Sementara jawatan Presiden Umno belum ada kepastian sama ada dipertandingkan atau tidak, sehingga ini posisi yang paling menjadi tumpuan dan dijangka berlaku persaingan sengit ialah jawatan Naib Presiden Umno.
Memandangkan ketiga-tiga penyandangnya, Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein dan Shafie Apdal akan mempertahankan jawatan, manakala Isa Samad dan Ali Rustam sudah mengesahkan turut bertanding dan Mukhriz Mahathir pula dijangka akan membuat pengumuman dalam masa yang terdekat, kebarangkaliannya ialah persaingan enam penjuru akan berlaku.
Daripada keenam-enam nama tersebut, pemimpin yang paling dikehendaki memenangi jawatan itu ialah Mukhriz Mahathir. Yang paling dikehendaki kalah pula ialah Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein.
Mukhriz terlihat popular dan dikehendaki, selain kerana kemenangan BN di Kedah dalam pilihan raya umum lalu dan pengaruh bapanya, beliau juga dilihat mewakili pemimpin muda yang diharap-harapkan untuk menerajui Umno dan kerajaan suatu hari nanti.
Kekerapan Mahathir bercakap tentang perlunya Umno memberi ruang kepada pemimpin muda, bahkan melontarkan amaran bahawa Umno akan terus sakit dan mati jika tidak berbuat demikian, tidak diragui lagi menghantar mesej yang jelas kepada perwakilan Umno betapa perlunya pemimpin seperti Mukhriz yang sedang melonjak namanya sekarang terus diberikan kedudukan yang lebih kukuh lagi.
Selain itu, dengan kedudukan Khairy Jamaluddin yang dijangka tiada masalah untuk memenangi jawatan Ketua Pemuda walaupun bakal dicabar oleh Akramsyah, anak Sanusi Junid, keberadaan Mukhriz di kedudukan kanan parti dirasakan perlu oleh banyak pihak agar beliau akhirnya saling bersaing dan mengimbangi antara satu sama lain dengan KJ dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang.
Bagi calon-calon Naib Presiden yang lain, penerimaan daripada ahli Umno agak berbelah bagi. Ada yang dirasakan patut menang dan ada pula dirasakan tidak wajar diberikan kemenangan.
Hishammuddin pula paling diinginkan kalah kerana ramai ahli Umno yang kecewa dengan tindakannya semasa menjadi Menteri Dalam Negeri yang disifatkan paling lemah dan tidak tegas. Beberapa episod perhimpunan Bersih sebelum PRU 13 dan berbagai kekacauan lainnya yang berlaku ketika itu di mana ia memerlukan ketegasan beliau tetapi tidak dilakukan, mengecewakan ramai ahli Umno terhadapnya.
Walaupun kini setelah dipindahkan ke Kementerian Pertahanan dan memangku jawatan Menteri Pengangkutan, kekecewaan itu masih lagi berbekas. Ramai yang merasakan anak Hussein Onn itu tidak layak duduk di kerusi Naib Presiden dan didaftarkan sebagai salah seorang bakal pemimpin pelapis masa depan bagi Umno dan negara.
Masalahnya, bolehkah Hishammuddin dikalahkan dan mungkinkah beliau kecundang dalam pemilihan kali ini?
Harus diketahui bahawa Hishammuddin adalah sepupu kepada Najib dan di dalam Umno ramai yang percaya bahawa beliau adalah pilihan Najib untuk menggantikan tempatnya suatu hari nanti. Tindakan Najib memindahkan Hishammuddin daripada Kementerian Dalam Negeri yang dilihat tidak membantu popularitinya ke Kementerian Pertahanan dan menambah lagi pemangkuan di Kementerian Pengangkutan, dilihat sebagai langkah untuk melonjakkan penerimaan ahli Umno seluruh negara terhadap sepupunya itu.
Tidak ada sebab lain di sebalik tindakan Najib itu sebenarnya, kecuali ingin menonjolkan lagi Hishammuddin. Dengan beliau dilihat gagal di Kementerian Dalam Negeri, tidak ada kewajaran untuk meletakkannya di kementerian penting dan kritikal seperti Kementerian Pertahanan dan dalam masa yang sama menambah lagi tugasnya sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan.
Sekarang ini, jelas terbukti Hishammuddin tidak begitu menonjol di Kementerian Pertahanan, tetapi kedudukannya sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan dilihat menyelamatkannya. Beliau kini lebih banyak bercakap dan menonjolkan diri sebagai Menteri Pengangkutan dalam isu yang berkaitan kementerian itu, seolah-olah itulah kementerian hakikki untuknya.
Seharusnya sebagai pemangku, tugasnya di Kementerian Pengangkutan lebih kepada urusan mesyuarat dan membuat keputusan penting sahaja manakala tugas lain bolehlah diserahkan kepada timbalannya untuk melaksanakannya. Tetapi terlihat tumpuan beliau lebih di Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertahanan bagaikan ditinggalkan.
Sepertinya sekarang beliau adalah Menteri Pengangkutan sepenuh masa dan memangku jawatan Menteri Pertahanan pula.
Namun tidak dapat dinafikan bahawa tugas di dua kementerian itu adalah sebahagian daripada usaha Najib untuk memberi sepupunya itu lebih peranan dan dilihat penting oleh ahli Umno.
Dalam perebutan jawatan Naib Presiden Umno kira-kira sebulan lagi, walaupun kedudukan Hishammuddin dilihat genting dan mungkin kecundang, perkara itu sebenarnya hampir mustahil akan berlaku.
Seorang pemimpin Umno dari selatan tanah air berkata, walaupun Hishammuddin terlihat seperti bakal kecundang tetapi katanya, Najib pasti tidak akan membenarkan perkara itu daripada berlaku kerana kekalahan Hishammudin adalah tamparan kepada Najib juga.
Kalahnya Hishammuddin bererti kalahnya Najib, kata pemimpin itu lagi.
Beliau berkata, sebagai seorang Presiden Umno dan Perdana Menteri, Najib mempunyai berbagai cara untuk mengelakkan Hishammuddin daripada menerima kekalahan seperti bercakap secara terus dengan Pengerusi Umno Negeri-Negeri atau Ketua-Ketua Umno Bahagian yang rapat dengannya.
Selain itu, jelas pemimpin itu lagi, harus juga jangan dilupa bahawa Hishammuddin sendiri masih mempunyai rangkaian kenalan yang besar dalam Umno dan mereka ini boleh digunakan untuk "menggempur" perwakilan di saat-saat akhir bagi menyelamatkan kedudukannya.
Berdasarkan penelitiannya, pemimpin tadi berhujah bahawa walaupun Mukhriz dilihat sedang memenangi mood di kalangan pewakilan seluruh negara berikutan kemenangan BN di Kedah serta pengaruh bapanya yang masih kuat dan diperlukan dalam Umno serta dilihat tiada masalah untuk memenangi salah satu kerusi Naib Presiden Umno tetapi kedudukan Hishammudin juga tidak akan tergugat.
Daripada tiga kerusi Naib Presiden, Hishammuddin pasti akan menyelit salah satu daripadanya, tambah tokoh itu yang diketahui pernah berkawan baik dengan Najib suatu ketika dahulu.
Jika senario itu benar-benar berlaku, bermakna kerusi Naib Presiden kali ini pasti akan diisi oleh Mukhriz, Hishammudin dan satu lagi kerusi terakhir akan menjadi rebutan antara Zahid Hamidi, Shafie Apdal, Ali Rustam dan Isa Samad.
Daripada keempat-empat pemimpin yang berebut slot terakhir itu, kata pemimpin itu lagi, Najib tidak kisah pun siapa yang akan menang nanti.
– shahbudindotcom.blogspot.com
Wednesday, September 18, 2013
Hishammuddin tak mungkin kalah Naib Presiden Umno
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.