Thursday, August 1, 2013

TPPA agenda menjahanamkan generasi muda

Secara asasnya TPPA ialah sebuah perjanjian perdagangan yang membabitkan beberapa negara. Maka, perbincangan dan wacana mengenainya banyak berputar sekitar kesan perdagangan yang dijangka diterima negara kecil terutama negara membangun seperti Malaysia.

Antara, yang sering dilaung-laungkan ialah harga ubat akan menjadi lebih mahal, peruntukan bumiputera tidak dibenarkan, nasib pekebun kecil dalam industri asas tani terpaksa bersaing dengan hasil pertanian luar negara dan banyak lagi kesan lain. Tetapi, ia sebenarnya bukan sahaja memberi impak kepada perdagangan semata-mata.

Jika Malaysia menandatangani perjanjian ini, nescaya masyarakat sekali lagi akan berhadapan dengan suatu perubahan sosial dan penjajahan budaya selepas proses globalisasi. Ia menjadi kekangan kepada proses Islamisasi. ini kerana apabila urusan perdagangan menjadi bebas tanpa terikat dengan akta penting yang digunakan di Malaysia seperti undang-undang halal dan sebagainya, maka secara automatisnya budaya negara itu juga akan datang bersama.

Salah satu proses Islamisasi ialah usaha penyediaan iklim Islamiah dalam kehidupan ummah bagi memungkinkan berlakunya proses pembudayaan yang sihat. Tegasnya suatu gerakan normalisasi budaya perlu dilancarkan untuk membendung arus pencemaran budaya yang kian menggila dan bakal menggila-gila. Merebaknya unsur budaya sensate- budaya disko dan kasino, budaya hedonism materialis, budaya karya erotis dan porno, budaya video lucah dan sebagainya adalah barah budaya yang ganas dan mencemaskan. Apa yang membimbangkan ialah kesan menimpa generasi muda iaitu golongan inilah yang bakal menerima natijah daripada dasar digadaikan pemimpin negara pada hari mendatang.

Kita melihat kesan negatif globalisasi dan hari ini dan nampaknya kita terpaksa menggunakan globalisasi sebagai medan Islamisasi , dakwah dan tarbiyyah sebagai peluru balas dek tuntutan supaya dimensi kemanusiaan disepadukan dengan teknologi. J A Scholte (2002) dalam bukunya menyimpulkan globalisasi sebagai internasionalisasi, liberasi, universalisasi, westernisasi atau modernisasi (lebih banyak dalam bentuk Americanised) dan globalisasi sebagai penghapusan batas-batas territorial (atau sebagai persebaran supra-teritotorialitas).

Adakah kita ingin mencari solusi lain untuk melakukan Islamisasi selepas kita menyesali kerana tidak melakukan proses pencegahan awal? TPPA yang bakal ditandatangani ini tiada bezanya dengan globalisasi yang kita lalui. Malah ia lebih teruk kerana terikat dengan perjanjian. Saat ini, generasi muda sepertinya kehilangan akar budaya dan jati diri bangsa. Westernisasi sedikit sebanyak mencabut nilai agama dan budaya lokal, generasi muda lebih seronok dengan budaya hedonis daripada berdiskusi mengenai masalah umat.

TPPA melalui bab Harta Intelek (Intellectual Property Chapter) dan Isu Hakcipta (Copyright) yang semakin ketat untuk Malaysia dan semakin mudah untuk negara seperti Amerika akan memudahkan mereka menguasai penerbitan, ICT dan juga hiburan. Umum mengetahui, filem Hollywood tidak terlepas daripada adegan lucah kebanyakannya. Tambahan pula, Amerika Syarikat adalah pengeluar porno terbesar dunia. Apabila perdagangan bebas ini berlaku dan tiada lagi terikat dengan undang-undang penapisan Malaysia, ia akan menjadi mudah bagi Amerika Syarikat membawa masuk ke negara kita. Tidak dinafikan ia sememangnya sudah merebak ke dalam negara sejak sekian lama. Cuba bayangkan pula dengan keterikatan perjanjian yang dikawal oleh mereka, pasti ia akan semakin menggila.

Ini kerana apa yang menjadi kebimbangan Amerika Syarikat sekarang ialah kekangan perdagangan (Technichal Barrier to Trade) seperti undang-undang halal, lembaga penapisan filem, Wajib Tonton dan sebagainya. Antara lain ialah untuk memasarkan produk mereka seperti ayam dan daging. Jika nanti sudah tiada sekatan, maka dengan mudah untuk mereka membawa makan tidak halal dan ia akan mendominasi syarikat kecil di Malaysia.

Maka, kesucian undang-undang halal nampaknya akan dikuasai undang-undang drakonian ini. Begitulah putarannya, dari budaya ke ekonomi dan seterusnya dari ekonomi ke budaya pula. Akibatnya dunia sekali lagi akan di 'Amerika'kan dari segi budayanya, tetapi Amerika enggan di 'manusia'kan moralnya (…, the world is becoming Americanized culturally, but America is refusing to be humanized morally) seperti mana yang dikatakan oleh Naisbitt dalam bukunya. Sejarah membuktikan tiada satu negara pun yang pernah mengadakan perjanjian dengan Amerika yang untung. Mengapa Malaysia harus menandatangani TPPA kali ini?

Demi menyelamatkan generasi muda dan demi keberhasilan Islamisasi tugas ini harus digarap segera dalam rangka melaksanakan perintah amar makruf nahi munkar - dua kewajipan kembar yang tidak boleh dipisahkan. Justeru, usaha untuk memberi mesej pada pemimpin negara harus digerakkan supaya mereka sedar bahawa nasib generasi muda bakal tergadai.

Usah jahanamkan masa depan generasi keturunan dengan sebuah perjanjian. Nampaknya tekad politik yang lebih kental masih terus diperlukan kalau proses Islamisasi ini benar-benar suatu tekad yang serius dan bukan sekadar acah-acah mainan politik. Kesediaan untuk memanfaatkan segala kebaikan dan kebudayaan lain harus diimbangi dengan kesedaran jati diri dan kewaspadaan terhadap segala bahaya. Kebudayaan Melayu Islam harus menjadi kebudayaan yang kuat untuk memungkinkan berfungsi sebagai wahana kebangkitan umat.

* Azizan ialah Exco Penerangan PKPIM.

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.