Monday, April 4, 2011

Pengaruh video lucah dalam kempen pilihan raya Sarawak

RAMAI menjangkakan pilihan raya negeri Sarawak ke-10, 16 April ini akan menyaksikan saingan paling sengit pembangkang kepada BN. Malah, ada pengulas politik yang berani meramalkan penguasaan BN di Bumi Kenyalang itu bakal berakhir. Faktor utama adalah kemarahan majoriti rakyat Sarawak terhadap Ketua Menteri, Taib Mahmud yang sudah bertakhta selama 30 tahun.

Taib didakwa menyalahgunakan kuasa, mengamalkan korupsi dan rakus mengaut khazanah kekayaan negeri buat diri, keluarga dan kroninya. Selain itu, pelbagai isu membabitkan kepentingan rakyat, seperti tanah adat NCR, menimbulkan keresahan berpanjangan. Bagaimanapun, terdapat pengulas yang sangsi dengan kemampuan faktor liabiliti Taib dan isu-isu lain boleh menggugat keutuhan survival BN di Sarawak.

Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN, baru-baru ini, cuba menyelami permasalahan berkenaan dengan menemubual penganalisis politik terkenal, DR JENIRI AMIR, yang merupakan pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Dr Jeniri melihat propaganda bertubi-tubi BN dan Taib selama lebih 40 tahun, selain taraf pendidikan majoriti rakyat yang masih rendah dan kesukaran mendapat maklumat dari sumber alternatif sebagai satu cabaran besar buat pembangkang.

HARAKAH: Sebelum ini Dr berpendapat bahawa BN bukan sahaja akan terus memenangi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 dengan majoriti dua pertiga, malah untuk dua tiga kali pilihan raya lagi pun, sukar pembangkang untuk menggugat kedudukan BN ini. Boleh Dr jelaskan?

DR JENIRI AMIR: Tidak ada masalah untuk BN menguasai lebih dua pertiga daripada 71 kerusi Du Sarawak dalam pilihan raya 16 April nanti. Amat tipis untuk tsunami politik berlaku dalam pilihan raya ini. Tsunami politik hanya akan berlaku jika terdapat kadar celik politik yang tinggi dalam kalangan pengundi. Kita perlu ingat bahawa terdapat perbezaan lanskap politik yang jelas antara Sarawak dengan Semenanjung Malaysia.

Dalam keadaan sekarang, saiz kelas menengah di Sarawak secara perbandingan dengan Selangor, misalnya adalah relatif kecil. Apa implikasi adanya kelas menengah yang besar?

Kelas menengah yang besar memungkinkan ayunan undi yang besar kerana mereka merupakan golongan yang boleh berdikari dari segi pendirian dan ekonomi. Mereka lebih kritis disebabkan pendedahan kepada media baharu dan pendidikan yang diterima. Kematangan politik mereka lebih tinggi. Mereka bukannya pengundi yang tertawan minda. Lagipun, dalam konteks Sarawak, dua pertiga daripada kerusi atau 56 kerusi adalah terletak di luar bandar atau pedalaman.

Pola atau perlakuan pengundian di laur bandar tidak sama dengan di bandar. Jika di bandar, pengundinya secara perbandingan lebih sofistikated, tetapi di luar bandar pada amnya, kerana demografi pengundi yang masih lagi tertinggal dari segi ekonomi dan masih memerlukan pembangunan, maka, sukar sekali bagi pembangkang untuk menumbangkan kerajaan BN.

BN akan terus menggunakan politik penaungan, politik keperluan asas dan politik pembangunan sebagai senjata ampuh untuk mempengaruhi pengundi.

Adakah isu-isu seperti tanah adat bumiputera (NCR) dan pendedahan bahawa Ketua Menteri dan sanak-saudaranya memiliki aset luar biasa tidak boleh mendorong pengundi untuk menolak BN?

Di luar bandar isunya masih lagi soal keperluan asas, soal survival dan bagaimana untuk meneruskan kehidupan pada esok hari. Politik keperluan asas inilah yang menyebabkan mereka terus bergantung kepada BN. Bagi mereka hanya BN sahaja yang dapat membawa pembangunan. Mereka berpendapat bahawa kerajaan bermaksud BN, manakala pembangkang tidak mungkin dapat menjadi kerajaan, apatah lagi pembangkang digambarkan dengan warna yang negatif sejak sekian lama.

Propaganda yang bertubi-tubi dilakukan sejak lebih 40 tahun menyebabkan terpasak dalam minda rakyat bahawa BN sahaja mampu menerajui negeri ini. Selain propaganda yang begitu berkesan, keadaan ini berlaku sebahagiannya kerana taraf pendidikan yang masih rendah di kalangan kebanyakan pengundi luar bandar. Tambahan pula, mereka kurang terdedah kepada maklumat tentang alternatif berkaitan dengan kerajaan pimpinan Taib.

Taib Mahmud mengumumkan bahawa ini adalah penggal terakhir beliau dan beliau akan menyerahkan kerusi Ketua Menteri kepada tokoh lain selepas ini. Adakah ini boleh meredakan kemarahan atau protes pengundi?

Pengumuman beliau itu dapat dianggap sebagai satu strategi politik bagi meredakan kemarahan pengundi yang tidak menyokong BN, terutama pengundi Cina dan pengundi kelas menengah. Bagaimanakah reaksi rakyat terhadap kenyataannya itu? Adakah rakyat bertindak positif? Hakikatnya, itu bukan pertama kali beliau menyatakan kesediaan untuk berundur. Beliau pernah menyatakan hasrat sedemikian sejak sekitar 15 tahun lalu dan kali terakhir adalah pada 2006. Tetapi, disebabkan pujukan terutama oleh mereka di sekitar beliau, beliau membatalkan hasrat itu.

Justeru, ada yang mengatakan beliau hanya menguji sahaja. Sesetengah pihak meragui apa yang dikatakan beliau itu meskipun sukar untuk mengukur kejujuran kenyataan itu? Ada yang bersikap skeptik dan hanya akan mempercayai beliau apabila beliau sudah benar-benar turun daripada kerusi beliau.

Tadi Dr menekankan bahawa tsunami politik yang melanda Semenanjung pada 2008 sukar berulang di Sarawak. Mengapa? Adakah isu seperti tadbir urus yang baik, ketelusan, antirasuah dan sebagainya tidak cukup untuk mempengaruhi rakyyat Sarawak, yang dikatakan masih terikat kuat dengan politik pembangunan?

Pilihan raya Sarawak akan menyaksikan pertembungan antara politik pembangunan dengan politik idealisme. Politik pembangunan yang digagaskan Taib bertujuan untuk membawa pembangunan infrastruktur, menghapuskan kemiskinan dan menaikkan taraf hidup rakyat. Tetapi masalahnya sesetengah kawasan masih lagi berdepan dengan masalah kekurangan kemudahan asas dan prasarana, misalnya jalan raya berturap, bekalan air bersih dan elektrik.

Meskipun sebuah negeri yang kaya dengan sumber semula alam, Sarawak kini berada nombor empat dari bawah daripada segi kemiskinan. Soal idelaisme seperti tadbir urus yang baik, ketelusan, akauntabiliti dan sebagainya itu berkesan dan sesuai untuk pengundi bandar dan kelas menengah, tetapi tidak demikian pengundi luar bandar meskipun tidak dinafikan di luar bandar pun orang bercakap tentang isu sedemikian.

Tetapi isu keperluan asas dan pembangunan mengatasi isu tadbir urus. Lagipun, kesedaran mereka tentang apa yang dilaporkan oleh media alternatif seperti Sarawak Report adalah rendah.

Sejauh mana isu video lucah yang dikaitkan dengan Anwar Ibrahim akan menjadi bahan kempen nanti? Bagaimana pula dengan pelbagai usaha perubahan yang cuba dicetuskan oleh Najib Razak?

Isu itu mungkin sahaja digunakan oleh BN untuk menjatuhkan imej dan reputasi Anwar Ibrahim, tetapi saya tidak percaya bahawa isu itu dapat mempengaruhi rakyat. Isu ini tidak begitu relevan di Sarawak. Pengundi Sarawak hanya mendengar kes ini melalui laporan media, dan tidak pernah melihat video berkenaan dengan mata mereka sendiri untuk mengesahkan benar atau tidaknya kes berkenaan atau itu hanya fitnah yang dibuat oleh pihak tertentu ntuk merosakkan imej beliau. Kita tidak boleh membuat penilaian hanya berdasarkan kenyataan media.

Kita perlu bersikap adil, siapa pun yang terlibat, kerana sesuatu kes itu perlu dinilai dengan adil. Fitnah dan pembohongan tidak harus dibenarkan untuk tumbuh subur dalam masyarakat dan politik. Politik sedemikian akan menghambat perkembangan politik matang, sedangkan kita sepatutnya bergerak ke hadapan.

Sampai bilakah kita akan terjebak dalam budaya politik rendah ini? Sampai bilakah kita membiarkan propaganda dan pembohongan dibenarkan untuk berakar umbi dalam masyarakat kita? Memang Najib telah pun mengambil inisiatif untuk menangani isu dan masalah melalui NKRA dan Pelan Transformasi Kerajaan. Kerajaan berhasrat menangani masalah itu menjelang tahun 2015.

Mengapakah pengundi Melayu-Melanau dikatakan tetap akan menyokong PBB walaupun banyak serangan dibuat terhadap Taib dengan dokumen dan bukti kukuh, seperti disiarkan dalam laman Sarawak Report?

PBB mempunyai 35 kerusi; 28 daripadanya ialah kerusi Melayu-Melanau. Untuk sekian lama, kerusi berkenaan merupakan kubu kuat BN dalam setiap pilihan raya negeri.Sokongan pengundi terhadap BN sentiasa memuaskan di kerusi berkenaan dan dijangka trend yang sama akan berlaku dalam pilihan raya ini. Tidak dinafikan memang wujud sentimen anti-Taib daripada segelintir pengundi berkenaan, tetapi ia umpama riak yang tidak akan dapat mengubah lanskap politik.

Ayunan atau gelombang besar undi ke arah pembangkang tidak akan berlaku. Kita boleh kaitkan pola pengundian atau sikap sedemikian dengan faktor kaum Melayu-Melanau sebagai kaum minoriti di Sarawak. Kaum Melanau hanya sekitar 6 peratus, manakala kaum Melayu sekitar 20 peratus. Angka penting dalam politik kerana angka menentukan kuasa. Jadi, sebagai kaum minoriti mereka takut kehilangan kuasa kepada etnik lain.

Justeru, faktor kebimbangan atau ketakutan itulah yang menyebabkan mereka terus menyokong dan bergantung kepada BN walaupun terdapat tindakan atau dasar BN yang tidak memuaskan hati mereka.

Bagaimana pula jangkaan trend pengundian dalam kalangan masyarakat Dayak, yang merupakan penduduk majoriti di Sarawak? Mereka pernah menunjukkan sokongan besar kepada parti pembangkang, PBDS pada 1987 tetapi selepas itu tidak menonjol undi protes kepada kerajaan. Boleh Dr jelaskan sedikit suasana politik pengundi Dayak hari ini.

Kita perlu faham istilah Dayak ini. Dayak merangkumi etnik Iban dan Bidayuh serta Orang Ulu, manakala Orang Ulu pula meliputi pelbagai etnik minoriti yang lain, termasuk Kejaman, Bukitan, Sihan, Berawan, Kelabit, Kayan, Kenyah dan puluhan lagi. Masyarakat Dayak mempunyai 29 kerusi Iban 20 kerusi, Bidayuh enam kerusi dan Orang Ulu tiga kerusi.

Meskipun pernah berlaku sebahagian kerusi berkenaan tumbang dalam pilihan raya 1987, namun hakikatnya kerusi Dayak juga dapat dianggap kubu kuat BN. Sebahagian besar kawasan berkenaan terletak di luar bandar dan pedalaman Sarawak. Kemiskinan dan hakikat bahawa mereka berada di luar bandar menyebabkan mereka masih memerlukan bantuan kerajaan. Ini merupakan pengundi yang tertawan. Mereka menganggap bahawa BN sahaja dapat membawa pembangunan manakala pembangkang hanya pandai menabur janji.

Keadaan pada 1987 adalah berbeza apabila berlaku pertembungan antara Kumpulan Maju pimpinan Tun Abdul Rahman Yakub dengan BN pimpinan Taib Mahmud. Pilihan raya itu begitu sengit dan BN hanya mampu menguasai 28 daripada 48 kerusi. Semangat Dayakisme banyak dimainkan bagi mempengaruhi masyarakat Dayak.

DAP memang diakui parti pembangkang paling dominan di Sarawak. Apa punca majoriti masyarakat Cina menyokong DAP? Mungkinkah SUPP menerima pukulan maut dalam pilihan raya nanti?

SUPP mempunyai 19 kerusi semuanya, dan dalam pilihan raya 2006, SUPP tewas di enam kerusi terutama kerusi bandar di Kuching dan Sibu. Kali ini dijangka pengundi Cina akan terus memihak kepada DAP kerana beberapa faktor. Pertama, kepemimpinan Taib yang dianggap terlalu lama, iaitu 30 tahun sebagai Ketua Menteri dan 47 tahun jika diambil kira pertama kali beliau dilantik sebagai menteri di dalam Kabinet Tan Sri Stephen Kalong Ningkan pada 1963.

Dasar kerajaan BN Sarawak dipersepsi oleh masyarakat Cina sebagai tidak memihak kepada mereka, termasuk dasar premium tanah, pendidikan, penyertaan dalam sektor awam dan beberapa lagi. Kaum Cina menolak BN kerana mereka mahu kerajaan yang dianggap bersih dan menjunjung tinggi tadbir urus yang baik. Sebaliknya, sokongan padu diberi kepada DAP kerana parti itu dianggap berjaya menyuarakan tuntutan dan aspirasi mereka, berbanding SUPP dipersepsi sebagai parti burung kakaktua dan tidak memiliki tulang belakang.

Bagi masyarakat Cina, DAP perlu diberi tempat kerana mereka dapat bertindak sebagai kuasa semak dan imbang di Dewan Undangan Negeri Sarawak. Pemimpin muda DAP dianggap dinamik dan lantang bersuara memperjuangkan nasib dan kebajikan kaum Cina. Jangan hairan lebih banyak kerusi majoriti Cina akan tumbang dalam pilihan raya ini.

Terdapat 15 kerusi majoriti Cina di Sarawak dengan empat daripadanya mempunyai lebih 90 peratus pengundi Cina, iaitu di Pending, Padungan, Bukit Assek dan Pelawan. Kerusi ini besar kemungkinan akan berada dalam genggaman DAP. Pada pilihan raya lalu BN hanya menang tipis di Pelawan, iaitu sebanyak 263 undi.


Adakah Dr masih merasakan Sarawak (dan juga Sabah) merupakan simpanan tetap buat BN, terutama untuk mempertahankan Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang? Sejauh manakah keputusan pilihan raya negeri ini boleh mempengaruhi tarikh PRU13 nanti?

Sarawak dan Sabah tetap terus menjadi harapan BN Pusat. Sekurang-kurangnya untuk tiga pilihan raya lagi, BN masih boleh mengharapkan kepada sumbangan kerusi daripada Sarawak dan Sabah untuk memastikan BN terus menguasai Putrajaya. Simpanan tetap sebenar ialah kerusi luar bandar Sarawak. Selagi BN menjaga dan melindungi kepentingan, kebajikan dan nasib pengundi luar bandar Sarawak, selagi itulah kerusi terbabit akan terus menjadi simpanan tetap.

Pilihan raya ini amat penting terutama bagi Perdana Menteri ... pertambahan satu kerusi sudah lebih daripada memadai bagi beliau untuk berasa gembira; sebaliknya jika jumlah kerusi dikuasai BN merosot, ini merupakan satu pukulan kepada beliau. Saya percaya Najib akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan keadaan sedemikian tidak akan berlaku.

Beliau mahu pilihan raya ini membawa kemenangan lebih besar kepada BN, tetapi saya berpendapat dengan pelbagai isu membelenggu BN dan kepemimpinan, keputusannya mungkin sukar lebih baik daripada pilihan raya 2006. Jika keputusan memihak kepada BN, saya tidak hairan ini akan dianggap sebagai barometer atau petada sokongan terhadap BN. Saya tidak hairan tarikh PRU13 akan diawalkan, meskipun tidak semestinya tahun ini.

1 comment:
Write comments
  1. kesian Sarawakian nampak gambaran macam masih primitif belum berfikiran maju dari ulasan diatas saya rasa lebih kurang sama macam di Sabah,salah siapa sebenar walaupun kita dah merdeka 40 tahun tetapi masih kolot dan mundur dari segi pembagunan minda dan kemudahan asas terutamanya di pendalaman.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.