Sunday, February 20, 2011

PRK DUN Kerdau: Siapa lawan siapa?

Umum sudah pun mengetahui bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau sudah pun diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan dilangsungkan pada 6 Mac depan serentak dengan PRK DUN Merlimau.

Melihat kepada keputusan itu, pastinya Barisan Nasional (BN) Pahang mahupun Pas Pahang sudah merangkan gerak kerja atau jentera parti masing-masing meskipun dalam tempoh yang amat singkat untuk melakukan persediaan.

Apa pun, PRK ini harus dilaksanakan sebagai satu proses demokrasi di negara ini yang mana sesuatu Kerusi DUN ataupun Parlimen perlu diisi apabila berlaku kekosongan seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Menyentuh mengenai PRK ini pastinya umum tertanya-tanya siapakah calon-calon yang layak untuk diletakkan oleh BN dan Pas dan kredibiliti calon-calon ini pastinya akan menentukan kejayaan kedua-dua parti yang bertanding.

BN akan mengumumkan calon PRK DUN Kerdau mereka pada Selasa ini. Malah Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob sudah pun menyerahan empat nama kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Difahamkan empat nama yang diserahkan itu adalah Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar, Syed Ibrahim Syed Ahmad yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Bekas Adun Kerdau, Datuk Redzwan Harun, Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Krau, Abdul Razak Ahmad serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Krau, Norahan Abu Bakar.

Manakala bagi Pas pula, tiga nama yang difahamkan dipendekkan daripada tujuh nama pada peringkat awal adalah Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Naib Presiden Pas, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasaruddin Hassan Tantawi serta Ketua Penerangan Pas Pahang, Hassanuddin Salim yang juga bekas calon DUN Kerdau Pas pada pilihan raya umum 2008 yang tewas kepada Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim dari BN.

Bagaimanapun, siapa yang bakal bertemu siapa hanya akan diketahui pada Selasa (BN) dan Khamis (Pas) ini apabila kedua-dua parti yang bertanding menentukan calon yang sesuai untuk menggalas cabaran dalam PRK kali ini.

Adalah sesuatu yang amat menarik mengenai PRK Kedau pada kali ini apabila Pas dikatakan cuba meletakkan calon popular yang boleh menggugat BN yang pastinya mahu mempertahankan Kerusi Kerdau yang mereka menangi sebanyak 13 kali pilihan raya termasuk pilihan raya kecil Sanggang (1999).

Dengan 8,999 pengundi berdaftar dengan 88.36 peratus adalah Melayu, pastinya mana-mana parti pun tidak berani mempertaruhkan calon yang bukan Melayu kerana risikonya cukup tinggi.

Malah umum juga mengetahui bahawa Kerdau merupakan tempat pertama penubuhan Pas di negeri ini dan di situ jugalah letaknya Markas Pas Negeri.

Seperti mana yang dikatakan Tuan Ibrahim sendiri, peluang di Kerdau untuk Pas adalah 50-50 kerana banyak isu-isu boleh dibangkitkan terutamanya mengenai pembangunan di Kerdau sendiri sepanjang di bawah pemerintahan BN.

Sama ada isu yang akan dibangkitkan itu relevan atau tidak hanya rakyat di Kerdau sahaja boleh menentukan sama ada pembangunan yang diharapkan itu berlaku atau tidak.

Manakala bagi BN pula, peluang untuk mereka menang dilihat agak cerah berdasarkan rekod pilihan raya sebelum ini.

Mereka pastinya mahukan calon yang popular dan boleh menang bagi menggalas ‘wasiat’ yang ditinggalkan oleh Zaharuddin sebelum ini.

Penting bagi BN untuk menjelaskan kepada rakyat Kerdau mengenai pembangunan di kawasan itu agar keyakinan yang tertanam sebelum ini akan terus hidup subur di terus segar.

Apa pun segala keputusan terletak di tangan para pengundi yang akan menentukan siapakah wakil rakyat mereka pada 6 Mac nanti yang pastinya memperlihatkan satu pertandingan yang sengit.

Bagi BN pula tugas mereka adalah untuk mempertahankan kerusi adalah lebih penting daripada meningkatkan jumlah majoriti yang diperoleh Zaharuddin sebelum ini.

Manakala bagi Pas pula, kemenangan pada kali ini merupakan satu kejayaan menawan kubu BN yang sudah bertahan 13 kali pilihan raya. -SH

13 comments:
Write comments
  1. Harap setiap parti akan memilih calon yang terbaik sebagai wakil.

    ReplyDelete
  2. Bagus juga kalau serentak.

    ReplyDelete
  3. Pastikan calon yang terbaik dipilih untuk dijadikan wakil rakyat. All the best!

    ReplyDelete
  4. PAS dan BN pasti akan memilih yang terbaik untuk dicalonkan.

    ReplyDelete
  5. setiap parti pasti akan menurunkan calon terbaik nanti. apa pun semuanya terpulang kepada rakyat untuk membuat pilihan.

    ReplyDelete
  6. yang penting setiap calon perlulah berusaha untuk melakukan apa yang terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat.

    ReplyDelete
  7. kita tunggu saja siapa calon yang bakal bertanding di Kerdau nanti.

    ReplyDelete
  8. Siapa2 calon yang terpilih, bertandinglah secara adil. Jangan gunakan masalah peribadi sebagai senjata.

    ReplyDelete
  9. Kepada para pengundi, jadilah pengundi yang bijak. Jangan menilai melalui janji2 para calon tetapi nilailah mereka dari semua segi.

    ReplyDelete
  10. saya harap semuanya berjalan dengan lancar bermula dari pemilihan calon sehinggalah kerja2 kempen. banyak faktor lain yang boleh menentukan kemenangan selain dari faktor calon.

    ReplyDelete
  11. Siapapun calonnya, bagi saya perkara yang lebih penting ialah rakyat tahu membuat penilaian dan memilih pemimpin yang benar2 layak.

    ReplyDelete
  12. Semoga persaingan akan berjalan dengan adil.

    ReplyDelete
  13. Rakyat sendiri perlu membuat pilihan terbaik.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.