Tuesday, August 6, 2013

Budak dipilih jadi datuk bandar buat kali kedua

DORSET, Minnesota - Seorang kanak-kanak berusia empat tahun sekali lagi telah dipilih sebagai datuk bandar di sebuah bandar pelancongan kecil di utara Minnesota.

Kanak-kanak itu, Robert "Bobby" Tufts masih belum memasuki alam prasekolah tetapi telah pun dipilih sebanyak dua kali sebagai datuk bandar di sini.

Nama datuk bandar Tufts dipilih semula kelmarin semasa festival tahunan Taste of Dorset untuk menjadi datuk bandar Dorset buat penggal kedua.

Bandar itu tiada pemerintah pentadbiran yang formal dan mempunyai populasi seramai 22 sehingga 28 orang. Jumlah itu bergantung kepada sama ada menteri dan keluarga berada di bandar atau tidak.

Sesiapa sahaja layak mengundi seberapa banyak yang mereka kehendaki. Setiap undian dikenakan bayaran sebanyak AS$1 (RM3.22).

Para pengundi boleh membuang undi di mana-mana sahaja peti undi yang disediakan di sekitar bandar berkenaan. Hasil kutipan undi tersebut akan gunakan untuk mengelolakan pesta berkenaan.

Bobby telah dipilih sebagai datuk bandar buat pertama kali ketika berusia tiga tahun pada tahun lalu.

Ibunya, Emma Tufts berkata, dia dan anaknya yang akan mencecah usia lima tahun pada bulan Oktober depan, terkejut selepas nama "Bobby" dipilih semula untuk pemilihan pada Ahad lalu. - Agens / Kosmo

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.