Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah yakin idea kerajaan perpaduan antara Umno dengan PKR bukan datang dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Saya yakin ia bukan dari PM, ia datang dari orang lain," kata Saifuddin ketika di temui The Malaysian Insider selepas sidang media berkenaan dengan Yayasan Kesederhanaan Global (GMM) hari ini.
Saifuddin dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru GMM oleh perdana menteri yang menjadi penasihat kepada yayasan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Razali Ismail, bekas Presiden Sidang Bangsa-bangsa Bersatu(PBB).
Saifuddin mengulas cadangan GMM yang mahu terlibat dalam Majlis Rekonsilisasi Nasional (MRN) sebagaimana yang dicadangkan penubuhannya oleh perdana menteri ketika berucap dalam Parlimen sebelum ini.
Bagi Saifuddin, MRN tidak ada kaitan langsung dengan agenda kerajaan perpaduan yang hangat diperkatakan sekarang.
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Asia Sentinel bahawa wakil Najib bertemu beliau bagi mencadangkan kerajaan perpaduan.
Menurut seorang pemimpin kanan PKR, seorang pemimpin kanan Indonesia yang mengaku mewakili Najib menelefon Anwar sekali lagi berkaitan dengan cadangan itu minggu lalu.
Najib tidak pernah menolak mengenainya namun Perjabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan sebelum ini mempertikaikannya.
Selepas menang dengan majoriti kecil dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Najib terus berkata beliau akan membuat rekonsilisasi untuk menyelesaikan masalah perkauman yang terhasil dari pilihan raya itu.
Ia kemudiannya disebut lagi oleh Najib dalam Parlimen selepas itu namun ia tidak pernah diterangkan mengenainya dan pihak lain juga tidak pernah menjelaskan mengenainya.
"GMM sangat berminat mengenainya dan kami akan membuat satu kertas mengenainya untuk dihantar kepada Perdana Menteri," kata Saifuddin kepada sidang media.
Beliau mengaku, idea yang dilontar oleh Najib itu tidak pernah diperjelaskan dan tidak bersambut.
Saifuddin sebelum ini adalah Timbalan Menteri Pendidikan namun selepas kalah dalam pilihan raya umum lalu di kerusi Parlimen Temerloh, beliau tidak ada lagi sebarang jawatan dalam kerajaan.
"Sekarang yang utama untuk saya adalah di sini (GMM) dan selepas itu baru Umno," kata Saifuddin, salah seorang pemimpin muda Umno yang dikatakan mempunyai masa depan yang cerah dalam politik sebelum ini.
GMM kata Saifuddin akan memainkan peranan untuk membawa agenda sederhana ke seluruh dunia.
"Namun sebelum kita mengajak masyarakat antarabangsa, kita perlu juga menyelesaikan apa yang berlaku dalam negara kita dahulu," kata Saifuddin.
Beliau mengulas soalan wartawan yang ingin tahu apa sikap GMM terhadap pertubuhan pelampau seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) yang mendapat tempat dalam media khasnya yang dimiliki Barisan Nasional sendiri.
"Saya tidak salahkan Utusan misalnya, kerana menyiarkan kenyataan mereka. Buatlah kenyataan sebaliknya, baru mereka boleh siar," kata Saifuddin merujuk kepada akhbar milik Umno Utusan Malaysia. -TMI
Friday, September 13, 2013
Kerajaan perpaduan idea siapa?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.