Wednesday, February 9, 2011

KATUBU TANAH ADAT, BUKAN HUTAN SIMPAN!

KAMPUNG Katubu, Tenom adalah ‘Tanah Adat’ dan bukannya Hutan Simpan sebagaimana yang didakwa Pengarah Jabatan Hutan Sabah, Datuk Sam Mannan.

Seorang penduduk kampung Katubu, Unggi Bin Melinau, 70, mengesahkan bahawa nenek moyangnya termasuk beliau sendiri telah lahir di Kampung Katubu yang dibuka sekitar 1828 dan bukannya kampung baru.

“Hanya pada 1928 barulah kampung ini mempunyai Ketua Kampung sehinggalah ke hari ini sudah lebih enam orang Ketua Kampung dilantik, termasuk Ketua kampung sekarang, Ampat bin Ampasu,” ujar Unggi yang juga bapa kandung kepada Ahli Parlimen Malaysia (Tenom), Datuk Raimie Unggi.

GIGIH...Penduduk kampung gigih menyediakan kad manila yang dihias dengan pelbagai luahan perasaan mereka.


Unggi menegaskan, akibat karenah birokrasi, pihaknya gagal memohon geran tanah bagi kampung kampung Katubu, kononnya berada di dalam Hutan Simpan Rundum namun saudara mereka di Kampung Sumambu berjaya mendapat geran tanah N.T sekalipun status kampung mereka sama.

“Oleh kerana tanah kami adalah tanah adat, maka kami merasakan tidak perlu memohon geran tanah kerana jika kami pohon mereka tetap tolak dan terus dibantah oleh Jabatan Hutan. Kami ada jumpa PPHT, tetapi mereka juga gagal bertindak kerana tertakluk kepada ulasan Jabatan Hutan. Tapi sampai bila kami mahu tunggu?” tanya Unggi yang mendesak agar PPHT menjalankan tugas mengadakan penyiasatan tanah bagi mengelakkan ramai penduduk menjadi mangsa kekejaman Jabatan Hutan.


BANTAH.... Sebahagian daripada penduduk kampung yang mengadakan demonstrasi secara aman.


Sehubungan itu, sebahagaian besar daripada 360 penduduk kampung telah bersepakat mengadakan tunjuk perasaan secara aman dengan mengibarkan bendera Sabah dan memegang kad manila yang membawa pelbagai mesej sebagai membantah tindakan Jabatan Hutan meroboh beberapa rumah penduduk kampung di kawasan kebun mereka yang difitnah sebagai pondok pembalak haram.

Mereka turut meneriakkan semangat 1Malaysia untuk meraih simpati Perdana Menteri agar melawat kampung mereka yang terpencil di Pedalaman bagi meringankan beban Ahli Parlimen mereka membangunkan kampung tersebut.


AMPAT AMPASU

Dalam pada itu, Ketua kampung Katubu, Ampat Ampasu, 54, ketika ditemui berkata pihaknya menentang keras kenyataan bahawa Kampung Katubu adalah Hutan Simpan.

Ampat menjelaskan bahawa Jabatan Hutan wajar mengeluarkan Kampung Katubu daripada Kawasan Hutan Simpan sebagaimana Kampung Sumambu yang telah mendapat geran tanah masing-masing.

“Ini kampung, kampung tradisi. Sayalah Ketua Kampung yang berdaftar dengan Pejabat Daerah,” kata Ampat lagi yang mengucapkan terima kasih Perdana Menteri kerana telah meluluskan bekalan elektrik solar untuk kampung Katubu sekalipun didakwa sebagai Hutan Simpan.

AHAR RAMAN

Sementara itu, Ketua Cawangan UMNO Katubu, Ahar Bin Raman, 54, menjelaskan bahawa kesemua penduduk kampung Katubu ialah penyokong Barisan Nasional, terutama ahli UMNO dan PBS.

“Saya merayu ehsan Presiden UMNO dan Ketua Perhubungan UMNO Sabah agar menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk Katubu supaya penduduk tidak curiga dengan kepimpinan BN yang sering ditohmah tidak melakukan sesuatu untuk mengatasi isu yang sudah berlanjutan sejak 26 tahun lalu,” kata Ahar lagi.


SINAR... Sinar elektrik solar bateri lithium polimer yang mampu menerangi masa hadapan kanak-kanak ini.

Menurut Ahar, tindakan Jabatan Hutan Sabah adalah terlalu kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana menafikan hak penduduk kampung Katubu untuk mendapat kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air paip dan kemudahan perhubungan; semata-mata disebabkan Kampung Katubu tersepit di tengah Hutan Simpan.

Tegas Ahar, beliau kesal kerana Jabatan Hutan mendakwa kampung mereka adalah Hutan Simpan kerana beliau dilahirkan di Katubu sejak 54 tahun lalu.

“Moyang saya juga lahir di Kampung ini pada 1845. Jadi tidak patutlah Jabatan Hutan dakwa kampung kami ini kampung haram. Yang kami tahu, Hutan Simpan di Rundum diwartakan pada 1984 tetapi mereka malas untuk menjalankan siasatan awal sama ada ada kampung atau hutan rimba ketika itu,” kata Ampat sambil menyifatkan sikap Pengarah Jabatan Hutan tidak professional dan menafikan hak penduduk kampung Katubu.

“Mujur ada bekalan elektrik solar mesra alam yang dijanakan atas usaha Datuk Raime dan ehsan Perdana Menteri Malaysia,” tegas Ahar yang terharu setelah kesemua 36 buah rumah di kampung Katubu mendapat bekalan elektrik solar menggunakan bateri lithium polymer melalui peruntukan khas Jabatan Perdana Menteri.

Oleh: MUTALIB M.D (sabahkini)

14 comments:
Write comments
  1. Nampaknya terdapat salah faham disini.Suara rakyat harus diberi perhatian.

    ReplyDelete
  2. Jika boleh pihak bertanggungjawab sila lakukan sesuatu untuk menjelaskan kekeliruan yang berlaku.

    ReplyDelete
  3. jika benar tanah tersebut adalah tanah adat, ia adalah hak penduduk. apapun perkara ini perlu diperjelaskan.

    ReplyDelete
  4. Pentadbiran Sarawak kini harus dikemaskini. Hal ini juga sama seperti di Sabah.

    ReplyDelete
  5. pekara ini perlu diselesaikan dengan baik agar kepentingan penduduk dapat dijaga dengan sebaiknya.

    ReplyDelete
  6. sebaiknya perbincangan dibuat bagi mendapatkan penyelesaian terhdap isu ini.

    ReplyDelete
  7. hal ini perlu diselsaikan segera, pastikan hak2 pnduduk terjamin.

    ReplyDelete
  8. Di mana penjelasan dari Jabatan Hutan?

    ReplyDelete
  9. Masalah penduduk ini perlu ditangani. Mungkin ada salah faham yang berlaku disini.

    ReplyDelete
  10. Diharapkan Jabatan Hutan akan memberi penjelasan mereka.

    ReplyDelete
  11. Pengarah Jabatan Hutan perlu mengkaji dan menyiasat semula tuntutan penduduk ini. yang silap disini adalah pihak Jabatan Hutan, bukannya penduduk. bagaimana sebuah kampung yang telah mempunyai ketua kampung dikatakan hutan simpan?

    ReplyDelete
  12. jika tidak ada apa2 tindakan, Pengarah Jabatan Hutan sendiri perlu disiasat. pemimpin2 politik perlu turun melihat sendiri masalah rakyat ini sekaligus menyelesaikan masalah mereka.

    ReplyDelete
  13. salah satu cara mahu halau penduduk dengan tidak mengiktraf status tanah di satu-satu kawasan,yg menghairan kan ketua yang bercakap adalah bapa kepada MP Tenom.siapa yang berkuasa bah ini kerajaan kah atau pegawai hutan,kalau tebang kayu balak pantas pula kasi kelulusan dan mengeluarkan tanah NCR ke state land....kalau begini lah caranya lebih baik tukar dulu ini kerajaan..

    ReplyDelete
  14. Penduduk mendakwa bahawa tanah itu tanah adat. Jabatan hutan pula mendakwa bahawa tanah itu adalah hutan simpanan. Rasanya kita perlu mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak sebelum memutuskan apa-apa. Penduduk sudah memberi penjelasan mereka, sekarang Jabatan hutan pula.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.