Wednesday, September 4, 2013

Ketua Wanita Tenom mahu tanding exco wanita Umno

Ketua Wanita Umno Tenom Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan menawarkan diri bertanding jawatan anggota Exco Pergerakan Wanita Umno pusat pada pemilihan parti Oktober depan.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira semua faktor, termasuk sokongan di peringkat akar umbi dan senario politik terkini negara.

Beliau berkata rata-rata anggota wanita Umno peringkat akar umbi mahu melihat pergerakan itu dibarisi gandingan muka lama dan baharu.

“Maka dengan itu saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Exco Wanita Umno Pusat,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu, hari ini.

Rahmahjan turut mengumumkan hasratnya untuk mempertahan jawatan Ketua Wanita Umno Tenom.

Sebelum ini Exco Pergerakan Wanita Umno pusat Datuk Armani Mahiruddin mengumumkan akan mempertahan jawatannya manakala Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad menawarkan diri bertanding jawatan Exco Wanita Umno.

“Saya melihat ini sebagai persaingan yang sihat, dan biarlah kita sama-sama berkempen secara sihat... terpulanglah kepada perwakilan untuk memilih pemimpin wanita yang mereka mahu sesuai dengan prinsip demokrasi,” katanya.

Beliau berharap semua wakil dari Sabah, yang bertanding untuk pelbagai jawatan pada pemilihan parti itu, meraih kemenangan.

Dalam hal ini, Rahmahjan berkata Pergerakan Wanita Umno Tenom akan memberikan sokongan kepada semua calon yang mewakili negeri ini.

Mengenai persaingan jawatan naib pergerakan wanita Umno Pusat, Rahmahjan yakin perwakilan dari Sabah akan memberikan sokongan padu kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga anggota Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun yang sudah mengesahkan bertanding bagi jawatan naib ketua Wanita Umno.

Beliau turut menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk mempertahan jawatannya.

- Bernama

2 comments:
Write comments
  1. org tenom dah jadi bacul ke membiarkan khan ini jadi berkuasa? mana da keturunan khan di sabah ini? daripada mana kalau bukan pendatang sudah menguasai politik sabah..aku heran betul mcm ni pun ada kat sabah ni..

    ReplyDelete
  2. bukan saja bacul tapi bodoh piang itu manteri lantik dia setiausaha politik nya lagi,5 tahun lagu orang murut tenom akan hilang dari persada politik BN

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.