Friday, September 13, 2013

Al-Jazeera Ambil Tindakan Ke Atas Pemerintah Sementara Mesir

Rangkaian Media Al Jazeera hari ini telah melancarkan satu tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa Mesir, mendakwa wartawan mereka telah ditahan tanpa pertuduhan serta diserang, demikian diumumkan peguamnya yang berpangkalan di London.

Rangkaian itu berkata ia telah meminta firma guaman terkenal Carter- Ruck yang pakar di dalam undang-undang antarabangsa untuk mengambil tindakan di mahkamah antarabangsa dan membawa kes itu ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana gangguan dan ancaman.

Sejak Presiden Mohamed Morsi digulingkan pada 3 Julai lalu, menurut Al Jazeera "sejumlah besar" wartawannya telah ditangkap dan ditahan oleh pihak keselamatan "sama ada dengan atau tiada pertuduhan, atau tuduhan palsu serta bermotifkan politik ".

Ia juga mendakwa tentera dan polis telah menyerang wartawannya dan menyatakan bahawa beberapa pejabatnya dipaksa tutup dan penghantaran berita disekat.

Rangkaian itu berkata awal bulan ini isyarat satelit telah disekat ekoran liputannya yang kritikal terhadap tindakan keras Kaherah pada golongan Islamis.

"Pakar Bebas" telah digunakan oleh Al-Jazeera untuk menentukan di mana sekatan penghantaran berita itu berlaku, demikian kenyataan rangkaian itu di laman webnya.

Ia berkata alat pengesan telah menentukan lokasi-lokasi di timur dan barat Kaherah, dan secara khusus mengenalpasti bahawa alat pemasangan tentera sebagai sumber gangguan.

"Al -Jazeera tidak boleh mengizinkan keadaan ini berterusan," kata seorang jurucakap rangkaian tersebut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan undang-undangnya.

"Hak wartawan untuk melaporkan secara bebas dalam keadaan seperti ini dilindungi oleh undang-undang antarabangsa dan disahkan oleh Majlis Keselamatan PBB Resolusi 1738.

"Al Jazeera telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil semua langkah-langkah yang perlu di peringkat antarabangsa bagi memastikan wartawan boleh beroperasi secara bebas di negara ini, tanpa rasa takut dengan penangkapan sewenang-wenangnya, sekatan atau lain-lain bentuk gangguan dan ancaman, " katanya.

Rangkaian itu juga berkata bahawa pihak berkuasa telah cuba untuk menutup mulut suara-suara yang menentangnya supaya "hanya suara-suara media-media yang dikawal" boleh didengar.

Pihak berkuasa Mesir dan media tempatan menuduh Al Jazeera membuat laporan berat sebelah rampasan kuasa terhadap peihak berkuasa yang telah menggulingkan Morsi.

Rangkaian berita Qatar itu telah memberikan liputan meluas kepada demonstrasi yang diikuti penangkapan Morsi dan tindakan keras ke atas para demonstran Ikhwan Muslimin.

Al Jazeera sebelum ini telah mengadu bahawa pihak keselamatan telah menyerbu pejabatnya di Kaherah dan peralatan mereka yang disita.

Negara Qatar yang kaya telah menjadi penyokong kuat Morsi, dan ia berdiri di kalangan negara-negara Teluk yang lain dalam mengutuk tindakan kejam pihak berkuasa Mesir terhadap para demonstran pro- Morsi.

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.