Wednesday, September 18, 2013

Umno masih terbuka untuk bekerjasama dengan PAS

Umno masih terbuka untuk kerjasama dengan PAS, kata Muhyiddin. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Suffari, 17 September, 2013.Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan PAS.

Menurut beliau, BN sentiasa terbuka mengambil apa jua langkah termasuk mengadakan perbincangan bersama PAS bagi tujuan menyatu padukan umat Islam.

"Kita tidak kisah bekerja bersama PAS atau Pakatan sekiranya ia demi kepentingan Muslim di negara ini dan kita yakin sekiranya Umno bekerjasama dengan PAS banyak yang dapat dicapai," kata beliau dalam Program Sesi Dialog Timbalan Perdana Menteri bersama pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak hari ini.

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib dalam ucaptamanya semasa Multaqa Ulama Se-Malaysia yang dianjurkan PAS telah mencadangkan agar kerjasama politik di antara parti Islam itu dan Pakatan Rakyat (PR) terutamanya PKR dikaji semula.

Ini ekoran rasa tidak puashati mereka dalam kerjasama dengan PR khususnya PKR.

Menurut Muhyiddin, orang Islam di negara ini masih belum berada di tahap terbaik terutama dari segi pembangunan ummahnya.

"Amat penting untuk kita bekerja keras, Malaysia memerlukan kestabilan dalam politik, ia bukan boleh diraih begitu saja kerana itu amat penting adanya kerjasama dalam dua parti ini," kata beliau lagi.

Beliau turut mengakui kerjasama dengan ahli politik PAS membawa kebaikan bagi masyarakat Islam di negara ini.

"Persefahaman antara dua parti ini amat penting, kita perlu membina pertalian yang baik, bagi mencipta kejayaan masyarat melayu dan Islam," katanya.

Idea kerjasama antara Umno dan PAS bukanlah sesuatu yang baru kerana ia pernah dibincangkan sebelum ini.

Bagaimanapun ia ditolak oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan berkata beliau tidak akan membenarkan sebarang usaha ke arah penyatuan PAS dan Umno.

"Selagi saya masih hidup saya tidak akan benarkan usaha untuk menjalin kerjasama PAS dan Umno dilakukan,” kata bekas Menteri Besar Kelantan itu.

"Tidak ada sesiapapun mengatur usaha untuk mengadakan kerjasama antara PAS dan Umno apa lagi secara senyap-senyap, parti ini terbuka kepada orang ramai dan milik ahli,” tambah beliau lagi.

Menurut Nik Aziz, Umno sejak awal lagi menolak dasar Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh PAS dan selain persoalan dasar parti, banyak lagi perkara yang perlu dikaji terhadap kesilapan Umno dalam perjuangan mereka.

Dalam Pilihan Raya 2013, PAS memenangi 21 kerusi Parlimen dan mengekalkan penguasaannya di negeri Kelantan.

Bagaimanapun, ia gagal mempertahankan negeri Kedah yang dimenanginya pada 2008.

Sementara Umno telah meningkatkan bilangan kerusi Parlimen mereka daripada 88 kepada 133 kerusi. - TMI

1 comment:
Write comments
  1. Aku sebenarnya amat2 bersetuju dgn Penyatuan Melayu. Ini negara Malaysia yg asalnya Tanah Melayu. Cuma, mau kah UMNO tinggalkan segala 1001 mcm kebejatan dan kesialan yg telah dia lakukan atau kezaliman pemerintah ke atas rakyat yg diperintah? Contoh, duit negara spt kes NFC yg disebat Shahrizat sebanyak RM 250 juta hilang begitu shj. MAS hilang RM586 juta kpd Tajuddin Ramli. Biasiswa pendidikan tiada sudah dan harga Petrol yg sentiasa naik. Kenaikan itu utk kroni yg akan mmulangkn semula persentej kpd pemerintah trutama waktu puncak ( PRU,PRK atau kantong negara tiada wang). Baru berapa contoh. Atau bahasa kampung..UMNO kena singkir YB Menteri yg ada sekarang dan ganti yg baru,yg lebih mirip ke arah Islamik ,telus, berdaya maju dan sebagainya. Mcm Nazri, jamaluddin Jarjis, Noh Omar dan bberapa lagi YB Menteri, memang tak layak utk dudok bersama dlm konsep Penyatuan Melayu. Pilih pmimpin yg benar2 berkualiti baik dlm PAS atau UMNO dan kita bina gagasan melayu . Dgn itu, bangsa Melayu akan kembali mnjulang.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.