Saturday, February 12, 2011

DIESEL SUBSIDI TIRIS KEPADA LANUN?

LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dikesan telah menyebabkan ketirisan sejumlah besar diesel bersubsidi kepada ‘Lanun Kolar Putih’ yang dipercayai kroni dan proksi kepada Ketua Pengarah LKIM yang baru, Dato’ Hj. Mohad Khazin Bin Hamzah.

Bukti paling ketara ialah pembukaan semula Jeti PNK di Barter Trade, Sandakan yang sebelum ini ditutup ekoran serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2009 kerana terlibat dengan skandal menjual minyak diesel bersubsidi kepada industri dan penyelewengan dalam jumlah yang besar.

Memandangkan Jeti PNK Barter Trade terletak di kawasan larangan, adalah tidak mungkin nelayan dapat memasuki jeti berkenaan untuk mengisi minyak.

Bagi menjayakan misi sulit mereka, Pengarah LKIM Sabah, Jamaluddin Osman yang merupakan orang kepercayaan Ketua Pengarah LKIM telah merancang untuk mengarahkan Pengurus PNK Sandakan menukarkan Staff PNK Sandakan, Abdillah bin Sakmad dan Ketua Penguatkuasa LKIM Sandakan, Hamiddy Alidinshah pada bila-bila masa daripada sekarang.

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) adalah sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang diperbadankan menurut Akta 49, Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1971. Akta ini berkuatkuasa bagi negeri-negeri di Semenanjung pada 1 November 1971; di Sarawak pada 1 Julai 1973; dan di Sabah pada 1 Ogos 1995.

“Jadi minyak tersebut dibekalkan untuk siapa? Kita lihat hanya bot asing yang berlabuh di situ. Apakah mereka menjual minyak bersubsidi kepada bot asing Filipina dan Indonesia?,” tanya seorang nelayan pantai, Kasman Kumalakan yang kesal dengan penyelewengan yang berterusan, apatah lagi beliau gagal mendapat kad fleet untuk membeli minyak diesel bersubsidi.

Menurut Kasman, para nelayan kesal kenapa tidak ada anak Sabah yang dilantik sebagai Pengurus PNK Sandakan kerana sehingga ini masih dijawat oleh orang Semenanjung Malaysia, Khusairi Tarmizi semata-mata untuk membolehkan mereka meneruskan kegiatan menjual minyak diesel subsidi kepada mereka tidak layak, terutama bot asing dan industri.

Kasman menjelaskan, rakan mereka di Kudat juga gagal mendapat minyak subsidi kerana Jeti PNK Kudat tidak mempunyai kuota LKIM sehingga permohonan mereka untuk mendapatkan lesen menjual runcit ditolak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), semata-mata kerana Pengerusi PNK Kudat orang Sabah dan bukan kroni Ketua Pengarah.

Namun kata Kasman, berbeza dengan Jeti PNK Sandakan di Barter Trade yang dibuka semula pada 1 Februari 2011, kononnya untuk dijual kepada 400 nelayan yang ada Fleet Card sedangkan ketika ditutup pada 2009, jeti berkenaan tidak mempunyai lesen runcit walaupun telah beroperasi sejak 2006.

Walaupun Jeti PNK Sandakan mendapat kuota 400,000 liter, tetapi memandangkan jeti berkenaan tiada kapal nelayan, maka Kasman hairan kenapa KPDNKK, Kastam, Bomba dan sebagainya menyokong permohonan Jeti PNK di Barter Trade untuk menjual diesel bersubsidi.

Siasatan Sabahkini.net mendapati kuota yang diluluskan untuk Sandakan pada 2011 sebanyak 4,350,000 iaitu masing-masing Jeti Sabah Sea, Jalan Sim Sim (Swasta) 1,200,000 liter; Jeti Harmoni tenang, Karamunting (Swasta) 1,250,000 liter; Tung Hai Sdn.Bhd, Bandar Ramai-Ramai (Swasta) 1,200,000 liter; Jeti Barter Trade, Jalan Sim Sim (PNK) 400,000 liter dan Jeti Ko-Nelayan, Kampung Kolapis, Beluran (PNK) 300,000 Liter.

Kuota untuk Sandakan berkurangan sebanyak 1,650,000 berbanding tahun 2009 setelah Jeti Hing Lee ditutup 2009 apabila SPRM dapat mengesan 57 Fleet Card palsu yang digunakan untuk menyeleweng beratus ribu liter minyak diesel bersubsidi.

Manakala kes penyelewengan yang berskala besar dikesan berlaku di Jeti PNK Lahad Datu di Tambisan yang memperoleh 400,000 liter minyak diesel bersubsidi sedangkan tidak ada sebuah kapal nelayan yang mempunyai Fleetcard.

Residensi Tawau mendapat kuota diesel 4,300,000 liter masing-masing Jeti Pasar Ikan Tawau (PNK) 900,000 liter; Jeti Pelabuhan Lama Tawau (PNK) 300,000; Jeti Tai Chia, Kunak (Swasta) 320,000 liter; Jeti Visikurnia Kunak (Swasta) 350,000; Jeti Kg Pangkalan, Kunak (PNK) 560,000; Mini Kompleks Ko-Nelayan Semporna (Ko-Nelayan) 600,000 liter; Jeti Kg Simunul, Semporna (PNK) 470,000 liter; Jeti Mini Kompleks Ko-Nelayan, Tambisan (PNK) 400,000 liter; Kompleks Ko-Nelayan, Lahad Datu (Ko-Nelayan) 400,000 liter.



Senario ini amat mengejutkan kerana hanya 24 Fleet Card dikeluarkan kepada nelayan di Residensi Tawau termasuk yang tamat tempoh iaitu masing-masing 21 di Lahad Datu; 2 di Tawau dan 1 di Semporna, manakala Kunak yang mempunyai 1,230,000 liter tidak ada walau seorang nelayan yang mempunyai Fleet Card!

Ramai nelayan mempersoalkan kenapa tiga jeti Jv dengan Mr Tee boleh diberi kelulusan daripada Ketua Pengarah LKIM iaitu di Sandakan, Tawau dan Semporna sedangkan PNK Kudat hanya menggigit jari kerana mereka bukan sebahagian daripada rangkaian Mr Tee.

Kata mereka, jika Pengurus PNK orang Sabah dan tiada kepentingan dari segi komisyen subsidi, Pengarah LKIM akan menolak hasrat mereka untuk mengadakan usaha sama, tetapi jika Pengurus orang ‘Malaya’ dan ada link dengan Pengarah dan Ketua Pengarah LKIM, maka mereka boleh mengadakan Jv dengan pihak swasta seperti PNK Sandakan dengan Mr Tee.

Difahamkan Mr Tee macai kepada Pengarah LKIM Sabah dan Ketua Pengarah LKIM kini sedang berusaha untuk memindahkan staff Sandakan yang tahu perkara ini.

Keputusan jawatankuasa barang kawalan yang ketika itu dipengerusi oleh Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak telah memutuskan hanya PNK yang mempunyai hak untuk mendapat lesen runcit menjual minyak diesel bersubsidi kepada nelayan.

Ekoran daripada itu pada 28 oktober 2010, Menteri Pertanian Malaysia, Dato’ Seri Noh Omar ketika merasmi juara rakyat di Sabah, sempat menemui Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dengan ditemani Ketua Pengarah LKIM.

Pertemuan ini agak melucukan kerana kuasa meluluskan kuota subsidi diesel di bawah bidangkuasa Jawatankuasa Barang Kawalan dan bukannya Ketua Menteri Sabah.

Memandangkan PNK Sabah hanya mendapat kuota 2 juta liter minyak bersubsidi maka Ketua Menteri Sabah mencadangkan semua PNK di Sabah diletakkan di bawah kawal selia Ko-Nelayan agar semua Pengerusi PNK dilantik di kalangan anak tempatan dan mencadangkan agar kuota 16 juta liter minyak bersubsidi diberikan kepada Ko-Nelayan.

Dalam pada itu, Sabahkini.net turut menerima aduan para nelayan bahawa Jeti Swasta tidak menjual minyak kepada nelayan, sebaliknya untuk kegunaan mereka sendiri terutama Jeti QL Deep Sea Fishing di Sepanggar yang mendapat kuota 460,000 liter kerana mereka mempunyai lebih 30 buah bot laut dalam.

Manakala Jeti Siong Ann Trawler Sdn.Bhd, Kompleks Jaya Diri, Kudat (Swasta) 630,000 dan Jeti Fook Soon, Jalan Penimbusan, Kudat (Swasta) 630,000 liter turut menggunakan sendiri kesemua kuota untuk menggerakkan 50 buah pukat tunda dan pukat jerut masing-masing sehingga nelayan kecil terpaksa membeli minyak daripada Jeti Ko-Nelayan.

Siasatan Sabahkini.net juga mendapati minyak subsidi tiris ke kilang kelapa sawit di seluruh Sabah. Sebagai contoh, dalam satu serbuan di Beluran, LKIM berjaya menghalang lebih 40,000 liter minyak diesel bersubsidi yang cuba diseludup masuk ke Kilang Kelapa Sawit.



Manakala krew Sabahkini.net pula berjaya mengesan tindakan Jeti Swasta dan Sindiket menjual minyak bersubsidi kepada nelayan di negara Jiran dan hasil pemantauan berterusan, Polis Marin telah berjaya melakukan beberapa tangkapan di Pulau Mangsi, berdekatan perairan Filipina.

Sabahkini.net juga berjaya mengesan tindakan curang LKIM dan pemilik kuota subsidi minyak diesel kerana memanipulasi kelemahan peranti Fleetcard, terutama di Tambisan dan Beluran yang tidak mempunyai talian internet dan semua urusan penjualan dilakukan secara manual.

Namun, terdapat banyak jeti swasta yang mengambil kesempatan untuk menipu apabila melakukan jualan secara manual kononnya tidak ada talian internet sehingga semua data dimasukkan dua atau tiga hari terkebelakang menyebabkan penyelewengan fleet card mudah dilakukan tanpa sebarang masalah.

Lebih mengejutkan kebanyakan Jeti Swasta dikendalikan oleh kakitangan mereka sendiri tanpa pemantauan daripada pegawai LKIM atau KPDNKK.

Kelemahan sistem pemantauan bekalan diesel bersubsidi semakin ketara apabila kontraktor atau lebih tepat ‘Lanun’ yang dilantik untuk menyelenggara peranti fleetcard hanya mengambil untung di ‘atas angin’ sejumlah RM10 juta setahun kerana setiap peranti yang diselenggara atau tidak akan dikenakan caj RM10,000 seunit.

Pengerusi LIKIM, Dato’ Hj. Mohd Jidin Bin Shafee hanya seperti ‘Kerbau DiCucuk Hidung’ kerana gagal mengekang kegiatan haram yang diketuai ‘Lanun Kolar Putih’ iaitu Ketua Pengarah LKIM sendiri.

Mungkin Noh Omar akan ‘terkejut beruk’ jika beliau mengetahui bahawa pentadbiran LKIM di Sabah di bawah pengaruh seorang ‘Mafia’ yang bernama Cikgu Masmud Gurimbang, yang menjalankan kerja kontrak di LKIM sejak 10 tahun lalu melalui sebuah syarikat Kurnia Usaha Sdn.Bhd.

Kini Masmud menjadi proksi kepada Ketua Pengarah LKIM dan berkuasa penuh untuk mencadangkan penukaran atau kenaikan pangkat staff LKIM Sabah. Perlantikan Khazin sebagai Ketua Pengarah LKIM memberi peluang lebih luas kepada Cikgu Masmud.

Mengikut maklumat dalaman SPRM, mereka masih menyiasat dakwaan pihak tertentu bahawa sebelum ini Masmud pernah merasuah Mantan Ketua Pengarah LKIM, Datuk Anas Bin Khatib Jaafar sebanyak RM500,000 dan kini masih dalam siasatan.

Oleh: MOHD YATIM SUHAILI (sabahkini)

25 comments:
Write comments
  1. Menyalahguna subsidi untuk keuntungan sendiri.

    ReplyDelete
  2. pihak yang mengetahui sebarang maklumat berkaitan pekara ini seharusnya membuat laporan rasmi dengan bersertakan bukti.

    ReplyDelete
  3. Siasatan harus dilakukan dengan segera!.

    ReplyDelete
  4. Perbuatan anda akan menyebabkan ramai yang merana. Jangan kerana sikap tamak anda, kesengsaraan pula di rasai oleh orang lain.

    ReplyDelete
  5. bila kerajaan tarik balik subsidi, rakyat marah pula kononnya menindas rakyat. tapi bila bagi subsidi, diseludup la pula ke negara jiran.

    ReplyDelete
  6. Dakwaan ini perlu disiasat sebolehnya. Benarkan mereka menjual minyak diesel ini kepada mereka yang tidak berhak.

    ReplyDelete
  7. benar kata neji, bila subsidi ditarik rakyat riuh rendah. tapi bila subsidi diberikan ada pula yang salah guna bantu kerajaan ini. Maka untuk mengelak semua ini berlaku, rakyatperlulah berkerjasama untuk memberikan maklumat bagi negeri kita ini rugi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab...

    ReplyDelete
  8. Ini perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab. Tolong siasat perkara ini dan jika didapati bersalah silakan jatuhkan hukuman.

    ReplyDelete
  9. Kami tidak perlukan individu yang bersikap pentingkan diri sendiri! Individu sebeginilah yang merosakkan rakyat dan juga nama baik kerajaan kita!

    ReplyDelete
  10. Mana badan pematau atau penguatkuasa minyak nie,barangkali mereka pun ikut semangkuk dari penjualan haram atau makan gaji buta sahaja.Pastikanlah nelayan yang dapat subsidi orang tempatan dan betul-betul perkerjaan merska nie nelayan baru bagi dan pantau.

    ReplyDelete
  11. Bgs2 ada subsidi disalahgunakan. huhu

    ReplyDelete
  12. Kepada sesiapa yang ada maklumat ni tampil lah buat pendedahan supaya tindakan lanjut dapat dibuat.

    ReplyDelete
  13. Indidividu yang terlalu tamak dan pentingkan diri sendiri tidak patut wujud di dunia. Menyusahkan orang lain saja!!!

    ReplyDelete
  14. Tapi kalau fikir balik macam mana hal ni berlaku??? Takda yang buat pemantauan ka???

    ReplyDelete
  15. Apapun, saya berharap agar hal ni dapat diselesaikan demi kebaikan bersama.

    ReplyDelete
  16. Baik jangan subsidi jika bukan rakyat yang dapat.

    ReplyDelete
  17. Ya, kalau orang luar yang untung, buat apa kita terus bagi subsidi? Buang duit rakyat.

    ReplyDelete
  18. dakwwan ini perlu disiasat, kita tak boleh biarkan diesel subsidi disalah gunakan.

    ReplyDelete
  19. Adakah patut diesel diberi kepada lanun?

    ReplyDelete
  20. Adakah masih seperti dulu?

    ReplyDelete
  21. That's why some of the stuffs are being sold in a higher price.

    ReplyDelete
  22. Tidak boleh la mcm ni.

    ReplyDelete
  23. Apa kau orang laporlah kepada SPRM(BPR) salah guna subsidi bukan bising memekak dan berharap boleh selesai dengan baik,iyalah mana tau pemantau diorang nie ada syer juga dalam pemberian subsidi dan penjualan maka kan baik SPRM yang siasat tapi perlulah kau orang lapor dulu.

    ReplyDelete
  24. Orang yang menulis artikel di atas perlulah membuat laporan kepada SPRM.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.