Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu mengambil tindakan tegas terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam atas penghinaan terhadap kaum bukan Melayu bagi membuktikan beliau serius menegakkan aspirasi 1Malaysia serta mengelak pemimpin Umno terus menyebarkan fitnah kepada pembangkang kata pemimpin Pakatan Rakyat.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (gambar) berkata dengan sikap sedemikian, Umno tidak ubah seperti pejuang tentera Nazi di Jerman yang memperjuangkan keturunan dan ketuanan bangsa.
“DAP tidak terkejut kebencian yang disebarkan oleh pemimpin Umno yang mengamalkan rasuah seperti Mohd Ali yang pernah dihalang dari bertanding dalam pemilihan Umno kerana terlibat dalam politik wang.
“Mohd Ali terus menyalahkan pengundi Cina atas kekalahannya di kerusi parlimen Bukit Katil dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) meskipun 53% pengundi di kawasan itu adalah Melayu.
“Sebenarnya jika semua pengundi Cina tidak mengundi Mohd Ali pada PRU13 lalu, beliau masih mampu menang jika mendapat undi dari pengundi Melayu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mendakwa Ahmad Zahid tidak layak menjadi seorang Menteri Dalam Negeri kerana mengarahkan polis menghapuskan kumpulan kongsi gelap tetapi pada masa sama mengiktiraf salah satu kumpulan yang telah disenarai polis.
Katanya, arahan Ahmad Zahid yang meminta pihak polis melepaskan tembakan dahulu kepada penjenayah adalah bertentangan dari segi prinsip kerana polis tidak mengenali penjenayah dan mereka hanya boleh berbuat demikian sekiranya nyawa mereka terancam.
“Tugas polis ialah menyiasat. Arahan melepaskan tembakan sebelum siasat adalah arahan gengster. Bagi saya beliau tidak layak menjadi Menteri Dalam Negeri kerana mengiktiraf kumpulan yang meragukan.
“Ahmad Zahid perlu berpisah dari kumpulan yang meragukan ini. Kenyataan beliau akan meningkatkan jenayah dan menggalakkan pembunuhan. Pandangan beliau hanya akan mengeruhkan lagi masalah.
“Malaysia perlu belajar dari Singapura dan Hong Kong bagaimana mereka boleh mengurangkan kadar jenayah dengan begitu efektif dan bukan mengarahkan pasukan keselamatan untuk bertindak tidak berpandukan undang-undang,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Naib Presiden PKR Chua Tian Chang pula melihat kenyataan Ahmad Zahid yang selama ini melaung-laungkan sifat "buta warna" tidak benar dan kenyataannya menyokong Tiga Line membuktikan ramai di kalangan Umno merupakan ahli kepada kumpulan kongsi gelap itu.
Katanya, kenyataan Menteri Dalam Negeri itu mengelirukan pihak polis dan menunjukkan seolah-olah kumpulan itu tidak terlibat dengan jenayah dan senarai pihak polis selama ini adalah satu kesilapan.
“Jika Ahmad Zahid jelas Tiga Line bukanlah satu pertubuhan haram, maka beliau perlu menjelaskan kepada pihak polis bagi mengelak pasukan keselamatan itu membuat tangkapan yang salah.
“Jika Tiga Line dikenal pasti sebagai bukan kumpulan gengster maka ada kemungkinan kumpulan lain yang telah disenarai polis juga bukanlah kumpulan yang terlibat dalam jenayah.
“Tetapi jika benar Tiga Line adalah kumpulan gengster maka jelas kebanyakan pemimpin Umno adalah ahli dalam kumpulan itu dan Ahmad Zahid perlu tunduk kepada kumpulan ini untuk meendapat undi dalam pemilihan Umno nanti,” katanya semasa dihubungi The Malaysian Insider.
Ahmad Zahid dalam satu majlis di Melaka pada Jumaat menyifatkan pertubuhan kongsi gelap Tiga Line sebagai “kawan” dan menggalakkan mereka melakukan apa yang perlu dilakukan berbanding mengambil tindakan terhadap mereka.
Beliau turut mengancam wartawan yang hadir pada majlis itu dengan mengugut untuk menutup operasi akhbar mereka jika kata-katanya dilaporkan.
Pada majlis itu, Menteri Dalam Negeri itu mendakwa daripada 14,511 anggota kongsi gelap, 6,171 darinya adalah Melayu, 1,701 Cina, 3,685 India dan 2,954 lagi dari kaum lain.
Katanya, pengedar dadah terbesar adalah orang Cina, yang kecil sedikit India dan penggunanya adalah orang Melayu di samping menafikan proses undang-undang dengan menyuruh supaya menembak penjenayah terlebih dahulu jika polis mempunyai bukti. –TMI
Tuesday, October 8, 2013
Pemimpin Umno bunuh 1Malaysia?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.