pilihan raya umum, isu-isu sentiment agama itu tenggelam tanpa dipedulikan.

Yang peliknya, jika benarlah dakwaan bahawa ribuan umat Islam Malaysia telah murtad atau dimurtadkan, ia berlaku di kala UMNO-BN menjadi kerajaan pusat, ia berlaku di kala UMNO menguasai segala pentadbiran Islam dengan peruntukan berbilion ringgit, ia berlaku di kala berbilion ringgit wang zakat dikutip setiap tahun. Semuanya ini dalam tangan para pemimpin UMNO.

Alahai Hasan Ali

Jadi mengapa Hasan Ali – bekas orang kuat PAS yang suatu ketika dahulu memaki-hamun UMNO dan menuduh UMNO dengan pelbagai tuduhan yang maha dahsyat – kini menjadi pecacai UMNO untuk menyalahkan PAS, PKR, DAP dan kerajaan Pakatan Rakyat dalam isu murtad yang belum dibuktikannya ini? Apa kaitannya?

Kerajaan-kerajaan negeri PR hanya ditubuhkan selepas 2008 dengan kuasa yang terhad dalam pengurusan ekonomi kerajaan negeri. Kuasa Jabatan/Majlis Agama Negeri sekali pun, bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Hasan Ali pasti lebih tahu akan hal ini.

Dengan itu, adalah lebih baik jika tokoh besar ini yang mahu mempertahankan Tuhan bermuhasabah diri. Daripada ke hulu ke hilir mengutuk PAS dan PR, mungkin lebih baik sekiranya beliau semak kembali reputasi kerajaan UMNO-BN.

Gunakanlah gelaran doktor falsafahnya itu untuk menulis dan membuat kajian menyeluruh terhadap isu murtad ini. Atas kapasiti seorang Adun dan veteran politik, pasti impaknya lebih baik dari menjadi politikus ‘serba tahu’.

Dan jika benar dakwaannya, sudah pasti yang bertanggungjawab dalam gejala itu adalah mereka yang memegang tampuk kuasa, menguasai kewangan negara termasuk peruntukan dan kutipan hasil yang berkaitan dengan Islam – kepimpinan UMNO.

Israel

Isu Israel juga dibangkitkan oleh juak-juak UMNO dengan harapan akan berlaku perpecahan di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana perbezaan pendapat dalam menyelesaikan kemelut Timur Tengah.

Oleh kerana kecetekan minda, para pecacai UMNO termasuk mereka yang bertaraf menteri agak kurang cerdik dalam menangani isu ini. Mereka main hentam sahaja dengan harapan kebanyakan orang Melayu akan melatah apabila mendengar perkataan “Israel”.

Mereka lupa bahawa pendirian Anwar adalah sama dengan ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta kehendak majoriti rakyat Palestin, iaitu mewujudkan keamanan dan menghentikan sengketa melalui penubuhan dua negara.

Malah rekod Anwar sejak zaman pemimpin pelajar sehingga hari ini adalah untuk berjuang bersama rakyat Palestin, dan sentiasa menentang dasar luar Israel yang melakukan keganasan terhadap orang awam.

Bezanya dengan pendirian Nik Aziz ialah PAS tidak mengiktiraf kewujudan Israel. Itu sahaja. Dalam soal sama-sama berjuang untuk hak rakyat Palestin, pandangan mereka bukan sahaja serupa, malah sebulat suara.

Dan juak-juak UMNO lupa bahawa pandangan kerajaan Malaysia, pendirian UMNO serta Perdana Menteri adalah hampir sama dengan Anwar, iaitu menyokong usaha antarabangsa untuk mewujudkan dua negara.

Jadi siapa yang bohong, siapa yang fitnah?

Ringkasnya, isu Israel hanyalah isu sentimen ranting yang tidak ada asas kuat dalam memberi kuasa kepada rakyat Malaysia untuk memilih sebuah kerajaan yang bersih dan baik untuk mereka.

Perhimpunan besar-besaran

Kini kita dapat lihat bentuk kempen serangan UMNO-BN terhadap PR. Ini semuanya politik, bukan benar-benar isu yang ada asas untuk melaksanakan tanggungjawab membangunkan bangsa Malaysia.

Ada pihak yang sanggup membuat perhimpunan besar-besaran untuk menentang apa yang didakwa sebagai murtad dan kristianisasi tetapi mereka diam membisu dengan gejala rasuah yang bukan sahaja dibenci oleh semua agama, malah mendatangkan keburukan dan kehancuran masyarakat.

Adakah ini bermakna para pecacai UMNO menyokong dan mahu memartabatkan rasuah dan penyelewengan sebagai budaya bangsa? Adakah mereka yakin bahawa rasuah itu adalah sesuatu yang halal atau sekurang-kurangnya harus kerana ia sudah menjadi amalan para pemimpin UMNO?

Mengapa serangan UMNO-BN tidak tertumpu kepada isu rasuah? Jika benar kerajaan PR melakukan rasuah, mengapa tidak dibawa dan didakwa di mahkamah? Mengapa tidak ada rapat umum terbesar membongkar rasuah PR?

Jawabnya kerana isu rasuah tidak wujud dalam kerajaan PR. Malah, urus tadbir yang cekap dalam kerajaan negerilah maka hutang negeri Pulau Pinang menyusut berpuluh juta dan rizab simpanan Selangor meningkat ratusan juta.

Ia berbeza sekali dengan kerajaan UMNO-BN yang terlibat dengan skandal PKFZ, NFC dan banyak lagi. Hingga kini, tidak ada penyudah yang konkrit dapat diusahakan oleh UMNO dan MCA.

Inilah yang membezakan antara politik orang-orang yang sakit dengan politik sihat lagi menyihatkan yang amat diperlukan oleh rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama.

– Roketkini.com

1 comment:
Write comments
  1. doktrin UMNgOk x membenarkan rakyat jd pandai utk pelaksanaan tembirang mereka. penjajahan minda adalah asas kpd penjajahan keseluruhan aspek kehidupan rakyat!!!

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.