Wednesday, September 18, 2013

Muktamar : Pro UBN atau pro PR jadi pilihan?

"Kita hanya mahu kaji untuk kuatkan lagi muafakat. Kita akan terus bersama dalam PR dan tiada kemungkinan untuk keluar dari pakatan itu," jelas Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Implisitnya, membayangkan perbahasan kali ini secara sentimental tidak lagi menumpu pada polemik kepemimpinan "pro ulamak vs pro profesional", suatu cakap-cakap politik yang malar segar pada setiap kali musim pemilihan parti masa depan itu.

Isyarat yang dibawa dalam Multaqa' Ulamak Haraki baru-baru ini sekaligus seakan mendorong perwakilan pada muktamar kali ini untuk menentukan sikap serta sokongan masing-masing.

Umumnya, tiap-tiap perwakilan (muktamirin) perlu memilih, sama ada untuk sokong calon pemimpin pro PR atau pro UBN (Umno Barisan Nasional).

Tidak timbul lagi, idea PAS perlu bersendirian sebagaimana menjadi cakap-cakap politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), 8 Mac lepas.

Hadi dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am PAS) walaupun berbeza pendapat mengenai idea Kerajaan Perpaduan (UG) sejak itu, kedua-dua pemimpin saling berusaha untuk "tutup buku" sampai sekarang.

Ini kerana, realiti politik tanah air sekarang menunjukkan Pas diiktiraf sebagai antara kekuatan Pakatan Rakyat, terutama semasa menubuhkan Kerajaan Negeri di Kelantan, Selangor, Perak (sebelum kudeta) dan Pulau Pinang sendiri.

Pasca PRU13, tapak sokongan rakyat terhadap PAS di Selangor umpamanya kian kukuh. Di Pulau Pinang, sungguhpun PAS terus berkubu di DUN Permatang Pasir, Pesuruhjaya Negeri, Datuk Mohd Salleh Man terus diberi kepercayaan sebagai Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) walaupun wibawanya ada dipertikai segelintir pihak.

Ahli Parlimen Parit Buntar merangkap AJK PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa sendiri kini diberi kepercayaan untuk menjadi Ahli Lembaga Pengarah di Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP).

Sebelum ini, Mujahid yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang turut diberi kepercayaan menjadi Ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang (ZPP), sebelum 'direhatkan' oleh kepemimpinan tertentu PAS Negeri gara-gara dilihat tidak mesra dengan idea UG dengan UBN.

Semua ini adalah realiti politik yang wujud. Meletakkan PAS sendirian - tidak bersama PR atau UBN - bagi sesetengah pihak masih wajar dilihat sebagai dalih untuk menguntungkan UBN juga.

PAS terus bersama PR, ertinya, pasti menguntungkan parti masa depan itu serta pakatan pembangkang sebelum menempuhi PRU14 nanti.

PAS beralih angin bersama UBN - walaupun Hadi secara jujur menegaskan, "...tiada kemungkinan untuk keluar dari pakatan itu..." - ertinya, pasti menguntungkan parti Islam itu serta memanjangkan unsur tadbir urus zalim parti-parti asabiah pemerintah berkenaan.

Jika PAS berdalih untuk sendirian sekalipun (selepas dikaji kedudukannya dalam PR dan UBN), ertinya, ia pasti menguntungkan parti-parti asabiah pemerintah parti masa depan itu diakui umum sebagai kekuatan untuk PR buat perubahan semasa PRU14 nanti.

Ini semua adalah realiti politik. Disiplin sains politik menyebutnya sebagai 'pre-mortem', iaitu suatu jangkaan berasas berdasarkan (1)realiti sekarang, (2)timbang-tara baik buruk pada pilihan pendirian yang sedia ada, (3)kesan berantai pada pendirian yang dipilih, dan (4)persepsi yang pasti mendatang.

Dalam disiplin pengajian Islam, 'pre-mortem' disebut sebagai 'Fiqh Tawaqquq'. Saya memanggilnya sebagai Fiqh Futuristik.

Firman Allah yang bermaksud, "Dan janganlah kamu (orang-orang Islam) memaki sembahan-sembahan yang mereka (bukan Islam) sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan..." [Surah Al-An'aam:108]

Dalalah an-Nas (petunjuk nas) sendiri menunjukkan bahawa Allah memberitahu kita kesan berantai yang pasti akan berlaku sekiranya kita melanggar larangan nas qat'i ini.

Memaki sembahan agama lain atau penganut agama lain pasti akan mengakibatkan imej buruk pada agama Islam itu sendiri. Ini rasionalnya.

Nas ini membawa larangan dan hukumnya haram supaya imej Islam sebagai agama adil kepada seluruh alam terus dipelihara di sisi pandangan umat Islam dan bukan Islam. Ini juga rasional Fiqh Tawaqquq.

"Segala pujian tertentu bagi Allah, Tuhan yang mentadbir dan memelihara sekalian alam." [Surah Al-Fatihah: 2]

"Dan tidakkah kami mengutuskan kamu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam." [Surah Al-Anbiya': 107]

Inilah Fiqh Tawaqquq yang rasional untuk bekalan para perwakilan ke Muktamar Pas November depan.

Syarat-syarat disiplin Fiqh Tawaqquq ini, antaranya:

 Syarat pertama - Fiqh Tawaqquq ini dilakukan berdasarkan sangkaan yang kuat (ghalabatuz dzon) atau sekurang-kurangnya berpaksi pada sangkaan berasas (dzon), bukannya sangkaan tidak berasas (waham). Contoh 1: Data analisis keputusan PRU13 umumnya menunjukkan 51.32 peratus undi popular atau majoriti 5,591,688 undi rakyat Malaysia menyebelah Pas serta PR.

PAS tidak mungkin mempunyai tapak sokongan sekuat ini hatta sekurang-kurangnya terus mentadbir Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang sekarang sekalipun jika bersendirian atau menyertai UBN.

Contoh 2: Data analisis keputusan PRU13 umumnya menunjukkan 36 peratus undi Melayu, Cina (89.2 peratus) dan India (56.8 peratus).

Ada pihak mendakwa, PAS bersama bukan Islam DAP serta grup liberal PKR sebagai punca sokongan Melayu terhadap parti masa depan itu menyusut.

Dakwaan ini lebih mendekati sangkaan tidak berasas (waham) memandangkan rumusan analisis berwajib hampir tidak ada.

Banyak lagi dakwaan lain, seperti polemik UG Umno-PAS yang berpanjangan, politik bebal pil kuda, kalimah Allah, bakar gereja, bakar Bible versi Melayu, kepala lembu berdarah dan sebagainya menyaksikan seolah-olah kepemimpinan PAS lemah dalam mengurus isu serta persepsi rakyat.

Kenyataan defensif (lebih tepat apologetik) dalam semua isu ini dikatakan antara punca yang menghakis keyakinan Melayu semasa PRU13 lepas.

Dakwaan sentimental ini juga umumnya lebih menjauhi sangkaan yang kuat (ghalabatuz dzon) memandangkan rumusan analisis berwajib hampir tidak ada juga.

Syarat kedua - Fiqh Tawaqquq ini dilakukan semasa 'qarinah' (perkara yang membantu mengukuhkan kesaksian) telah pun berlaku atau sedang berlaku.

Contoh 1: Langkah progresif ulamak mengadakan multaqa' demi berwacana resolusi - mengkaji semula posisi PAS dalam PR - adalah bertepatan dengan "qarinah" menjelang musim pemilihan Muktamar kali ini.

Ulamak seharusnya membentangkan semula idea serta hujah bagi salah satu pilihan politiknya - (1) meneruskan muafakat bersama PR, (2) PAS bersendirian, atau (3) mewujudkan gabungan mirip UG dengan UBN - secara jujur lagi ilmiah jika itu maksud tersirat dalam Multaqa' Ulamak Haraki baru-baru ini.

Ini kerana muktamar kali ini adalah medan terbaik untuk bermusyawarah mengenai semua 'qarinah' berwajib memandangkan majoriti perwakilan kian matang serta berpengalaman untuk membuat pilihan, sama ada memilih pemimpin pro PR atau pro UBN atau bersendirian di luar radar realistik politik Malaysia.

Syarat ketiga - Fiqh Tawaqquq yang dilakukan mestilah menimbang antara kebaikan (maslahah) dan keburukan (mudharat) pada satu-satu kajian politik yang dipilih.

Pilihan 1: PAS meneruskan muafakat bersama PR

Maslahah: Berpeluang meningkatkan undi popular serta representasi ADUN/Ahli Parlimen PR jika pemimpin PAS sendiri vokal meyakinkan rakyat - khususnya Melayu di kawasan PAS tanding - mengenai keupayaan mentadbir kerajaan oleh parti masa depan itu.

Mudarat: PAs tidak mampu bersaing dari segi idea serta pencapaian tadbir urus jika PR kian menguasai beberapa negeri lagi selain Putrajaya semasa PRU14 disebabkan pemimpin baru terkuat tidak dipilih sempena muktamar kali ini.

Pilihan 2: PAS bersendirian

Maslahah: PAS mampu berkubu paling kuat pun di Kelantan sahaja.

Mudharat: PAS tidak berupaya menawarkan pelaksanaan cita-cita menubuhkan Negara Berkebajikan memandangkan untuk merampas semula Kedah, Perak serta Terengganu pun secara realitinya memerlukan sokongan majoriti rakyat, terutama pengundi tradisi pro PR (bukan ahli PAS sahaja).

Pilihan 3: PAs mewujudkan gabungan mirip UG dengan UBN

Maslahah: Berpeluang melaksanakan cita-cita Islam hatta ulamak PAS mungkin ada pejuang dipilih (sebagaimana dihasratkan) menjadi menteri. Tetapi, semua itu terhad dalam tempoh lima tahun ini sahaja kerana rakyat akan menentukan kepemimpinan melalui PRU14 pula.

Mudharat: PAS akan berdepan dengan krisis dalam yang lebih tajam antara ahli/pemimpin yang pro UBN dan pro PR. Imej Islam parti dilihat buruk disebabkan segelintir pemimpin PAS dianggap mengkhianati perjanjian politik (tahalluf siyasi) dengan PKR, DAP sertaNGO-NGO mesra PR sejak PRU12 lagi. Majoriti rakyat tidak akan menyokong calon PAS kerana bimbang dikhianati sekali lagi pasca PRU14 nanti.

Syarat keempat - Fiqh Tawaqquq itu dilakukan semasa mendepani keburukan yang pasti, maka, disediakan solusi atau 'ubat'.

Contoh: Pemimpin yang mahu mempertahankan jawatan yang disandang atau mahu menawarkan diri untuk satu-satu jawatan lain perlu menyatakan sikap secara terbuka dan jujur dalam muktamar kali ini - (1) meneruskan muafakat bersama PR, atau (2) PAS bersendirian, atau (3) Mewujudkan gabungan mirip UG dengan UBN.

Dicadangkan, suatu dialog terbuka ala-ala "Debat Presiden AS" diadakan sebelum proses pemilihan dilangsungkan bagi semua calon kepemimpinan Pas secara jujur mengemukakan pendirian, wawasan serta rekod kemampuan untuk dipilih atau dilantik.

Syarat kelima - Fiqh Tawaqquq itu dilaksanakan secara beransur-ansur (sunnah tadarruj) dengan penyediaan pelan kontigensi jangka pendek dan jangka panjang.

Contoh: Penyediaan manual operasi pilihan raya yang realistik, seperti proses melaksana daftar pengundi baru dan ahli parti secara progresif dan serius.

Penyediaan polisi tadbir urus secara teorikal (tasyri') dan praktikal (tanfiz) -bukan doktrin ceramah kosong atas nama agama - untuk diadaptasi di negeri yang dikuasai oleh PR demi meyakinkan rakyat terbanyak terhadap kemampuan parti masa depan itu sebelum PRU14.

Sebagai contoh, Kerajaan Negeri Pulau Pinang era UBN memberi peruntukan Hal Ehwal Agama Islam sebanyak RM25.49 juta.

Pentadbiran Ketua Menteri, Lim Guan Eng pula memberi peruntukan Hal Ehwal Agama Islam sebanyak RM35.78 juta bagi 2009, 2010 (RM37.85 juta), RM63.21 juta (2011), 2012 (RM64.03 juta) dan 2013 (RM164 juta), sekaligus membayangkan DAP cuba meyakinkan semua pihak, termasuk Melayu bahawa masa depan Islam lebih baik jika parti itu menjadi salah satu pilihan untuk mengambil alih Putrajaya semasa PRU14.

Selamat bermuktamar kepada seluruh perwakilan PAS.

Sama ada anda berstatus ulamak atau profesional, anda perlu memilih pemimpin yang pro PR atau Umno BN atau bersendirian di luar radar realiti politik tanah air.

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu puak sehinggalah puak itu sendiri yang mengubah apa-apa apa diri mereka..." [Surah Ar-Radd:11]. – 17 September, 2013.


Oleh Zainul Faqar Yaacob
* Penulis ialah Ahli Seumur Hidup PAS Kawasan Batu Kawan.

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.