Wednesday, August 28, 2013

Khairy : Parti tunggal Cina dalam BN

Khairy cadang parti tunggal Cina dalam BN. - Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 27 Ogos, 2013.Khairy Jamaluddin hari ini menggesa parti komponen Cina di bawah Barisan Nasional (BN) bergabung menjadi sebuah parti tunggal.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata cadangan untuk menggabungkan parti komponen India di bawah BN sebelum ini perlu diperluaskan kepada parti komponen Cina agar BN mampu memberi dimensi baru kepada rakyat.

"Saya bersetuju jika parti komponen India di bawah BN digabungkan menjadi parti tunggal malah usaha ini perlu diperluas kepada parti komponen masyarakat Cina di bawah BN agar parti yang memerintah negara sejak Merdeka itu terus relevan.

"Usaha ini mampu memberi nafas baru dalam penjenamaan semula BN," katanya ketika ditemui media semasa majlis penyerahan jawatan Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di Kuala Lumpur hari ini.

Media melaporkan Naib Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata parti itu bersedia menerima kemasukan parti lain namun tidak rela membubarkan parti berkenaan bagi mewujudkan satu parti India baru.

Beliau menjelaskan adalah tidak wajar MIC selaku salah sebuah parti tertua di Malaysia kehilangan identiti kerana parti itu telah diasaskan sejak 1946.

Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata MIC belum bersedia untuk dimansuhkan sebaliknya menerima parti lain ke dalam MIC.

Cadangan menggabungkan parti komponen kaum India diilhamkan oleh Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagi menjaga kepentingan kaum India.

Beliau menjelaskan tiada guna persaingan antara parti tetapi meminggirkan kepentingan kaum India.

Katanya, penggabungan itu penting kerana sokongan India menyumbang 48 peratus sokongan kepada BN pada pilihan raya umum lalu. - TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.