Wednesday, September 25, 2013

Kerajaan membazir belanja RM20 juta untuk PPPM?

DAP hari ini mempersoalkan tindakan Kementerian Pendidikan menggunakan khidmat firma pakar runding dalam penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025.

Firma pakar runding McKinsey & Co dikatakan menerima bayaran sebanyak RM20 juta bagi khidmat mereka.

"McKinsey sebenarnya hanya firma pakar runding dalam pengurusan am dan sebenarnya bukan pakar dalam bidang pendidikan," kata Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, bayaran untuk firma berkenaan bercanggah dengan 11 "Anjakan" dalam PPPM iaitu "Memaksimumkan Keberhasilan Murid bagi Setiap Ringgit."

"Duit itu sebenarnya boleh digunakan untuk membina empat sekolah baru dengan kos RM5 juta sebuah, atau pun membina makmal sains baru," katanya.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yang turut serta dalam sidang media itu berkata, peranan firma itu juga tidak dinyatakan dalam buku PPPM.

"Terdapat begitu ramai pegawai dalam Kementerian Pendidikan dan jabatan kerajaan lain, dokumen PPPM sendiri menyenarai nama 20 individu berkaliber.

"Mengapakah kerajaan tidak memilih untuk menggunakan kepakaran dan tenaga kerja dalam Kementerian dan Pemandu untuk menyediakan pelan berkenaan,"katanya.

Kedua-dua pemimpin muda DAP itu mendakwa pembayaran kepada firma berkenaan dibuat melalui dua fasa iaitu RM4,705,400 bagi fasa pertama, manakala RM15,860,000 dibayar bagi fasa kedua. -TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.